" Buletin Utama telah menyiarkan ulasan panjang lebar DS Dr Rais Yatim mengenai kuasa mutlak Sultan dalam melantik menteri besar. Dikatakan bahawa Sultan-sultan di negeri Perak, Perlis, dan Terengganu mempunyai kuasa mutlak melantik menteri besar.
Kenyataan beliau memanglah tidak dapat disangkal berikutan kita telah maklum bahawa selepas pilihanraya umum lalu, raja dan sultan di negeri Perlis dan Terengganu telah berbeza pendapat dengan kerajaan dalam melantik menteri besar untuk menerajui pentadbiran di negeri baginda.
Tetapi harus diingat bahawa itu adalah dalam urusan pelantikan selepas pilihanraya umum. Yakni sebelum kerajaan ditubuhkan. Sememangnya urusan pelantikan menteri besar wajib mendapat perkenan sultan hatta di negeri-negeri lain pun urusannya tetap sama.
Bagaimana pula dengan urusan pemecatan menteri besar?
Inilah kemelut yang berlaku di negeri Perak dimana menteri besar DS Ir Nizar mohon untuk tidak sependapat dengan sultan yang meminta agar beliau meletakkan jawatan berikutan baginda mendapati menteri besar tidak lagi mendapat majoriti ahli DUN.
Keengganan Nizar bersandarkan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Perak bahawa pengunduran menteri besar daripada mengetuai kerajaan negeri hanya melalui 3 cara.
1. Undi tidak percaya dalam persidangan di Dewan Undangan Negeri.
2. Pembubaran DUN
3. Meletakkan jawatan secara sukarela.
Apa yang pasti kemelut politik di Perak semakin berpanjangan berikutan kedua-dua iaitu BN dan PR bercakap dan berbahas mengenai 2 perkara yang berbeza.
BN cuba menegakkan fakta bahawa pelantikan menteri besar BN adalah sah kerana kuasa mutlak sultan dalam melantik MB. Manakala PR pula mendakwa bahawa menteri besar PR masih lagi mengetuai kerajaan berikutan salah satu daripada 3 perkara mengenai pengunduran menteri besar tidak dipenuhi.
Persoalannya sekarang, sahkah Zambry sebagai menteri besar baru sedangkan Nizar masih lagi memegang jawatan itu? Ataupun adakah Nizar masih lagi seorang menteri besar sedangkan sultan Perak sudah melantik menteri besar yang baru.
Maka berlumba-lumbalah kedua-dua pihak, BN dan PR memberi penerangan kepada rakyat dalam dua bahasa yang berlainan. BN berbahasa 'Pelantikan' manakala PR berbahasa 'Pemecatan'. Terpulanglah kepada rakyat untuk menilai bahasa mana yang mereka mudah faham.
Dalam banyak 'Poll' dan 'Survey' yang saya ikuti, lebih 90% rakyat lebih memahami bahasa 'pemecatan'. Saya fikir sekiranya mahkamah nanti memutuskan bahawa pelantikan menteri besar BN adalah sah, rakyat masih lagi tidak berpuas hati. Apatah lagi sekarang ini rakyat melihat mahkamah seperti berada di bawah telunjuk BN setelah melihat betapa 'super effective' mahkamah meluluskan injunksi bahawa sidang tergempar DUN Perak untuk mengadakan usul percaya kepada Nizar adalah tidak sah. Mana taknya, pukul 9 pagi injuksi dikemukakan, pukul 2.30 petang hari yang sama mahkamah memutuskan sidang tergempar dewan tidak sah. Sedangkan umum mengetahui bahawa sebulan lalu Nizar telah mengemukakan saman kepada Zambry untuk menghalang beliau daripada melakukan tugas-tugas sebagai menteri besar kerana Nizar masih lagi memegang jawatan menteri besar Perak.
Sewajarnya pendekatan terbaik untuk memulihkan keadaan politik dan keyakinan rakyat Perak adalah melalui pembubaran DUN. Pulangkan semula kuasa penentu kepada rakyat. Biar rakyat Perak memilih kerajaan mana yang mereka mahu untuk memimpin mereka. Dakwa BN, dalam kegawatan ekonomi sekarang, tidak perlu untuk mengadakan pilihanraya semula. Banyak duit yang akan mengalir. Kita perlu berjimat cermat.
Bukankah dalam mengurangkan kesan kegawatan ekonomi sekarang menuntut kita tidak lokek berbelanja. Sekiranya berlaku pilihanraya, duit akan datang mencurah-curah. Banyak projek akan segera diluluskan. Pelbagai pakej diumum untuk menjana pendapatan dan kebajikan rakyat. Rakyat akan mendapat faedahnya dan merasa selesa. Kelazimannya keadaan seperti ini akan merangsang rakyat untuk berbelanja. Maka terdapat pengaliran wang dipasaran. Secara tidak langsung dapat mengelakkan ekonomi daripada terus menguncup. Saya yakin keadaan pasti sebaliknya kalau pilihanraya semula tidak diadakan. Dengan mandat yang disandang bukan daripada rakyat, sudah pasti kerajaan yang dibentuk sukar untuk melaksanakan agenda-agenda yang telah dirancang. Maka akan jadilah seperti kerajaan yang 'syok sendiri'.
Secara kesimpulan, pada pendapat saya, bubarkanlah DUN. Buat pilihanraya semula. Setelah itu, pemimpin yang terpilih, tolonglah bekerja menjaga rakyat. Sesungguhnya anda dipilih untuk menjaga kebajikan rakyat, bukannya untuk bermain politik yang tidak akan habis sampai bila-bila pun, hatta sampai hari kiamat.
Disiarkan di http://kakikawa.blogspot.com"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan