Jumaat, 4 Februari 2011

Merlimau: Shahrizat harap BN letak calon wanita

February 04, 2011
JASIN, 4 Feb — Selepas tidak menjadi kenyataan di Tenang, Wanita Umno mahu Barisan Nasional (BN) Melaka mempertimbangkan calon wanita bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, 6 Mac ini.
Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata harapan dan hasrat pergerakan itu sudah disampaikan kepada Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang juga Ketua Menteri Melaka.
“Kita menunggu keputusan daripada Ketua Menteri Melaka,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Sungai Ramai dekat sini, hari ini.
Mohd Ali juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.
Shahrizat, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, diminta mengulas tujuh nama termasuk seorang wanita yang diserahkan Umno Jasin kepada Mohd Ali untuk dipertimbangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu.
Dipetik Bernama, Shahrizat berkata jentera pilihan raya wanita Umno telah bersiap sedia untuk membantu calon BN memenangi pilihan raya tersebut.
“Mereka sudah mahir dalam kerja-kerja pilihan raya dan mereka menunjukkan kepimpinan yang baik,” katanya.
Kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN, meninggal dunia pada 20 Januari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Feb ini sebagai tarikh penamaan calon  manakala pengundian pada 6 Mac jika ada pertandingan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan