Khamis, 3 Mac 2011

Perang Pun Ada Syarat, Dakwah Perlu Berhemah

KUALA LUMPUR, 2 Mac - Setiap pejuang Islam termasuk para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS diingatkan memainkan peranan lebih berkesan dalam dakwah kerana penubuhan PAS bukan semata-mata untuk politik Islam, tetapi juga berdakwah. Oleh itu, setiap pemimpin dan ahli-ahli PAS bukan sahaja perlu mendekati orang-orang Islam, tetapi juga mereka yang bukan Islam bagi mengajak mereka bersama-sama mengesakan Allah di muka bumi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, menyedari hakikat itulah, PAS sentiasa bersedia menjalin kerjasama dengan mereka yang bukan Islam asalkan mereka boleh menerima perjuangan PAS. Menurut beliau, perkara itu memang sudah amat jelas sejak sekian lama dan ia tidak sepatutnya disalah anggap oleh pihak-pihak lain, melainkan mereka yang sememangnya berniat tidak baik terhadap PAS.

"Dalam rangka kerjasama dengan mereka yang bukan Islam, kita tidak perlu takut ditipu kerana sekiranya ditipu cukuplah bagi kita Allah yang menolong kita," katanya dalam pertemuannya dengan para editor dan wartawan Harakah serta Harakahdaily di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini. Jadi kepada yang beragama Islam, menurut beliau, tetapi tidak beramal dengan ajaran Islam, perlulah didekati oleh para pemimpin dan ahli-ahli PAS untuk menyedarkan mereka supaya kembali ke jalan Allah.

"Manakala kepada yang bukan Islam, perlulah kita dekati mereka untuk mengajak mereka bersama-sama dengan kita untuk mengesakan Allah," katanya. Dalam pertemuan itu, beliau turut mengingatkan, dalam menyampaikan dakwah, penulisan merupakan suatu medium yang amat berkesan, lebih-lebih lagi dengan kewujudan internet kini sehingga membolehkan munculnya media online.

Sejajar dengan itu, setiap penulisan perlulah dioleh dengan baik agar mendatangkan kesan yang baik kepada mereka yang menjadi sasaran penulisan itu dan pihak lain yang turut membacanya. Beliau turut mengingatkan agar setiap penulisan yang dihasilkan oleh para editor dan wartawan Harakah dan Harakahdaily bersih dari serangan peribadi seseorang kerana ia boleh menimbulkan kesan tidak baik dalam kegiatan dakwah.

"Jika kita hendak membetulkan Umno BN, fokus kita adalah dengan menegur dasar-dasarnya yang tidak betul, penyelewengan yang dilakukan, salah guna kuasa yang berlaku dan sebagainya," tegasnya. Dalam menyampaikan dakwah pula, beliau turut mengingatkan semua pihak agar berhemah dan berdakwah dengan lemah lembut seperti yang diarahkan oleh Allah kepada Nabi Musa dan Harun ketika berdakwah kepada Firaun.

"Dengan itu, barulah dakwah kita akan mendatangkan kesan yang baik, bukannya dengan cara berperang. Malah kalau berperang pun, kita tetap juga diperintahkan Allah agar menjaga syarat-syaratnya kerana dalam Islam, berperang pun adalah juga untuk berdakwah," ujar beliau./Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan