Isnin, 31 Januari 2011

Rasmi: BN kekal di DUN Tenang, gagal cecah sasaran majoriti 5,000

TERKINI @ 12:06:09 AM 31-01-2011
January 30, 2011
Azahar (tengah) diangkat oleh penyokong-penyokong BN selepas memenangi pilihan raya kecil Tenang hari ini. — Foto oleh Choo Choy May
LABIS, 30 Jan — Keputusan rasmi mengesahkan Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi DUN Tenang, Johor pada pilihan raya kecil hari ini, yang terganggu disebabkan hujan lebat dan banjir. Calon BN Mohd Azahar Ibrahim memperoleh 6,699 undi manakala calon PAS Normala Sudirman mendapat 2,992 undi.
Majoriti diperoleh BN 3,707 undi.
Sebelum ini BN meletakkan sasaran untuk mencapai majoriti 5,000 yang pernah diperoleh pada 2004.
Pada pilihan raya umum Mac 2008, calon BN menewaskan PAS dengan kelebihan 2,492 undi.
Terdahulu kira-kira dua jam sebelum keputusan rasmi diumumkan, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat juga menghantar mesej Twitter bahawa calon BN telah memenangi pilihan raya kecil kali ini — yang ke-14 semenjak 2008.
“Tahniah BN berjaya memenangi dan mempertahankan DUN Tenang. Selamat bertugas kepada YB Azhar,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
Dalam pada itu akaun Twitter Normala pula membawa mesej, “secara peribadinya saya berbangga dengan perjuangan dan petugas yang komited bersama (tema) Ubah Sekarang... terima kasih kepada semua (yang) bantu saya.”
Berbanding Mac 2008, peratusan keluar mengundi kali ini cuma 67 peratus atau 9,833 pemilih tunai tanggungjawab mereka, dikaitkan dengan faktor cuaca.
Seramai 73 peratus keluar mengundi pada pilihan raya umum 2008.
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Tenang Md Asri Amir di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis pada kira-kira pukul 10.05 malam.
Keputusan itu yang pada mulanya dijangka diumumkan seawal pukul 8 malam bagaimana terlewat sedikit disebabkan kelewatan tiba beberapa peti undi akibat banjir besar yang melanda kawasan DUN berkenaan hari ini.
Turut berada di dewan berkenaan untuk meraikan kemenangan calon BN ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang juga pengarah pilihan raya BN DUN Tenang dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Sebaik keputusan diumumkan, Mohd Azahar, yang berkemeja batik biru dan bersongkok, dijulang oleh para penyokongnya yang turut melaungkan “Hidup BN!”
Pilihan raya kecil DUN Tenang itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan