Khamis, 17 Februari 2011

Posted on Wednesday, February 16 @ 22:06:40 PST
Dilulus untuk paparan oleh BudakJalanan

Cadangan kerajaan untuk memperluaskan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) ke atas media baru seperti blog, facebook, twitter dan youtube dianggap bertentangan dengan dasar Wawasan 2020. Bagi Ketua Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah cadangan itu disifatkan satu kemalangan dan musibah serius ke atas rakyat.HARUN baru-baru ini.

 Bahkan katanya tidak ada satu bukti media menjadi punca kemusnahan sesebuah negara. Ikuti hujah-hujah beliau bersama Wartawan Harakah SALMIYAH  
Dasar kerajaan untuk melaksanakan Wawasan 2020 sudah tentu terkandung di dalamnya dominasi rangkaian media baru. Dengan memperluaskan AMCP, apakah hasrat itu akan tercapai?

DR ABU HASSAN HASBULLAH: Kita kembali kepada dasar yang telah diterima semua pihak sejak ia dilancarkan. Yang membabitkan pihak sekolah, guru terus kepada universiti dan masyarakat. Kepercayaan itu semua orang tahu iaitu Wawasan 2020. Kita tidak menolak bahkan yakin semua politik setuju dasar itu terbentuk. Atas dasar ini untuk memajukan intelektualisme, kepakaran dan kemahiran dan memperteguhkan demokrasi  yang mana mahukan masyarakat berfungsi dengan budiman.  Jadi sudah pasti untuk menjayakan Wawasan 2020 ia tidak mungkin terjadi hanya mengharapkan masyarakat menunggu suatu faktor-faktor keramat yang datang kepada mereka sebagai mana dalam filem-filem hantu dan purba. Tetapi untuk memajukan masyarakat, membangunkan ekonomi, politik dan sosial masyarakat memerlukan pengetahuan secara dinamik, praktikal dan prakmatik. Pada kurun ke-21 pengetahuan ini tersebar dan proses pembentukan informasi di dalam media baru melalui ejen perkasa iaitu internet yang mana telah memudahkan dan merealisasikan kepayahan masa silam untuk mendapatkan ilmu.

Melalui jaluran internet ramai yang bimbang, ia lebih banyak mendatangkan negatif daripada positif. Betulkah dakwaan ini?

Miskipun kita tidak nafikan kandungan internet ada unsur-unsur negatif seperti pemikiran ligisme, sekularisme, dan nilai-nilai yang bertentangan dengan prinsip kita. Tetapi yang negatif akan menterjemahkan kemampuan masyarakat untuk mentafsirkannya. Sekali gus sudah pasti masyarakat yang profesional dan mempunyai ilmu yang luas boleh membezakan yang mana baik dan buruk. Masyarakat tahu. Ini kerana internet telah memberi ruang kepada masyarakat untuk berpengtetahuan. Mustahil seramai 26 juta rakyat negara ini mampu untuk melanjutkan pelajaran di universiti kerana setiap individu mempunyai kelebihan dan kelemahan.  Namun, melalui internet masyarakat 26 juta ini tidak terhalang untuk mendapatkan pengetahuan walaupun mereka tidak berkelayakan melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi. Mereka akan berkemampuan untuk mendapatkan maklumat dalam internet.
Maknanya kekuatan media baru untuk memberikan pengetahuan tidak boleh dinafikan?

Kita harus menerima internet dan melalui media baru ini sebagai proses tektikal yang pragmatik di dalam merealisasikan kebolehan dan juga kesediaan masyarakat untuk terlibat dalam pengetahuan. Kita tidak mahu satu hari nanti masyarakat negara lain yang lebih mundur dari kita tiba tiba berjaya mengatasi kita dari aspek kepakaran, kematangan demokrasi dan komunikasi.  Pada waktu itu kita sudah terlambat membangunkan peradaban kita lebih baik. Tidak semua elemen kemajuan membangunkan masyarakat hanya dibentuk melalui halangan dan sistem yang kebal dan kuku besi. Sebahagian masyarakat boleh terbentuk dengan sikap keterbukaan dinamiknya dan relatif untuk memproses demokrasi.  Kita bimbang masyarakat yang dikawal dan ditempurungkan lemah berbanding masyarakat yang berdepan dengan pengalaman dan pengetahuan.

Revolusi yang sedang berlaku di Mesir berpunca daripada pengaruh media baru. Apakah suasana ini dibimbangi berlaku di negara ini sehingga ada usaha untuk memperluaskan AMCP? 

Kita percaya internet sama juga dengan televisyen dan akhbar tidak pernah memusnahkan mana-mana negara, tidak pernah ada bukti media menjadi penyebab hancurnya mana-mana negara tetapi kebanyakan negara itu berhadapan masalah akibat pemimpin yang lemah, kekangan politik yang tidak adil, demokrasi yang tidak wujud sebagaimana berlaku di Tunisia.  Pencapaian internet di negara itu cuma 12 peratus. Di Mesir cuma sekitar 13 hingga 15 peratus. Bermaksud internet tidak berpengaruh tetapi masyarakat kembali juga memberontak.  Cuma ketika menyampaikan maklumat ini ada sebahagian atau 13 peratus di kalangan ahli masyarakat menggunakan capaian internet di negara itu. Mereka menggunakan media baru untuk menyampaikan mesej, yang sudah tidak tahan dalam keadaan ekonomi, politik dan sosial yang sudah tidak membantu mereka untuk hidup dalam masyarakat yang sejahtera.

Media baru berperanan membangkitkan kesedaran rakyat...

Apa yang berlaku di Mesir adalah revolusi emosi masyarakat negara itu akibat daripada kepunahan dalam ekonomi, politik dan sosial. Cuma gerakan mereka itu akhirnya disebarkan ke dunia melalui internet. Perkara ini tidak ada hubungan sama ada internet yang mencetuskan revolusi. Cuma internet yang menyalurkan informasi dan perkembangan di Mesir.  Andainya perkembangan di Mesir boleh mempengaruhi situasi negara-negara lain maka sudah pasti negara-negara lain yang juga mengalami keadaan sebagaimana di Mesir yang berhadapan atau mempunyai masalah yang sama. Kita lihat masalah politik di Tunisia hampir sama dengan Mesir, ini kerana apa yang berlaku di Tunisia adalah faktor politik dan merebak ke Mesir. Proses penyebaran di peringkat internat hanya dimaklumkan ke dunia melalui media baru sebagai  memaklumkan dan sebagai penyebar informasi. Mereka mendedahkan kematian seorang pemuda mempertahankan haknya berniaga untuk menaiktaraf ekonomi, sekali gus menjelaskan kegagalan pemerintah untuk memperkukuhkan ekonomi, politik dan sosial. Ianya tersebar.  Kita tidak boleh menghalang atau tutup seluruh internet di dunia sekali pun. Sudah pasti ada orang yang memiliki kamera atau gambar-gambar melalui telefon yang boleh mengirim berita melalui sms atau mms. Sebab kurun ke-21 adalah kurun teknologi. Katakan  kita menolak  teknologi ini adalah sia-sia, ia tidak akan berjaya. Ini kerana pada kurun ini telah merealisasikan situasi di mana media baru adalah alat masyarakat berhubung dan berkomunikasi.

Malaysia dikatakan antara pengguna facebook yang paling tinggi mencecah 8 juta orang. Walaupun ia hanya laman sosial tetapi ia dijadikan medium utama menyebarkan maklumat. Bagaimana Prof melihat fenomena ini?

Ya, rakyat kita begitu ghairah menggunakan media baru. Ini terjadi dengan pencapaian pengguna blog serta facebook yang hampir mencecah 8 juta orang dan mungkin dua tiga tahun lagi mencecah berbelas juta.  Kita harus bertanya kenapa masyarakat berkomunikasi dan berhubung apatah lagi zaman media baru? Ini kerana masyarakat tidak mampu. Di tambah pula media konvensional yang tidak mempunyai ruang kepada mereka. Media konvensional terlalu berpihak dan media ini tidak rasional di dalam satu-satu isu, tidak mempunyai ruang untuk menangani atau menghormati perbezaan nilai, budaya, fikiran dan sebagainya. Maka sudah pasti masyarakat yang berbagai-bagai lapisan dan budaya ini ingin berkomunikasi, sebab mereka masyarakat yang prakmatik dan dinamik yang mempunyai keinginan mengetahui perkembangan. Masyarakat yang ghairah terhadap pengetahuan dan percaya mereka akan maju seandai mereka mendapat ilmu dan juga berpengetahuan lebih tinggi kerana media tradisi seperti akhbar dan televisyen tidak mempunyai ruang yang terbuka dalam menguruskan perbezaan sikap dan posisi masyarakat. Secara tidak langsung akan menarik masyarakat menggunakan media baru seperti facebook atau blog, twitter dan sebagainya.
Media baru seperti facebook sarat dengan pelbagai perbedaan. Adakah ini baik?

Kita lihat di dalam facebook  segala macam ideologi ada di dalamnya. Maknanya masyarakat di dalam media baru mengambil pemikiran bahawa tidak ada faedah kita berbeza-beza.  Jika kita berbeza-beza fahaman politik itu berlaku dalam media konvensional hanya taksub kepada satu aliran sahaja. Akhirnya di dalam internet mereka berbagi-bagi pandangan dan pendapat inilah yang kita hendak, justeru melahirkan masyarakat yang rasional dan intelektual berbanding masyarakat yang hanya menerima satu informasi sahaja akhirnya mengundang masyarakat yang tidak rasional iaitu masyarakat yang tidak mampu menguruskan diri mereka yang lebih taktikel. Jadi internet sebenarnya telah memberi ruang kepada setiap lapisan manusia misalnya apa yang ditujukkan oleh Barack Obama yang telah menggunakan internet dan akhirnya berjaya menjadi Presiden Amerika Syarikat. Internet juga akhirnya menyatukan masyarakat dan tidak pernah memecahbelahkan masyarakat.  
Salurkan pandangan dan idea anda -- tentang ura-ura kerajaan mahu memperluaskan skop sekatan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) termasuk kepada kandungan interner, seperti facebook -- kepada akaun FB Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan