Ahad, 20 Februari 2011

Kit Siang: Ops Lalang taktik Mahathir kukuhkan kuasa politik

February 20, 2011
Buku biografi Lim Kit Siang berjudul The Right To Differ yang dikeluarkan hari ini.
KUALA LUMPUR, 20 Feb — Lebih 100 orang, kebanyakannya pemimpin pembangkang dan aktivis, yang ditahan di bawah Operasi Lalang 1987 telah dijadikan kambing hitam dalam gerakan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memperkukuhkan kuasa politiknya, dakwa Lim Kit Siang dalam satu biografi dikeluarkan hari ini.
Ahli Parlimen DAP ini mendakwa Dr Mahathir, bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno, terdesak untuk mengalih perhatian ekoran cabaran Tengku Razaleigh Hamzah dalam persaingan jawatan presiden Umno, perkembangan yang turut menggugat parti itu dan cuba menutup “skandal-skandal lain.”
Awal 1987, Umno mengadakan pemilihan jawatan-jawatan partinya di mana buat pertama kali sejak 12 tahun jawatan presiden telah dicabar. Tengku Razaleigh yang merupakan calon “Pasukan B” untuk jawatan presiden mencabar Dr Mahathir daripada ”Pasukan A”.
“Operasi Lalang bukannya mengenai soal kami menjadi ancaman kepada keselamatan negara, tetapi ia berkenaan dengan keperluan beliau (Dr. Mahathir) memperkukuhkan kedudukan kuasanya dalam Umno,” kata Lim dalam buku berjudul “The Right to Differ”, tulisan ahli akademik Ooi Kee Beng.
Lim genap berusia 70 tahun ini dan merupakan ahli Parlimen veteran negara ini.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Ipoh Timur ini dan Dr Mahathir terlibat dalam 'perang' kenyataan mengenai Operasi Lalang, yang turut membawa kepada penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Lim ditahan di bawah ISA buat kali kedua ketika itu. Kali pertama pada 1969.
Pada 17 Februari lalu, Dr Mahathir berkata, beliau sebenarnya mahu memansuhkan ISA ketika memegang tampuk pemerintahan negara selama 22 tahun.
Bagaimanapun, menurut Dr Mahathir, usaha itu gagal kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak cadangan tersebut.
Kira-kira seminggu sebelum itu Dr Mahahir menyalahkan polis yang ekoran penangkapan besar-besaran di bawah ISA pada 1987 termasuk Lim dan anaknya Lim Guan Eng yang kini Ketua Menteri Pulau Pinang.
Ekoran kenyataan Dr Mahathir itu, yang dirakamkan dalam buku “Doctor M: Operation Malaysia — Conversations with Mahathir Mohamad” tulisan Tom Plate, Lim telah mencabar bekas perdana menteri itu agar mendedahkan nama pemimpin-pemimpin pembangkang yang beliau bertemu dan memberi jaminan bahawa mereka tidak akan ditahan di bawah Operasi Lalang 1987.
Menjawab dakwaan Dr Mahathir bahawa polis yang mahu pemimpin-pemimpin pembangkang dan yang lain ditahan, Lim berkata: “Biar Mahathir menamakan pemimpin-pemimpin pembangkang yang beliau telah bertemu dan memberikan jaminan bahawa mereka tidak akan ditahan, tetapi ia telah diatasi oleh polis menerusi Operasi Lalang.”
Kata Lim, Dr Mahathir bukan sahaja berhadapan dengan masalah memori selektif dan fikiran tidak betul tetapi turut memutarbelitkan perkara tidak benar mengenai ketidakadilan yang dilakukannya selama 22 tahun menjadi perdana menteri.
Kata Lim, tidak patut Dr Mahatahir mempersalahkan polis sebagai pihak yang bertanggungjawab atas Operasi Lalang memandangkan beliau bukan sahaja tidak mempertahankan penahanan 106 orang di bawah Seksyen 73 ISA, malah beliau menggunakan kuasanya selaku Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 8 akta itu untuk mengeluarkan perintah menahan selama dua tahun membabitkan 49 orang termasuk tujuh ahli Parlimen DAP.
Dalam buku mengenainya, Lim pula berkata Dr Mahathir memulakan serangan ke atas pelbagai institusi seperti kehakiman, suruhanjaya pilihan raya dan Parlimen sebab “rakyat dapat melihat janji-janjinya tidak dipenuhi.”
“Pada ketika itu, sesetengah kes berakhir dengan penghakiman yang Mahathir mendapati tidak boleh diterima. Akhirnya, beliau bimbang bahawa bidang kehakiman akan mengambil satu keputusan yang akan membawa kepada kejatuhan Mahathir dan Umno.
“Operasi Lalang, pemecatan (Tun) Salleh Abas dan hakim-hakim Mahkamah Agung datang dalam konteks itu,” kata Lim.
Justeru Lim menambah, itu masanya Dr Mahathir memutuskan bahawa kebebasan sistem kehakiman dan integriti-integriti institusi terbabit adalah soal kedua berbanding kedudukan kuasanya.
Kata Lim, Dr. Mahathir memerlukan satu cara untuk memesongkan persekitaran ketika itu ekoran skandal-skandal seperti Bumiputra Finance Berhad dan isu-isu sensitif seperti penganutan besar-besaran agama Kristian dan juga penempatan pentadbiran pengetua yang tidak fasih berbahasa Mandarin di sekolah-sekolah Cina.
“Kesemuanya membawa kepada soalan asas: Apa bentuk Malaysia yang kerajaan hendak bina?” kata Lim.
Beliau menambah, “kekecewaan dalam Umno sendiri juga meningkat” ketika itu.
Pada 1986, bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam meletakkan jawatan manakala Tengku Razaleigh ketika itu menteri kewangan memutuskan untuk mencabar Dr Mahathir bagi jawatan presiden Umno.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan