Rabu, 9 Februari 2011

Kelab MohamadSabuDotCom


KAHERAH 9 Feb. – Beribu-ribu penunjuk perasaan kembali memenuhi Dataran Tahrir hari ini, kebanyakan mereka merupakan muka baru dan bertenaga bagi mendesak Presiden, Hosni Mubarak meletak jawatan masuk hari ke-16 setelah dataran itu lengang seketika minggu lalu.

Penunjuk perasaan meluahkan perasaan tidak puas hati mereka kerana mendakwa media kerajaan menipu berhubung perletakan jawatan presiden tersebut.

Perhimpunan hari ini dilihat lebih besar berbanding hari-hari sebelumnya dengan ruang kosong di Dataran Tahrir dipenuhi dengan penunjuk perasaan dengan begitu cepat, menyertai sebahagian rakan-rakan mereka yang berkampung di dataran itu sebelum ini.

Wartawan Reuters, Dina Zayed berkata, perhimpunan hari ini lebih besar berbanding pada Jumaat lalu.

“Ini merupakan salah satu perhimpunan paling besar sejak tunjuk perasaan tercetus pada 25 Januari lalu bagi mendesak Mubarak berundur,” katanya.

Berdasarkan anggaran kasar, luas kawasan tunjuk perasaan itu boleh mengisi suku juta orang jika kawasan itu betul-betul padat dipenuhi dengan orang ramai.

Tunjuk perasaan turut kembali berlaku di bandar-bandar lain hari ini termasuk di Iskandariah dengan penduduk membawa sepanduk-sepanduk menggesa Mubarak berundur.

Penunjuk perasaan itu daripada semua lapisan umur dan latar belakang datang dari seluruh pelusuk Mesir sejak tengah hari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan