Selasa, 15 Februari 2011

Cerita Nazim, Hasbi dan Daim

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Baru-baru ini, Perdana Menteri  Najib Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membiayai pengubahsuaian Masjid Kampung Baru di Kuala Lumpur. Najib berkata peruntukan tersebut akan disalurkan melalui syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad. Turut hadir di dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Kg Bharu, Mohamed Nazim Abd Razak, yang juga adik Najib.

Menurut maklumat yang diperolehi, cadangan pengubahsuaian Masjid Jamek Kampung Baru  itu telah diberikan kepada NRY Architect Sdn Bhd, yang mana pemiliknya adalah  Nazim sendiri. Seorang penduduk Kampung Baru menelefon saya untuk meluahkan pandangannya: "Memandangkan Nazim adalah timbalan pengerusi masjid, SPRM diminta menjelaskan sama ada terdapat percanggahan kepentingan di mana sebagai sebagai pemilik firma arkitek NRY Architect Sdn Bhd, beliau tentu sedar bahawa perlantikannya mungkin atas kapasitinya sebagai timbalan pengerusi masjid ataupun sebagai adik Perdana Menteri sendiri."

Selain Nazim, tiga lagi saudara Najib terbabit aktif dalam perniagaan berprofil tinggi, iaitu Nazir, Johari dan Mohamed Nizam.

Nazim pernah disebut namanya oleh penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, dalam akaun bersumpahnya, pada 3 Julai 208, yang cuba mengaitkan nama Najib, Timbalan Perdana Menteri ketika itu dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu, yang dibunuh secara kejam. Sehari selepas membuat pendedahan itu, Bala secara tergesa-gesa menarik balik akuan sumpah awalnya dan menghilang keluar negara. Bala, bekas seorang anggota polis Cawangan Khas.

Ekoran itu, tiga pemimpin atasan Pemuda Pakatan Rakyat dalam satu aduan menggesa SPRM menyiasat dakwaan P Balasubramaniam berhubung pembabitan adik Perdana Menteri itu dalam isu pertukaran akuan sumpahnya.

II.

Cerita projek-projek besar kerajaan yang dibuat secara rundingan terus tanpa tender seperti pembinaan universiti, hospital dan projek jalan  dijadikan seumpama skim cepat kaya oleh para pemimpin Umno-BN bukan kisah baru. Mungkin ramai sudah muak mendengarnya disebabkan tiada langkah berkesan diambil bagi membanterasnya. Dana awam dikaut bagi keuntungan peribadi dan sebahagiannya disalurkan kepada tabung parti, yang digunakan untuk membeli undi semasa kempen pilihan raya.

Kos projek ditingkatkan berkali ganda bagi memungkinkan mereka dan kroni membolot keuntungan secara mudah. Ada yang dirundingkan di "bawah meja" lebih awal dan ia menjadi semacam perkara yang ditetapkan semasa proses rundingan harga dibuat. Para pelobi projek dan kontraktor arif benar tentang siapa perantara bagi pihak menteri dan Umno yang perlu dihubungi.

Kementerian Kewangan dikenali sebagai lubuknya. Disebabkan Perdana Menteri sendiri yang mengetuai Perbendaharaan, tugas "mengutip komisyen" itu selalunya diserahkan kepada pihak lain. Tidak pasti apakah ia termasuk anak, menantu dan isteri PM sendiri?

Ada pihak mendakwa jawatan Menteri Kewangan II juga sering diperhatikan. Peluang boleh diintai termasuk daripada setiausaha sulit ataupun setiausaha politik menterinya. Di antara nama menteri yang disebut-sebut adalah Nor Mohamed Yakcop (2004-2009), kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Justeru, nama orang kanannya, Hasbie Satar, 38 cukup popular di kalangan pelobi.

Hasbie ditahan SPRM, di pangsapurinya di Teluk Air Tawar, Pulau Pinang, bersama  penemuan wang tunai yang diikat mengikut nilai RM5, RM10, RM50 dan RM100 berjumlah kira-kira RM2 juta. Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Saya tidak begitu arif mengapa SPRM memilih pertuduhan di bawah akta berkenaan. Mungkin penemuan fakta kes dalam siasatan hanya menjurus ke arah itu. Cuma, ramai kenalan saya, yang terbabit dalam dunia perniagaan dan biasa berhubung dengan "perantara" menteri bagi melobi projek, mengharapkan lebih banyak kisah menarik tentang "dana politik Umno" tersingkap semasa perbicaraan nanti.

Bagi saya harapan kawan-kawan saya itu terlalu tinggi dan agak mustahil tercapai. "Segalanya akan ditutup nanti," balas saya.

III.

Semenjak Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dipinda pada 1975, kampus institusi pengajian tinggi tempatan memang bagai penjara. Suara penghuninya dibisukan, gerakan mereka terbatas, dan mungkin angan-angan pun tidak dapat mencecah awan; segala-galanya memerlukan kebenaran naib canselor. Tradisi ilmu dan budaya cendekia dipasung.

Malah, kakitangan akademik yang menyuarakan pendapat dalam hal-hal berkaitan kepakaran mereka juga ditegur jika ia menyinggung "wilayah sensitif" yang sempadannya semakin diperluaskan. Mengambil jalan mudah dan untuk mengelak risiko, maka majoriti warga kampus lebih asyik dengan hal-hal remeh-temeh. Tidak terkecuali yang mengambil kesempatan untuk "membodek" pihak atasan, dan berlumba-lumba "menangkap peluang" untuk kepentingan peribadi.

Pelajar dan pensyarah seolah-olah dipisahkan jauh di menara gading, sedangkan rakyat dan pemerintah amat memerlukan idea serta sumbangan golongan intelektual. Gerakan mahasiswa sekadar berperanan seperti persatuan pelajar sekolah menengah atas. Autonomi yang sudah lama dicabut menjadikan masyarakat terpelajar itu tempang dan cacat. Anehnya, selepas itu bertalu-talu pula kritikan kedengaran, yang mendakwa bahawa perwatakan,  keperibadian dan penampilan siswazah kita begitu lemah dan tidak meyakinkan.

Walhal, yang "mencacatkan" mahasiswa secara sengaja, sehingga potensi mereka lumpuh atau tidak dapat dikembangkan dengan baik, adalah pihak universiti sendiri, yang tentunya direncanakan elit pemerintah. Bagi regim yang korup dan menindas, suara independen masyarakat terdidik begitu digeruni. Penguasa seumpama itu hanya mahu memperalatkan orang lain untuk kepentingan diri dan kelompok.

Kini tiba musim pilihan raya kampus bagi memilih kepemimpinan pelajar sesi 2011/12. Proses PRK sejak lama berjalan penuh kepincangan. Ruang untuk anak-anak muda berpatisipasi dalam politik pelajar juga diganggu dengan cukup dahsyat. Pihak universiti jarang bertindak adil melayani semua calon atau kumpulan yang bertanding. Mahasiswa yang dilihat tidak cenderung dengan pemerintah dianggap seperti musuh dan terpaksa berdepan kesukaran yang sengaja dicipta Urusetia Hal Ehwal Pelajar. Masa sama, universiti "menternak" kumpulan yang mendokong aspirasi kerajaan BN.

Tujuh tahun lalu, saya pernah mendedahkan penglibatan aktif Kementerian Pengajian Tinggi -- termasuk melibatkan naib-naib canselor --  melakukan sabotaj terancang bagi mengalahkan kumpulan mahasiswa yang tidak terikat dengan Umno-BN. Mereka mengadakan mesyuarat tetap di ibu pejabat Umno, di PWTC. Peruntukan kewangan universiti diambil bagi membiayai kempen kumpulan pro-BN.

Sungguh menyedihkan apabila pegawai-pegawai universiti sanggup merendahkan (menghina) diri mereka ke tahap menjadi "barua Umno". Apa salahnya dibiarkan mahasiswa bereksperimen dengan bebas dan kreatif bagi memilih pemimpin mereka? Mengapa perlu dikhianati cita-cita, aspirasi dan idealisme luhur pelajar? Sepatutnya disediakan ruang secukupnya agar mahasiswa dapat mengembangkan bakat kepimpinan dan mengungguli idealisme perjuangan tanpa sekatan.

Lebih mengejutkan apabila saya terbaca laporan yang mendedahkan insiden memalukan di Universiti Malaya, 10 Februari lalu. Sekumpulan 20 mahasiswa dihalang secara tidak bertamadun daripada mengadakan sidang media berkaitan peraturan PRK. Cuba bayangkan, seorang pengawal keselamatan universiti bertindak menekap mulut seorang aktivis pelajar pro-Mahasiswa ketika mahu memberikan ucapan!

Keadaan kemudiannya menjadi tegang apabila pihak keselamatan enggan bertolak ansur dan membunyikan siren kereta perondanya yang diletakkan berhampiran kawasan tersebut. Kumpulan mahasiswa tadi dapat juga meneruskan sidang media selama 10 minit.

Kes "tutup mulut" yang mengaibkan ini perlu diberi perhatian serius. Reaksi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah, yang terkenal dengan kelantangannya mahu melakukan reformasi di IPT, amat ditunggu-tunggu. Dalam suasana dunia menyaksikan perubahan menyeluruh ke arah pemerintahan lebih demokratik dan regim autoritarian tergugat diasak tuntutan anak muda, malangnya situasi di negara kita begitu mengecewakan.

IV.

Bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin jarang bersuara tetapi sesekali beliau membuat ramalan politik, agak menarik juga untuk disorot. Setahun sebelum PRU12, beliau menjangkakan BN akan menghadapi tentangan cukup sengit di beberapa kawasan panas, iaitu Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor. Hasilnya BN tersungkur di tiga negeri berkenaan, ditambah satu lagi Perak.

Baru-baru ini, dalam wawancara dengan akhbar China Press, Daim meletakkan Kelantan dan Pulau Pinang sebagai negeri selamat buat Pakatan Rakyat. Meskipun media yang dikontrol BN sering menggambarkan pentadbiran Lim Guan Eng tidak henti-henti berdepan masalah dan rungutan rakyat, Daim melihat kerajaan Pulau Pinang tetap kuat dan tiada petanda akan berlaku peralihan kuasa dalam PRU13.

Begitu juga dengan situasi di Kelantan. Bagi Daim, kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz begitu disayangi rakyat. Bagaimanapun, pertembungan BN dan Pakatan tetap mendebarkan di Selangor, Kedah dan Perak. Keputusan akhirnya dilihat bergantung kepada calon yang dipilih dan kualiti menteri besarnya.

Daim, bekas Ahli Parlimen Merbok turut memandang tinggi Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak, yang juga katanya, disukai rakyat. Ustaz Azizan, tambahnya peramah dan senang didekati. Selain Daim, secara terbuka, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga menghormati gaya pentadbiran Ustaz Azizan.

Keupayaan Pakatan mempertahankan Selangor dipersoal Daim. Sasarannya lebih tertumpu kepada cara Abdul Khalid Ibrahim menerajui kerajaan negeri, yang didakwanya lebih mirip seperti seorang CEO sebuah syarikat. Rakyat, katanya, mahu melihat sebuah kerajaan yang berkhidmat untuk rakyat, bersih dan cekap. Peranan Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri juga dikritik.

Saya tidak pasti mengapa Daim tidak merangkaikan Terengganu sebagai negeri yang juga cukup berpotensi untuk direbut Pakatan. Negeri yang pernah ditadbir PAS (2004-2008) kini menghadapi masalah besar daripada segi kewangan dan juga politik dalaman Umno. Pentadbiran Ahmad Said goyah dan menerima banyak kritikan khususnya daripada penyokong Umno sendiri. Rasanya jika Pakatan berupaya menampilkan calon-calon terbaik, dalam keadaan wibawa menteri besar sekarang dipertikai, Daim perlu memasukkan Terengganu  dalam senarai "kawasan panas".

Di mana-mana pun, sifat politik cukup dinamik. Tekaan hari ini boleh meleset atau diperkukuhkan lagi jika situasi politiknya berubah. Ramalan Daim tidak terkecuali. Kebijaksanaan rakyat dan kesungguhan parti-parti bertanding bakal menentukan keputusan akhirnya.  -- lutfi_detik@yahoo.com

Cerita Nazim, Hasbi dan Daim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan