Ahad, 1 Mac 2009

Landas bantah Konsert Suara Gaza ala Heavy Metal

ALOR SETAR, 27 Feb (Hrkh) - Jawatankuasa Latihan Aktivis Dakwah Lapangan Isu-Isu Sosial (Landas) membantah Konsert Suara Gaza yang disusun beberapa kumpulan muzik 'bawah tanah', Heavy Metal di Kuala Lumpur yang dijadualkan esok.

Aktivis Landas, Nurfitri Amir Mohamad berkata, pihaknya kesal kerana konsert kumpulan Heavy Metal itu telah berselindung dengan menggunakan isu serangan Zionis di Gaza sebagai cara berhibur.

"Suara Gaza yang diwarwarkan sebagai gig terbesar tahun ini akan berlangsung 10 jam tanpa henti dengan bertemakan krisis Gaza diadakan pada 28 Feb, Sabtu ini, bermula 3.00 petang sehingga 1.00 pagi, di Orange Club, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

"Kumpulan muzik underground yang membawa muzik Heavy Metal, Black Metal dan Death Metal berkonsep keganasan, kebebasan tanpa batasan, anti-Tuhan dan pemujaan syaitan akan membuat persembahan, berselindung di sebalik penderitaan rakyat Gaza," kata Nurfitri dalam blog Landas.

Antara kumpulan yang akan membuat persembahan itu, tambah beliau, adalah Sil Khannaz, Half Asleep, Deja Voodoo Spell, Pink Acid dan Maximus.

Tambahnya, acara gig itu disedari setelah para petugas Landas membuat tinjauan di Pasar Seni di mana poster gig diedarkan.

"Tinjauan Landas itu dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Masjid Bukit Aman pada 21 Februari lalu.

"Poster itu ada wajah anak Gaza yang dihiasi wajah black metal dan gothic. Penganjur seolah-olah mempromosikan muzik-muzik underground yang terdapat latar belakang kumpulan black metal yang sekian lama berdiam ketika pendedahan dibuat media sekitar 2001," kata beliau.

Nurfitri berkata, sikap kumpulan itu yang cuba menghidupkan semula konsert muzik underground dengan berlindung di balik seruan HELP GAZA adalah suatu penghinaan ke atas perjuangan penduduk Gaza yang sekian lama menderita ditindas rejim Zionis.

"Muzik datang dengan pakej pergaulan bebas, arak dan zina. Semoga pihak berkuasa tidak memberi kebenaran mengadakan muzik underground itu sekali gus memantau kumpulan tersebut, kata beliau.

Sementara itu, Penyelaras dan Jurulatih Landas Kamaruddin Kassim ketika mengulas kejadian tersebut berkata, laporan berhubung konsert tersebut telah difaks kepada pihak-pihak penguatkuasa agama di Kuala Lumpur.

"Pagi tadi saya sudah fakskan laporan tersebut kepada KPP Jakim dan Pengarah Jawi untuk diambil tindakan," kata beliau.

Kamaruddin berkata, pihak Landas cuba mengembangkan modul latihan dakwah dan tarbiyyah di ibu kota bertujuan menangani dan memantau gejala sosial dari semasa ke semasa.

"Pihak Jawi, bahagian Dakwah nampaknya berminat untuk membawa modul ini untuk dilaksanakan bersama kami," tambah Kamaruddin. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan