Isnin, 17 Januari 2011

ISU AZAN - Cadangan Dr. Asri tidak membantu perkembangan syiar Islam

Oleh: wfauzdin_ns

"APABILA isu azan di sebuah masjid di Wilayah persekutuan menjadi hangat angkara `mulut gatal' seorang Non Muslim yang dikatakan dari MCA baru-baru ini, maka hiruk pikuk lah berbagai pihak dan ada yang cuba mencari kesempatan meraih sokongan politik. Beberapa NGO yang selama ini `beku' seperti berada di dalam peti sejuk tiba-tiba muncul untuk berjuang kerana agama, kununnya.

Ada seorang yang ingin menonjolkan diri sebagai `pejuang Islam' yang digelar Zul Kulim atau `firaun besar' menyalak sakan dengan isu ini. Beliau seorang Wakil Rakyat yang tidak malu menduduki kerusi Kulim Bandar Baru walaupun mereka yang mengundinya dahulu tidak lagi redha beliau menjadi Wakil Rakyat mereka. Kebodohan beliau dari semasa ke semasa semakin jelas oleh kita di dalam apa jua isu yang beliau sentuh. Termasuklah di dalam isu azan ini di mana beliau menuduh DAP di dalam hal ini sedangkan semua tahu peguam Non Muslim yang menimbulkan isu ini adalah dari MCA.

Beberapa NGO juga bangun membantah dan mengadakan perhimpunan kununnya membela Islam. Di dalam pada itu, niat mereka dapat dibaca apabila cuba melibatkan YB Nurul Izzah di dalam isu ini. Mereka takut untuk menyentuh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan mahupun Menteri Wilayah Persekutuan yang lebih berkuasa di dalam menjelaskan isu ini. Akhirnya, YB Nurul Izzah menunjukkan kebijaksanaannya dengan menyerahkan semua persoalan ini kepada yang berhak dan berkuasa di dalam hal-hal agama Islam di Wilayah Persekutuan.

Saya tidak bersetuju dengan cadangan dari Ustaz Dr Asri yang mahukan agar hanya azan sahaja dibenarkan untuk menggunakan pembesar suara. Cadangan beliau ini tidak salah, tetapi tidak bijak untuk perkembangan dan syiar Islam. Selama ini kita tiada masalah di dalam penggunaan pembesar suara di dalam apa jua aktiviti atau amalan di dalam masjid dan surau. Jangan kerana adanya kes terpencil seperti ini, maka kita mengalah sedemikian rupa.

Kita tidak boleh kalah dengan kehebatan hiruk pikuk yang lebih keterlaluan di dalam berbagai konsert dan hiburan yang sering dianjurkan oleh beberapa pihak. Program maksiat mereka kadangkala lebih hebat lagi sehingga ke awal pagi. Manakala, penggunaan pembesar suara di masjid atau surau bagi amalan syarahan agama, membaca Al-Quran dan juga azan amat terhad sekali. Memang benar, Nabi mengajar kita membaca Al-Quran jangan sampai menganggu orang lain. Persoalannya, selama ini berapa kerat yang merasa terganggu?

Tentulah tidak berhikmah dan tidak dibenarkan jika kita menggunakan pembesar suara diwaktu orang lain sedang tidur. Kebiasaannya masid atau surau akan memperdengarkan bacaan Al-Quran beberapa minit sebelum masuk waktu sembahyang dan azan. Program syarahan agama juga bukan diadakan pada setiap malam dan program tersebut pun kebiasaannya hanya mengambil masa lebih kurang 1 jam sahaja. Tidak masuk akal ianya mengganggu orang lain.

Justeru itu, apa yang selama ini kita umat Islam lakukan di dalam aktiviti di masjid dan surau haruslah diteruskan. Pihak berkuasa masjid dan surau juga hendaklah peka dengan keadaan dan situasi setempat. Mereka mesti bijak mengatur apa jua aktiviti yang ingin dijalankan dengan penuh kesederhanaan. /

wfauzdin.blogspot.com"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan