Rabu, 26 Januari 2011
Isu salam, negara Islam: Ketua DHPP, Hu Phang Chaw cabar MCA dan Gerakan berdebat!
DHPP Sedia Berdebat MCA dan Gerakan
LABIS, 24 Jan - Hu Pang Chaw, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) meminta parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan Gerakan jangan memutarbelitkan isu Islam demi kepentingan politik.
Menurut beliau, sekiranya MCA dan Gerakan faham berkenaan Islam, sudah pasti mereka tidak akan menakutkan pengundi-pengundi Cina di Dun Tenang dengan kenyataan yang negatif terhadap Islam.
"Jangan tunjuk kepandaian dengan agak mereka itu seperti seorang imam," ujarnya mengulas isu calon PAS Normala Sudirman yang enggan bersalam dengan lelaki dalam kempen pilihan DUN Tenang yang dibangkitkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Bukan Presiden MCA itu sahaja, malah Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe yang turut memainkan isu ini lambang orang agama dalam Umno gagal menerapkan Islam dalam BN.
Jelas Hu, ada tradisi negara luar yang tidak bejabat tangan seperti wanita di Thailand. Mereka tidak berjabat tangan dengan lelaki.
"DHPP menyokong perjuangan PAS, mencabar MCA untuk berdebat secara terbuka jika isu ini jika mereka masih tidak faham," tambahnya ketika menjawab temubual wartawan Sinar.
Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata PAS bangga DAP, PKR jawab isu bersalam.
"PAS merasa bangga isu bersalam itu dijawab oleh rakan-rakan DAP dan PKR yang bukan Islam," jelasnya. - Sinar Harian
Sementara itu Harakahdaily melaporkan...
PAS bangga DAP, PKR jawab isu bersalam
KUALA LUMPUR, 24 Jan: Umno yang memperdagangkan Islam dan memperkudakan mereka yang arif dalam agama untuk menghalalkan apa sahaja tindakan pemimpinnya.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyatakan demikian sebagai mengulas ucapan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menuduh PAS memperdagangkan agama kerana telah melanggar fatwa dengan mencalonkan wanita menjadi calon di pilihan raya kecil Tenang.
(Sumber gambar: FB Madzamtoklah Madzam..)
“Nampaknya fikiran menteri yang jaga urusan agama sama seperti Tun Dr Mahathir yang membangkitkan isu yang sama.
“PAS tidak hairanlah dengan Tun yang sudah berada di hujung senja, jika dibandingkan dengan Datuk Jamil Khir yang masih muda dan arif berkenaan agama,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Katanya, mungkin Jamil buat-buat lupa, kerana PAS pernah melantik Khatijah Sidik di Parlimen Dungun pada tahun 1959.
“Sila buka balik sejarah, baru boleh beri komen dan keluar hukum,” ujarnya.
Katanya, kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek dan diikuti pula oleh Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe yang memainkan isu Cikgu Normala Sudirman yang enggan bersalam dengan lelaki adalah lambang orang agama dalam Umno gagal menerapkan Islam dalam BN.
PAS, ujarnya boleh memaafkan dua pemimpin daripada parti komponen BN yang tidak memahami situasi itu.
“Persoalannya apa yang tokoh-tokoh agama buat sepanjang 53 tahun berkawan dengan MCA dan Gerakan untuk menerangkan masalah hukum asas. Mungkin mulut orang agama dalam Umno sudah penuh dengan sagon,” katanya.
Justeru, tegasnya PAS merasa bangga isu bersalam itu dijawab oleh rakan-rakan DAP dan PKR yang bukan Islam. - HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan