Ahad, 27 Mac 2011

Suhaimi Mokhtar: Libya jadi Iraq


Suhaimi Mokhtar   
Bumi umat Islam,Libya  cepat dan segera menjadi satu lagi Iraq. Kalau Iraq diserang pada 2003 atas  alasan  atau pretex kerana Presiden Saddam Hussien ketika itu  memiliki   senjata pemusnah besar-besaran  (WMD) yang akhirnya ternyata  tidak benar, Libya pula  diserang  dari udara dan laut untuk menyelamatkan  rakyat awam Libya  dari  serangan apparatus  persenjataan dan kekuatan ketenteraan  tentera  yang pro  dan setia kepada Muammar Ghadafi. Senario kebangkitan rakyat Libya menentang regim Ghadafi yang memerintah  secara diktator selama 42 tahun bertukar  menjadi perang saudara dan kini berubah  melibatkan kekuatan upaya dan kecanggihan serangan  udara dan laut  tentera berikat dipimpin Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara sekutu barat.
Revolusi kebangkitan  rakyat  Libya terhadap pemimpinnya  tidak mencapai matlamat untuk  menumbangkan Ghadafi dan  menukar  regim kukubesi kepada  yang lebih demokratik berasaskan  kepada kebebasan bersuara, regim pilihan rakyat, lebih telus, tidak rasuah dan menjuarai  hak-hak asasi rakyat. Kegagalan  setakat ini kerana  terdapat  kumpulan-kumpulan  yang berkepentingan masih mempertahankan  pimpinan Ghadafi.
Revolusi rakyat Libya  tidak  seperti  kebangkitan di Tunisia dan Mesir yang menyaksikan tumbangnya  dua  pemimpin diktator  yang pro AS dan barat.Tidak setakat pro,bahkan  menjadi rakan dan sahabat setia kerana menyumbang  menjadi benteng kepada keselamatan  regim zionis Yahudi  yang dikelilingi  negara-negara  Arab.
Sebaliknya Libya dan pemimpinnya  merupakan negara  yang  dimusuhi AS dan barat sehinggalah  mutakhir ini  apabila Tony Bliar, ketika menjadi Perdana Menteri (PM) Britain  mengadakan hubungan  dengan Libya  dengan mengunjungi  Ghadafi di Tripoli dan hubungan itu menghasilkan  hubungan dagang , dengan Libya  mengadakan pertukaran  exsport minyak  ke Britain dan Libya pula membeli senjata dari Britain.
Tetapi  hubungan ini sangat singkat, apabila kebangkitan rakyat Libya telah  menukar segala-galanya dan Britain  melalui PM barunya, David Cameron  bersama dengan pemimpin  Peranchis ,Sarkozy  memulakan  serangan udara  terhadap Libya  setelah  Majlis Keselamatan PBB meluluskan  resolusi 1973 yang menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya untuk menyelamatkan  rakyat awam Libya.
Kebangkitan  rakyat Libya terhenti apabila Ghadafi mengambil pendekatan  kekerasan ketenteraan bagi membendung  kebangkitan. Kebangkitan pro demokrasi  telah  menawan beberapa wilayah termasuk yang terbesar Benghazi, bandaraya kedua terbesar selepas Tripoli, ibu negara Libya. Ghadafi melalui kekuatan peralatan perang dan  tentera yang masih setia kepadanya telah menawan semula wilayah-wilayah dari tangan kumpulan kebangkitan tetapi gagal mara ke Benghazi apabila tentera  berikat melakukan pengeboman  terhadap sasaran ketenteraan dan kekuatan udara Ghadafi.
Kini zon larangan  penerbangan  terlaksana sepenuhnya apabila  kelengkapan udara  Ghadafi  termasuk jet-jet pejuangnya telah dimusnahkan. Serangan-serangan dari udara dan laut  begitu  hebat sekali  menyebabkan  musnahnya seluruh kekuatan udara Ghadafi.
Pemimpin Libya itu  di sebalik  retorik  melaksanakan gencatan senjata  telah  melakukan serangan darat terhadap  kumpulan pro  demokrasi yang memanggil diri mereka sebagai Majlis  Kebangsaan  yang berpusat di Benghazi.
Bandar  di Timur Libya  itu  dapat diselamatkan dari  serangan  tentera Ghadafi, tepat pada  waktunya apabila  serangan udara untuk larangan terbang dimulakan oleh Peranchis dengan mengebom  sasaran keupayaan  udara Ghadafi.
AS yang mengepalai serangan zon larangan penerbangan bersama sekutunya mahukan pusat  pemerintah  tertinggi  serangan itu diambil alih  oleh  negara lain kerana tidak mahu  kelihatan AS  memulakan  pencerobohan  terhadap sebuah lagi negara umat Islam. Kini pusat  pemerintahan   tertinggi  itu  telah  diletakkan dibawah Nato. Sebenarnya ia sama sahaja, kerana Perikatan perjanjian multinasional Nato  didominasi oleh AS dan barat.
Resolusi Majlis Keselamatan 1973 menguatkuasakan zon larangan penerbangan untuk menyelamatkan rakyat awam Libya dari serangan tentera Ghadafi dan  ia tidak meliputi kehadiran tentera darat. Ini menyebabkan tentera  Ghadafi mempunyai  sedikit kelebihan berbanding dengan  kekuatan pejuang  kebangkitan yang tidak  terurus dan  berdisiplin, walaupun  terdapat  pihak tentera  termasuk general yang menyebelahi  kebangkitan  rakyat.
Dalam situasi  ini ,nampaknya  pertarungan dan konflik di Libya  tidak akan  mudah diselesaikan. Kini terdapat dua  pihak yang  berperang. Pihak kebangkitan rakyat  yang disokong oleh  tentera  berikat yang terus  menerus mengebom sasaran  bagi mempastikan terlaksananya  zon larangan penerbangan dan satu pihak lagi ,tentera yang berpihak  kepada Ghadafi  melakukan  serangan  untuk menawan semula  wilayah yang ditawan.
Selepas seluruh kekuatan  udara  Ghadafi dihancurkan, apalagi misi  yang akan  dilakukan oleh Nato yang mengambil alih  pusat pemerintahan tertinggi? Adakah  tentera Nato akan ditempatkan  di Benghazi  bagi  menyelamatkan wilayah  itu dari serangan tentera Ghadafi atau  cukop  dengan  berada dilaut medeteranian mengawasi  dari armada-armada  perang  yang ditempatkan disekitarnya.
Kebangkitan rakyat Libya  menemui kegagalan setakat ini kerana ia  tidak menyeluruh  dan keiltizaman  rakyatnya  tidak  menyamai yang dimiliki  rakyat Mesir dan Tunisia yang semakin  berdepan  dengan  pihak berkuasa, mereka  lebih beriltizam dan keluar di Dataran Tahrir dalam jumlah berjuta bagi menggerakkan momentum  kebangkitan. Ini tidak berlaku di Libya,apabila Ghadafi bertindak  keras dan panik mempertahankan regimnya.
Pergolakan di Libya akan berterusan  sehinggalah  penyelesaian politik  dicapai. Ghadafi kelihatan keras  tidak akan meletakkan jawatan,apalagi kini  tentera yang pro  pemimpin itu sanggup mempertahankannya.Libya  kelihatan akan  terbahagi dengan Benghazi  dikuasai oleh  kebangkitan   rakyat yang  pro demokrasi dan  Tripoli akan terus berada ditangan  Ghadafi dan sekutunya.
Konflik di Libya akan  berpanjangan untuk satu tempuh yang tidak menentu sehinggalah satu formula penyelesaian  dapat diusahakan. Sebaik-baiknya  pertubuhan  seperti Liga  Arab atau Pertubuhan Negara-Negara  Islam (OIC) atau Kesatuan Afrika (AU) dapat mengusahakan penyelesaian dan tidak membiarkan  AS dan barat  mencari formula penyelesaiannya.
Kelangsungan  konflik  yang berlaku  di Libya  kini menyamai  pula keadaan  di Yeman, apabila  Presiden Ali Abdullah  Salleh yang enggan meletakkan  jawatannya  mengumpulkan  kekuatan penyokongnya  pula berdemonstrasi  menyokongnya. Pertembungan dua tunjuk perasaan ini , yang pro dan anti Presiden Ali Abdullah Salleh  akan  menimbulkan ketegangan yang boleh mencetuskan  huruhara di Yeman.
Presiden Ali Abdullah Salleh telah  turut menggunakan  kekerasan terhadap  kebangkitan rakyat sehingga ramai  juga yang terkorban, tetapi  AS dan sekutu baratnya  tidak bertindak  seperti tindakan  terhadap Libya.Rakyat Yeman  kelihatan berazam dan beriltizam untuk menyelesaikan  kebangkitan mereka  sendirian tanpa menjemput  pihak  luar campurtangan seperti yang berlaku di Libya menyebabkan  ia merumitkan lagi keadaan.
Tetapi di Libya, gerakan kebangkitan  rakyat Libya mahukan  pihak masyarakat antarabangsa  menyelamatkan mereka  yang  sekaligus meletakkan  Libya  bukan lagi  dalam  konflik perang  sudara tetapi  terbahagi dua.
Dalam  suasana  kebangkitan  yang berterusan di Jazerah Arab,kini giliran Syria pula dilanda  kebangkitan yang bermula di Derra dan ia telah  merebak di beberapa  wilayah lain di Syria. Kebangkitan ini  menjadi satu ujian  getir kepada Bashir Al-Assad bagaimana  untuk menangganinya. Sama ada  pemerintah  Syria itu sanggup  melakukan  konsesi  politik, ekonomi dan sosial  atau memilih jalan  kekerasan  untuk  menyelamatkan regimnya.
Seperti pemerintah  negara-negara Arab yang lain, Syria juga diperintah secara kukubesi melalui parti Baath yang memerintah sejak era  ayahnya  Hafiz Al-Assad. Seluruh kebangkitan yang  melanda satu demi satu negara-negara Arab ini tidak dapat  dijangkakan  pengakhirannya. Ia telah merubah lanskap  politik seluruh Jazerah Arab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan