Jumaat, 4 Februari 2011

'Kami tidur bertemankan pisau'


NAZEERA (tengah) disambut ibu bapanya, Mohd. Nasir Abdullah dan Zaimah Abu Bakar di KLIA semalam.


SEPANG - "Kami tidur dalam ketakutan dengan bertemankan pisau dan penyembur lada di sisi."
Demikian cerita dua sahabat baik yang merupakan penuntut tahun ketiga jurusan perubatan di Universiti Mansoura, Mesir iaitu Nazeera Mohd. Nasir, 21, dan Nurul Shafiqah Mohd. Tajudin, 21.
Kedua-dua pelajar itu selamat tiba bersama tiga lagi pelajar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 10 malam semalam dengan menaiki penerbangan EK0342 Emirates dari Kaherah.
Nazeera berkata, mereka dibelenggu perasaan cemas dan takut ekoran kawasan rumah sewa mereka di Mansoura agak tegang terutamanya ketika malam dengan bunyi tembakan dan cermin rumah dipecahkan.
"Pada hari pertama, ketika itu kami sedang tidur, tiba-tiba dikejutkan dengan pengumuman dari masjid berdekatan yang meminta semua penduduk agar menutup lampu dan mengunci semua pintu kerana banduan terlepas di penjara yang berdekatan dengan rumah sewa kami.
"Kami berkongsi katil setiap malam dan asyik berjaga kerana terdengar bunyi pecah rumah, pengumuman dari masjid jika ada rumah yang dipecah, kereta kebal lalu-lalang selain bunyi tembakan hingga menyebabkan kami terpaksa tidur dengan pisau dan penyembur lada sebagai langkah keselamatan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan