KEPALA BATAS, 22 Februari (Hrkh) - Negeri Perak bakal memperolehi ramai menteri besar hasil silih berganti kerajaan jika tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V.Sivakumar dianggap tidak sah dan menyalahi peraturan negeri, kata Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu.
Apa tidaknya, jika berlaku bertembungan kerusi 28-28 dan undi tidak percaya dibuat maka jatuhlah menteri besar dan bila menubuhkan kerajaan baru muncul lagi undi tidak percaya pada sidang Dun akan datang dan runtuh pula kerajaan yang ditubuhkan.
Maka katanya, tiada jalan lain melainkan membuat pilihan raya seluruh Negeri Perak dan itu merupakan jalan terbaik menyelesaikan kemelut yang dicipta oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
"Tidak pernah dalam sejarah berlaku peristiwa rampasan kuasa tanpa mendapat kelebihan kerusi Dun. Di Perak pasti kemelut yang berlaku berpanjangan dan merimaskan rakyat. Sila-silap Negeri Perak akan memperolehi 17 Menteri Perak sebelum Pilihan raya Umum ke-13 nanti," ujarnya ketika berceramah di perkarangan Markaz Tarbiyah PAS di Pongsu Seribu, Kepala Batas semalam.
Peristiwa seumpama itu, pastinya tidak akan berlalu sekiranya Sultan Perak membubarkan Dun sekali gus Menteri Besar Perak, Ir Mohd Nizar Jamaludin exconya meletakkan jawatan bukanya meneruskan 'kekebalan' mereka sebagaimana hari ini.
Jika mandat diberikan pada rakyat untuk memilih siapa pilihan mereka sama ada BN atau Pakatan Rakyat masalah yang melanda Perak sudahpun selesai dan kerajaan baru dapat dibentuk dengan aman demi melaksanakan kesinambungan kerajaan terdahulu, katanya.
Katanya lagi, kebanyakan hari ini orang undang-undang bertikam lidah mendakwa apa yang dilakukan oleh menteri besar yang sah dipilih rakyat dan menteri besar perompak hak rakyat semua betul.
"Soal inilah yang kita tak mahu terjadi masing-masing bertekad mengatakan pendakwaanya paling tepat dan pendakwaan orang lain tidak betul. Bagi saya senang sahaja kerana penyelesainya hanya pilihan raya dan rakyat memang menunggu apa pun keputusan yang rakyat mahukan," jelas beliau.
Jika Kerajaan Perak masih tidak dilantik mengikut perundangan rakyat sendiri akan menjadi mangsa ekoran kehilangan pelaburan serta huru hara pentadbiran yang sedia ada.
Polis pula katanya, terpaksa menambah tenaga untuk mengawal keadaan yang berkecamuk dan tidak berprisip serta sudah pastinya melibatkan kewangan yang berkali ganda sementara menunggu kuasa yang sah dikembalikan.
"Benda ini boleh selesai dengan aman tetapi BN sengaja mencari jalan payah dengan mempergunakan Sultan Perak kononnya tidak perlu pilihan raya kecil ekoran Adun Pakatan Rakyat didakwa bertindak menjadi Adun bebas yang menyokong BN," tambahnya dalam program anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang itu lagi.
Turut berucap dalam majlis itu lagi ialah Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Hafiz Nordin. Hadir sama ialah Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man. - mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan