KUALA LUMPUR, 26 Feb (Hrkh) - Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menyelar sikap diskriminasi sesetengah pegawai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang hanya melayan dan meluluskan surat permohonan bantuan kebajikan yang ditandatangani oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sahaja berbanding Pakatan Rakyat.
BN secara tidak langsung menggunakan 'kuasa' yang ada di Kementerian terbabit untuk menafikan hak orang lain khususnya yang kurang upaya daripada menerima bantuan sekaligus menggambarkan BN masih lagi tidak dapat menerima keputusan rakyat yang telah diberi hak memilih wakil rakyat dan pemimpin daripada kalangan Pakatan Rakyat.
Fuziah memberi contoh kes seorang Orang Kurang Upaya (OKU) daripada Kuantan yang telah dinasihatkan oleh pegawai kementerian untuk mendapatkan tandatangan surat sokongan dan permohonan daripada seoarang wakil rakyat BN berbanding beliau sendiri selaku Ahli Parlimen Kuantan.
Katanya, pegawai tersebut mengherdik dan memberitahu sekalipun 1,000 surat yang ditandatangani oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat yang diserahkan kepada Kementerian, ianya tidak akan dilayan sama sekali.
"Ini bukan insiden pertama, sudah banyak aduan diterima. Ianya berlaku di mana-mana. Saya minta Menteri jawab dan jangan ada lagi 'denial syndrome' (menafikan).
"Minta maaf cakaplah...BN ingat boleh buat ikut suka 'bapa' dia," katanya berang dan disambut sorakan ahli parlimen BN yang tidak puas hati dengan ayat sinisnya itu.
Beliau berkata demikian, ketika bangkit membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat jam 12.30 tengah hari tadi.
Fuziah menyelar sikap tidak profesional Kementerian Wanita dan Kebajikan Masyarakat dalam menangani masalah-masalah kebajikan rakyat, yang mana hanya tertumpu dan berlegar kepada 'survival' politik mereka dan meminggirkan yang lain sehinggakan khidmat beliau selaku Ahli Parlimen tidak langsung diiktiraf.
"BN tidak dapat menerima kekalahan pilihan raya umum lalu...akibatnya pelbagai cara digunakan untuk menafikan hak rakyat yang telah pilih wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat," katanya.
Beliau dalam pada itu turut mengkritik, laman web Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang masih tidak dikemaskini hampir setahun, terbukti bila mana masih tertera lagi nama Dato' Sharizat Jalil sebagai Menteri kementerian terbabit sedangkan beliau kini adalah Penasihat Perdana Menteri yang bertaraf Menteri.
"Saya kira, oarang-orang di belakang laman web ini adalah yang bijak pandai tetapi apa agenda masih kekalkan nama Sharizat lagi?" katanya. - mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan