Ahad, 1 Mac 2009

Arah Pemuda PAS hadir 'Himpunan Bantah PPSMI' 7 Mac ini

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mengarahkan pemuda-pemuda seluruh negara untuk sama-sama menyertai perhimpunan aman membantah PPSMI pada 7 Mac, Sabtu nanti.

Katanya, ahli yang mengaku mereka adalah pemuda PAS haruslah memastikan kehadiran mereka sebagai komitmen terhadap perjuangan mengembalikan serta memartabatkan Bahasa Melayu yang semakin terpinggir akibat dasar PPSMI.

"Kita juga akan memastikan pemuda-pemuda PAS negeri dan kawasan supaya hadir dan menyertai perhimpunan membantah PPSMI itu nanti," katanya semasa dihubungi.

Malah, katanya, antara usaha Pemuda PAS menyokong himpunan 100,000 yang dianjurkan oleh Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) iaitu mengadakan 'road show' seluruh negara sebagai penerangan jelas kepada rakyat bawaha dasar itu tidak boleh diteruskan.

Salahuddin juga memberi jaminan, kekecohan tidak mungkin akan berlaku jika tidak ada provokasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya jamin perhimpunan itu akan diadakan secara aman dan mereka yang datang tidak akan buat kacau melainkan ada pihak yang sengaja melakukan provokasi," katanya.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dato' Dr Hassan Ahmad yang dianggotai kumpulan NGO, sayap-sayap Pemuda PAS dan KeADILan akan menyerahkan memorandum bantahan PPSMI kepada Agong.- azm/mks. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan