" Berdasarkan demonstrasi dan ucapan para pemimpin UMNO, jelas mereka mendakwa begitu taat dan setia kepada raja-raja. Mereka mendakwa rakyat bersama dengan mereka dalam menjaga kedaulatan rajara-raja.
Malah mufti pun menunjuk reaksi dan nada yang sama.. Mereka begitu bersemangat menjulang kuasa dan martabat raja. Ada yang sanggup mempertahankan raja-raja hingga ke titisan darah yang terakhir.
Tak tahulah pula di mana darah pertama UMNO dalam membela raja-raja Melayu. Ikut pada ucapan dan gelagat mereka, penulis rasa bukan main kembang hati raja-raja yang dipertahankan sebegitu rupa. Raja manalah yang tidak akan terpikat dan terhutang budi dengan UMNO dalam isu politik negara berdasarkan paparan rasa yang diulang-ulang oleh media massa itu.
Kesetiaan UMNO kepada raja-raja tidak susah untuk dibuktikan. Kesetiaan biasanya memerlukan bukti, bukan hanya pada cakap. Orang berkasih pun sanggup membelah dada untuk membuktikan kasih setia. Orang perempuan jangan mudah termakan kata janji lelaki kalau belum diuji. Maka raja-raja juga dicadangkan agar menguji kesetiaan UMNO kepada mereka sebelum termakan janji. Satu sahaja ujian yang perlu dilakukan oleh raja-raja Melayu dalam bulan Mac nanti iaitu, jangan beri perkenan kepada sesiapa jua menggantikan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri. Tolak sahaja pelan peralihan kuasa UMNO. Izinkan PM sekarang memegang jawatannya sehingga PRU13 akan datang.
Penulis mencadangkan begini kerana UMNO tidak akan bertindak menderhaka kepada raja-raja Melayu. Mereka bukan macam orang Pakatan Rakyat yang dipandang kaki derhaka. Mereka akan mengucap syukur beramai-ramai kerana raja-raja mengekalkan Abdullah Ahmad Badawi yang juga dari UMNO/BN, bukannya pemimpin Pakatan Rakyat, menjadi Perdana Menteri.
Sebenarnya, raja-raja Melayu bukan sekadar perlu menguji kesetiaan dan kebenaran kata-kata pemimpin UMNO, tetapi lebih jauh dari itu raja-raja perlu melihat nasib rakyat dan politik negara yang bercelaru dengan episod culik dan hilang, perebutan kuasa yang masing-masing mendakwa ikut undang-undang dan pelembagaan. Undang-undang ditafsirkan sewenang-wenangnya mengikut citarasa dan bertolak dari nafsu serakah kuasa. Nasib dan masa depan rakyat diperjudikan untuk kepentingan para pemimpin politik. Apa akan jadi kalau, episod duka dan celaru rakyat makin menajam dan berleluasa setelah PM Abdullah Badawi menyerahkan jawatan? Siapa akan dipersalahkan jika negara tidak lagi stabil, telus dan tulus? Apakah bunga-bunga hitam yang mula berkembang sehari dua ini tidak mungkin menghasilkan buah yang keras lagi berduri.? Kenapa ini semua berlaku setelah ada pihak yang merasakan tampuk kuasa akan jatuh ke ribanya tak sampai sebulan lagi?
Berdasar dua faktor di atas, raja-raja Melayu diharap dapat menterjemahkan kebijaksanaan dalam menjadi payung negara yang menaungi seluruh rakyat jelata.
"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan