Rabu, 9 Mac 2011

Kenyataan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail Tentang PRK Kerdau dan Merlimau

Keputusan pilihanraya kecil di Merlimau dan Kerdau yang baru sahaja berlangsung pada 6 Mac lalu sememangnya telah diduga. Selain menyedari dua DUN tersebut adalah kubu kuat BN kita dapati imbuhan keterlaluan telah dilemparkan kepada pengundi. KEADILAN mendesak supaya SPR dapat bertindak dengan bebas dan berkecuali serta peka terhadap aduan-aduan yang diajukan oleh kedua-dua belah pihak secara adil dan telus.
KEADILAN mengucapkan tahniah dan syabas kepada petugas PR yang terpaksa menongkah arus dengan berhadapan jentera gergasi BN. Apatah lagi seluruh jentera kerajaan diguna sewenangnya. Media arus perdana pula kekal tempang dan begitu mudah diperkudakan.
Pakatan Rakyat akan mengorak langkah bagi menghadapi pilihanraya Sarawak dan PRU13. Gerakerja tersusun di setiap peringkat perlu dimulakan sekarang. Kemenangan dua PRK ini pastinya menjadikan BN selesa dan memanggil PRU13 seawal mungkin. PR harus terus mendekati rakyat kerana kesejahteraan rakyat tidak memadai dengan gula-gula pilihanraya. Apa-apapun, kita harapkan SPR akan lebih telus dan bebas lantas mengizinkan sistem demokrasi di negara ini dilaksanakan sebaik mungkin. Amat penting untuk kita menyelamatkan negara demi kesejahteraan berpanjangan.
Dr Wan Azizah Wan Ismail

Tiada ulasan:

Catat Ulasan