Selasa, 5 April 2011

Kematian Saiful: Ustaz akui gagal kawal emosi

April 05, 2011
KUALA LUMPUR, 5 April — Seorang ustaz yang disyaki terbabit memukul Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, iaitu murid Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Jejawi, Arau sehingga meninggal dunia kelmarin sempat meminta maaf atas perbuatannya baru-baru ini.
Menurut bapa angkat murid tersebut, Mohd. Zamri Shafie, 40, ustaz berkenaan datang menemuinya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah Jumaat lalu bagi menyatakan kekesalan dan meminta maaf kerana memukul Saiful.
Katanya, ustaz berusia 27 tahun itu mengakui gagal mengawal emosi sehingga hilang pertimbangan ketika menyoal siasat Saiful Syazani Saiful yang juga seorang anak yatim berhubung satu kes kecurian di sekolah tersebut.
“Dia (ustaz berkenaan) tidak sedar ketika memukul Saiful sehingga menyebabkan anak angkat saya cedera parah dan lebih malang meninggal dunia.
“Sedih dan terkilan apa yang terjadi, namun saya menerima permohonan maaf ustaz itu kerana menyifatkan dia seorang yang baik,” katanya dipetik KOSMO Online hari ini.
Dalam pada itu, Sinar Harian memetik Zamri berkata dia telah memaafkan perbuatan warden asrama terbabit.
“Saya sudah memaafkan guru terbabit, bagaimanapun kesal dengan tindakan dia yang sanggup memperlakukan anak saya sedemikian.
“Saya sebelum ini sudah beberapa kali bertemu dengan guru tersebut dan dia adalah seorang guru yang sangat baik. Jadi, apa yang berlaku sangat mengecewakan saya,” katanya lagi.
Saiful Syani, seorang anak yatim pada mulanya koma setelah dikatakan dipukul hampir dua jam oleh seorang ustaz yang berumur 26 tahun yang juga penyelia asrama di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan di Jejawi.
Kanak-kanak tersebut kemudianya meninggal dunia di hospital pada 8.50 pagi kelmarin.
Zamri juga berkata dia melihat kesan lebam di badan Saiful Syazani dan doktor mengesahkan terdapat pendarahan dalam kepalanya.
Bapa kandung kanak-kanak itu Saiful Sopfidee Marzuki, 34, telah membuat laporan polis dan penyelia asarama tersebut telah ditahan Sabtu lalu.
Zamri memelihara Saiful Syazani sejak kanak-kanak berkenaan berusia dua tahun setelah ibunya meninggal dunia pada 2006.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan