Ahad, 20 Februari 2011

PAS, PKR P.Pinang setuju cadangan Guan Eng

Pakatan Rakyat menyifatkan keputusan  kerajaan negeri Pulau Pinang mewujudkan portfolio khas bagi menguruskan hal ehwal agama-agama bukan Islam di negeri itu sebagai satu langkah tepat dalam suasana negara sekarang.Malah pemimpin PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata pihaknya  tidak menghalang langkah kerajaan negeri Pulau Pinang diterajui Lim Guan Eng itu dari DAP itu.
"Dalam Pakatan Rakyat kita tidak memerintah berdasarkan agama dan perkauman sempit, jadi bagi saya adalah wajar portfolio itu diwujudkan sebagai langkah untuk mengelakkan fitnah-fitnah agama yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam negara.
"Bagi saya portfolio ini adalah satu tindakan yang tidak bertentangan dengan pentadbiran negara, yang mana kita ada portfolio menjaga hal ehwal agama Islam, jadi tiada masalah untuk wujudkan portfolio khas bagi menguruskan hal ehwal agama-agama bukan Islam di Pulau Pinang," kata ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat Dr Mujahid Yusuf Rawa ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider.
Jelas beliau, PAS yang selama ini memperjuangkan dasar Islam tiada halangan sekiranya Pulau Pinang mahu mewujudkan portfolio itu.
"Saya harap dengan adanya portfolio ini ia akan jadi satu jambatan untuk wujudkan suasana harmoni di Pulau Pinang yang mana kalau kita lihat Umno sentiasa gunakan agama untuk menyerang di sana.
"Dengan ada portfolio ini ia juga akan jadi jambatan antara hubungan antara agama di sana, jadi bagi PAS kita tiada halangan sekiranya ia mahu diwujudkan," katanya.
Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, langkah mewujudkan portfolio itu akan menjadi "jambatan" antara agama Islam dan agama lain di negeri itu.
"Kita kena lihat ia dari sudut keperluan dan perspektif yang mana ia bertujuan untuk memantau agama lain supaya lebih terkawal.
"Dengan adanya portfolio ini ia dapat memantau pergerakan agama lain dan harapan kita ia akan jadi jambatan antara agama, satu jambatan yang baik untuk wujudkan sikap yang baik," katanya.

Kelmarin, Lim berkata kerajaan negeri Pulau Pinang akan mewujudkan portfolio khas bagi menguruskan hal ehwal agama-agama bukan Islam di negeri itu.
Dengan keputusan itu, portfolio tersebut akan memberi tumpuan ke atas hal ehwal agama Buddha, Kristian, Sikh, Taoisme dan Hindu.
Ia akan dipengerusikan oleh ketua menteri sendiri.
"Ini kali pertama satu portfolio majlis eksekutif negeri diadakan," kata Lim.
Lim berkata keperluan untuk mengadakan portfolio itu yang dibawa oleh Timbalan Ketua Menteri II Profesor Dr P. Ramasamy diluluskan minggu lalu.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Dr Muhammad Nur Manuty berkata, orang bukan Islam mempunyai hak untuk mewujudkan portfolio itu sebagai langkah penyelarasan agama masing-masing.
"Saya rasa dari segi keperluan masyarakat bukan Islam mereka ada hak untuk ada penyelarasan tanpa menjejaskan agama Islam yang merupakan agama rasmi negara.
"Saya rasa kerajaan Pulau Pinang faham akan perkara ini dan fungsi-fungsi berkaitan agama Islam malah ia juga dipertahankan di Pulau Pinang," katanya.
Jelas beliau, langkah kerajaan negeri Pulau Pinang itu akan membantu mewujudkan pemahaman antara agama Islam dan agama bukan Islam
"Untuk pengurusan ia akan beri satu platform ke arah pemantapan pemahaman antara Islam dan bukan Islam, malah ia juga akan memberi kebaikan.
"Kalau hanya sekadar penyelarasan ia tiada masalah dan yang penting ia tidak jejaskan agama Islam, jadi orang Islam tidak perlu bimbang sekiranya ia dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata cadangan untuk mewujudkan portfolio tersebut tiada masalah, malah Islam tidak menghalang.
Namun menurut Mohd Asri, adalah lebih baik sekiranya kandungan portfolio itu dijelaskan terlebih dahulu kepada umum.
"Ia tiada masalah kalau sekadar mengawal urus agama-agama lain, kalau setakat penyelarasan sahaja ia tiada masalah.
"Tapi kita kena lihat apa fungsinya dulu, kalau hanya penyelarasan tiada masalah untuk melaksanakannya lagipun atas dasar apa kita nak ketepikan cadangan itu," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan