Ahad, 8 Mac 2009

Bukit Selambau: Ada usaha taja calon bebas Melayu?

BUKIT SELAMBAU, 8 Mac (Hrkh) - Setelah 50 tahun di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN), tidak ada sebarang kemajuan ketara berlaku mahupun dikecapi penduduk Bukit Selambau. Malah suara-suara penduduk mengakui bahawa pekan kecil itu semakin ketinggalan dari arus pembangunan.

Di sebalik suasana suram itu, Bukit Selambau tiba-tiba sahaja dikenali di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat apabila TV3 pada hujung tahun lalu mempromosikannya sebagai tempat cadangan ladang ternakan babi.

Kini sekali lagi nama Bukit Selambau menjadi besar apabila Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal berlangsung April depan menyebabkan tumpuan mula dihalakan ke Dun tersebut.

Sejarah mula tercipta, selepas Dewan Pemuda PAS Kawasan Merbok menganjurkan ceramah di sini dengan jumlah hadirin teramai dalam sejarah Dun Bukit Selambau baru-baru ini kira-kira 10,000 hadirin membanjiri tempat yang sama mendengar pidato disampaikan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Walaupun hujan turun, hadirin kelihatan tidak berganjak mendengar ceramah yang disampaikan beliau dan pimpinan lain.

Suasana itu memberi mesej jelas kepada BN terhadap penerimaan rakyat di Dun Bukit Selambau yang sejak seminggu lalu juga telah giat mengadakan siri-siri ceramahnya. Namun yang pasti, bukan sahaja jumlah kehadiran ke ceramah mereka tidak mencecah 100 pendengar, malah isi ceramah turut ditertawakan hadirin.

Menurut sumber, isi ceramah hanya mempertikaikan kandungan manifesto PAS yang dikatakan tidak tertunai selepas setahun Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan negeri. Menariknya, sumber tersebut juga memberitahu wujud dua ceramah BN di dalam satu kawasan perumahan kerana dianjurkan oleh dua pasukan Umno.

Wang juga bakal mencurah ke Bukit Selambau kerana menurut sumber tersebut, perbelanjaan pengubahsuaian Bilik Gerakan BN di Amanjaya sahaja melibatkan kos sebanyak RM65,000.

Sumber turut memaklumkan, usaha menaja beberapa calon bebas Melayu giat dijalankan. Malah seorang bakal calon telah menyiapkan pasukan awalnya yang bergerak dengan kenderaan terdiri daripada tiga Proton Waja bernombor pendaftaran dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan dua Nissan Lavina bernombor pendaftaran dari Kedah. Masing-masing kenderaan tersebut berwarna kelabu.

Semua petunjuk awal ini memberi gambaran bahawa rakyat semakin mendekati Pakatan Rakyat sedang BN kian berpecah sesama sendiri. Di ketika Pakatan Rakyat semakin membina kekuatan, BN pula menuju saat-saat keruntuhan. Seluruh dunia sedang memerhatikan Bukit Selambau! - mks. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan