Perjuangan,
Kau bukan pertandingan,
Tidak pula jalan kesenangan,
Jauh sekali senda gurauan,
Maki-makian dan cerca sumpahan..
Perjuangan,
Apa sahaja aku turutkan,
Kata-kata,
Otak fikiran,
Harta benda,
Keluarga, sanak saudara,
Hingga darah dan keringat,
Kerana kau adalah aku..
Perjuangan,
Medan ini tiada memilih,
Masa pula tak pandai berkasih,
Lautan manusia tidak terduga,
Berapakah dalamnya?
Masin manakah garamnya?
Apa isi dan rahsianya?
Perjuangan,
Kerana janji aku berjanji,
Kerana impian aku bermimpi,
Kerana hidup adanya mati,
Kerana titi di bawahnya api..
Perjuangan,
Layakkah aku berangan?
Jadi penghuni di kayangan?
Kalau tunduk pada bayangan?
Kalah pula dengan ujian?
Perjuangan,
Apalah nilai sanjungan,
Jika nanti jadi bebanan,
Mengheret diri penuh kehampaan,
Jadi tahanan,
Penuh hinaan..
Perjuangan,
Kau dan aku satu,
Sama-sama meredah waktu,
Demi menderhaka pada dosa,
Biarpun pedih merana,
Asal terlepas segala seksa..
Perjuangan,
Ada bahagia di hujung sana,
Ada manis di akhir rasa,
Teruslah berjalan,
Kukuhlah bertahan..
Barakallahufikum.
http://thetinystone.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan