Aziz Muda |
Puluhan aktivis Pro Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaysia (UM) mengadakan demonstrasi bagi menuntut keadilan terhadap pencalonan dan kaedah kempen pilihanraya di kampus mereka, di sini, kelmarin. Mereka berkumpul di persekitaran bangunan Akademi Pengajian Islam sekitar jam 2.15 petang, sebaik selesai solat Jumaat dan berarak menuju ke Gazebo yang terletak di persekitaran Kompleks Perdanasiswa di pusat pengajian tinggi itu. Dengan diketuai Presiden Mahasiswa Negeri Sembilan yang juga Setiausaha Politik Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Ahmad Sabri Jamaluddin, mereka tiba di Gazebo sekitar jam 2.20 petang. Sebahagian daripada mereka mempamerkan sepanduk yang menuntut pihak pentadbiran UM memansuhkan sistem 4e bagi pencalonan calon-calon yang bertanding pada pilihanraya kampus mereka yang mula diperkenalkan tahun ini. Demonstrasi aman dan tanpa sebarang provokasi itu diadakan oleh mereka ekoran beberapa perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam perjalanan pilihanraya kampus (PRK) di UM tahun ini, sehingga empat pencalonan Pro-M ditolak pencalonannya pada 17 Februari. Asas penolakan pencalonan keempat-empat mereka itu amat kabur, manakala tempoh masa bantahan dan rayuan pula amat pendek, tidak seperti yang dinyatakan oleh Jawatankuasa Pelaksana PRK seperti yang ditampalkan di Kompleks Perdanasiswa. Seorang aktivis Pro-M yang ditemui, Nurashikin Nordin memberitahu, maklumat yang ditampalkan di Kompleks Perdanasiswa itu sendiri pun agak pelik, apabila ia sepatutnya ditampalkan semalam tetapi baru ditampalkan hari ini, pada hal pencalonan sudah bermula semalam. Menurut beliau, pencalonan yang bermula jam 10 pagi itu jika berpandukan maklumat yang ditampalkan itu menyediakan ruang waktu bantahan dari jam 11.30 pagi hingga 1.00 tengah hari, tetapi di peringkat pelaksanaannya pada 17 Februari, ia hanya boleh dimulakan jam 12.30 tengah hari. "Tempoh untuk rayuan pula bermula jam 1.00 tengah hari hingga 3.00 petang. Namun, ketika waktu untuk rayuan, mereka yang ditolak pencalonannya itu tidak dapat membuat sebarang rayuan kerana pintu dewan (bilik) berkenaan ditutup oleh pihak Jawatankuasa Pelaksana yang turut dikawal rapi oleh pihak keselamatan serta polis," jelasnya. Selain itu, pencalonan seorang calon bebas yang bertanding atas tiket Penggerak Mahasiswa pada tahun lalu, Faldhurahman Hidayat yang sepatutnya ditolak tetap juga diterima oleh pihak Jawatankuasa Pelaksana. Menurut peraturan, borang pencalonan mestilah dikemukakan pada 16 Februari paling lewat jam 4.30 petang, tetapi Faldhurahman mengemukakan pencalonannya ketika waktu untuk menyerahkan pencalonan telah ditutup iaitu jam 8.30 pagi keesokan. Satu lagi ketidakadilan yang berlaku, berdasarkan buku peraturan undang-undang PRK, sebarang 'banner' yang digunakan sama ada untuk kempen dan sebagainya oleh pihak-pihak yang bertanding dilarang menggunakan warna parti masing-masing. Bagaimanapun, pihak Penggerak Mahasiswa yang berada di pihak lawan telah pun menggunakan warna parti mereka dengan jelas pada 'banner' mereka untuk berkempen, tetapi tidak pula ditegah serta dikenakan sebarang tindakan oleh pihak Jawatankuasa Pelaksana. Warna rasmi Pro-M, oren, manakala warna rasmi Penggerak Mahasiswa pula kuning. Untuk melicinkan perjalanan PRK, pihak Pro-M tetap patuh dengan arahan itu dengan hanya menggunakan 'banner' berwarna putih, tetapi mereka tetap juga dikenakan pelbagai tindakan disebabkan sikap diskriminasi pihak pentadbiran UM dan Jawatankuasa Pelaksana PRK di kampus itu. Sementara itu, perkembangan terkini menyaksikan tiga daripada empat pencalonan Pro-M yang ditolak pencalonannya 17 Februari diterima kembali oleh pihak Jawatankuasa Pelaksana, setelah dibantah keras oleh pihak Pro-M yang turut mengadakan demonstrasi. Namun, pencalonan salah seorang daripada mereka, Naufal Mat Isa bagi kerusi Fakulti, tetap ditolak dan digantikan dengan Nasrul Alam, menjadikan pencalonan Pro-M bagi pertandingan kerusi Fakulti 18, manakala sembilan bagi kerusi Umum. Sehingga melebihi jam 8.30 malam itu, mereka yang menyertai demonstrasi itu masih tidak meninggalkan Gazebo, kecuali hanya beredar sekejap bersilih ganti untuk solat bagi mengikuti perkembangan terkini hasil rundingan mereka dengan Timbalan Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Alumni, Prof Datuk Dr Rohana Yusof di biliknya sejak jam 3.00 petang. Bagi pihak Pro-M, rundingan tersebut diwakili oleh Pengerusi Pro-M sendiri, Farid Jalpah dengan ditemani Pengerusi Komuniti Mahasiswa Kerinchi, Izuddin Helmi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan