Jumaat, 10 Disember 2010

Umno/BN tidak serik tipu dan bolot harta Rakyat

IPOH, 10 Disember: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, menggesa supaya semua rakyat Malaysia melihat isu yang timbul sekarang ini sebagai sebab untuk menolak kerajaan yang dipimpin BN dan menukar kepada kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat.

Isu yang timbul kini seperti isu kenaikan harga minyak dan kes dakwaan rasuah bekas MB Selangor jelas menunjukkan bahawa BN menjadikan amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka sebagai satu peluang untuk mereka memenuhi kehendak hawa nafsu mereka.
Ini cukup berbeza dengan kehendak Islam yang menyatakan bahawa jawatan merupakan amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT. di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah s.a.w: "Tidak ada seorang hamba yang Allah SWT menyerahkan kepadanya urusan rakyat kemudian dia mati dalam keadaan ia menipu rakyatnya, melainkan haramkan ke atasnya syurga." (riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut beliau lagi bagaimanakah kerajaan BN boleh tergamak memunuhi kehendak nafsu mereka dengan memiliki rumah mewah yang bernilai berjuta-juta ringgit sedangkan rakyat ditindas dengan kenaikan harga petrol RON 95, kenaikan harga diesel, kenaikan harga gas LPG dan kenaikan harga gula yang dinaikkan oleh kerajaan sendiri.

Beliau menyatakan lagi, rakyat Malaysia sepatutnya menilai sekarang ini sejauh manakah pemimpin negara dan negeri mereka menjalankan amanah yang diberikan. Adakah mereka bersama-sama dengan rakyat menanggung kesusahan yang dialami atau mereka hidup senang-lenang? Adakah mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama-sama dengan rakyat atau mereka menjadikan amanah diberikan sebagai batu loncatan mereka?

Selain itu beliau mengajak rakyat Malaysia untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT kerana ia merupakan pintu terbukanya keberkatan daripada Allah SWT. lebih-lebih lagi dalam menghadapi zaman yang mencabar sekarang ini.

Beliau juga memetik firman Allah SWT bagi mengingatkan seluruh manusia akan pesan Allah SWT       " Dan kalaulah sekiranya penduduk sesuatu negeri itu beriman dan bertaqwa nescaya kami akan bukakan pintu keberkatan ke atas mereka daripada langit dan daripada bumi tetapi mereka mendustai lalu kami berikan azab dengan sebab apa yang telah mereka kerjakan" (Surah Al-A'raf: 96)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan