Selasa, 22 Februari 2011

Calon pilihan raya UM ditemui lemah di Bangi


MASTURAH (kiri) ditemani ibunya, Mariam pada sidang akhbar mengenai kehilangannya di UM, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Pelajar Universiti Malaya (UM), Masturah Abu Bakar, 22, yang hilang pada petang Sabtu lalu dijumpai awal pagi semalam dalam keadaan lemah di tepi jalan berdekatan sebuah masjid di Teras Jernang, Bangi.
Menurut ibunya, Mariam Abdul Rashid, 50, Masturah telah menghubunginya dengan meminjam telefon bimbit seorang pemilik kedai makan yang berada bersebelahan masjid di situ.
"Dia hanya panggil saya umi, umi, lepas itu saya suruh dia panggil pemilik telefon bimbit sebab Masturah seolah-olah tidak boleh bercakap lagi," katanya pada satu sidang akhbar di Akademi Pengajian Melayu UM di sini semalam.
Mariam memberitahu, selepas diberitahu oleh pemilik kedai makan itu mengenai lokasi Masturah berada, beliau sekeluarga terus menjemput anaknya di masjid berkenaan.
"Keadaan Masturah lemah dan tidak bermaya sebab tidak makan. Dia ditinggalkan di situ oleh seseorang selepas hilang sejak petang Sabtu lalu... dia anak yang baik dan saya percaya dia tidak buat perkara yang tidak betul," tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan