Jumaat, 13 Mac 2009

Bahasa Inggeris - Antara realiti dan fantasi

Tanggal 7 Mac nan lalu, kita telah saksikan lautan manusia membantah pelaksanaan PPSMI setelah 6 tahun berlalu tetapi harapan yang setinggi gunung itu seolah-olah musnah dek jawapan seorang yang bernama Hishamuddin anak kepada Perdana Menteri Malaysia ke-3, Allahyarham Tun Hussien Onn, berpartikan UMNO yang dikatakan mempertahankan bahasa Melayu selama ini.


Sesuatu yang membingungkan ialah mengapa kerana kegagalan berinteraksi dengan baik menyebabkan mata pelajaran Sains dan Matematik di Inggeriskan.Bukankah kegagalannya disebabkan oleh mata pelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri.

Sesuatu yang kita tidak nampak ialah usaha Kementerian menambahbaik mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat sekolah. Jika komunikasi menjadi puncanya mengapa tidak diadakan subjek komunikasi dalam Bahasa Inggeris dan mengapa kementerian hanya memberikan penekanan dalam aspek penulisan semata-mata.Saya kira hampir 70% pelajar yang mendapat A dalam bahasa Inggeris tidak mampu berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris.

Apa yang boleh diharapkan dengan menekankan pelaksanaan PPSMI kepada anak-anak bangsa kita.Jika selama ini anak-anak bangsa kita terkial-kial untuk memahami bahasa Inggeris tersebut, janganlah kita parahkan lagi dengan PPSMI ini.Berilah peluang untuk mereka meneroka alam Sains dan Matematik dengan pemahaman bahasa mereka sendiri.

Lagipun kita bukannya hidup di negara asing, yang pertuturannya dilafazkan dalam bahasa Inggeris.Kita hidup di negara kita sendiri, yang belatar belakangkan pertuturan bahasa Melayu.Kita pun tidak pernah mendengar bahawa untuk menguasai Sains dan Matematik, pra syaratnya ialah wajib menguasai Bahasa Inggeris.

Soalnya apakah bahasa Melayu ini tidak layak diangkat sebagai bahasa ilmu.Apa gunanya kita menubuhkan Institut Perterjemahan Negara jika kita tidak manfaatkan sepenuhnya. Keluarkan peruntukan yang besar jika benar kita hendak seluruh rakyat menguasai ilmu sains dan matematik dalam bahasa Melayu.

Lembaga dan Majlis Peperiksaan juga haruslah bertanggungjawab memastikan kualiti pendidikan negara dijaga dengan baik.Jangan kerana hendak menjaga imej menteri graf kelulusan diperturunkan sesuka hati.Jika betul hendak melihat kejayaan PPSMI rasanya tidak perlu dibuat dalam dwi bahasa.Biarlah berdepan dengan realiti sebenar berjaya atau tidaknya PPSMI.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan