Isnin, 9 Mac 2009

Krisis politik Perak: Antara pengajaran dan peringatan Allah

" Krisis politik di Perak semakin jauh dengan penyelesaian. Satu demi satu tindakan dan peristiwa mengambil alih tempat dalam mewarnai kemelut ini. Yang pakar undang-undang bercakap dari perspektif dan laras undang-undangnya.

Sang penguasa terus bercakap dari perspektif kuasa dan laras penguasa walaupun terkadang-kadang insan kerdil macam aku terasa geli hati. Bukan apa, komen sang penguasa yang gila bercakap tetapi mendedahkan kejahilan undang-undangnya.

Rakyat-rakyat marhaen di kedai-kedai kopi sudah mula naik martabat berbincang tentang undang-undang dan perlembagaan. Hari ini, 2 Mac 2009 tercatat satu lagi sejarah apabila Kompleks DUN Perak cuba dipetisejukkan. Medan kedai kopi bertambah lagi isunya. Sang penguasa entah apa autanya lagi.


Andai kata krisis Perak berakhir esok, ambillah pengajaran. Kenalilah siapa yang menjadi pemabuk kuasa. Jangan terpengaruh dengan temberang dan autanya. Tak cukup dengan huru hara politik di Perak, tempiasnya sampai ke Selangor. Belum singgah di Pulau Pinang tetapi sudah sampai ke Kedah. Rakyat, kenalilah mereka. Di Selangor, selepas exco difitnah khalwat, dilanjutkan isu bogel dan akhirnya singgah kepada MB. Di Kedah, bermula dengan isu exco letak jawatan bersambung ke fitnah exco derhakai raja. Cuma bezanya, di Kedah tempiasnya belum sampai ke MB. YAB MB Kedah beringat sikit. Tahun ni tahun lembu. Lembu jadi gila. Tak payah disebut siapa kumpulan pemabuk kuasa. Melihat modus operandinya, sudah dapat dikenal jantan betinanya. Rakyat jangan buta perut. Cam sungguh, hafal nama, hafal sifat, azam sungguh-sungguh. Spesis ini kita lenyapkan dalam PRU13. Biar lenyap dari bumi Malaysia ini. Yang tinggal, kita jadikan tugu.

Kenal sungguh-sungguh. Hafal biar molek siapa pemabuk kuasa. Dalam saat ekonomi terus meruncing, wang digunakan sewenang-wenangnya oleh mereka. Lihatlah perbelanjaan yang digunakan dalam dua PRK; Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Sepatutnya yang diberi amanah memikirkan masalah rakyat dalam suasana kegawatan ekonomi tetapi sang penguasa terus menjadi 'Maharaja Bota' yang dahagakan kuasa. Rakyat entah ke mana. Auta penguasa terus berirama megah. Jentera kerajaan terus disalahgunakan. Sesungguhnya krisis Perak telah menjelmakan wajah sebenar mereka yang selama ini mendendangkan irama lunak tetapi palsu. Rakyat tiada dalam agenda, kuasa agenda utama. Kita hafal molek-molek wajah mereka. Biar seindah mana wajah mereka dalam PRU13, kita kenal. Macam orang-orang beriman mengenal wajah Dajjal ketika menjelang kiamat.

Krisis ini memberi pengajaran bahawa inilah padahnya apabila undang-undang diketepikan. Ini baru undang-undang manusia ..... dah celaru. Antara sang penguasa dan rakyat, sama-sama celaru. Rakyat terkebil-kebil melihat sang penguasa menyalahgunakan kuasa. Katanya menjadi undang-undang. Macam penguasa zaman Srivijaya pula. Sang penguasa cuba menutup malu, guna kuasa untuk mengotakan hajatnya. Ingatlah, undang-undang untuk dipatuhi oleh semua. Undang-undang tak memilih bulu. Jauh sekali mempunyai kroni. Andai kata peristiwa di Perak mengikut saluran undang-undang, tak begini jadinya. Tak sabarkah penguasa menunggu sidang DUN yang dijadualkan pada April untuk mengambil alih Perak menerusi usul tidak percaya? Atau sang penguasa ghairah untuk dipuja dan disyairkan pada penghujung Mac ini? Atau sang penguasa lupa segala yang berlaku adalah atas ketentuan Allah. Sekarang sang penguasa pening dan makin tersasul. Apa-apa yang terjadi di Perak, padahnya sang penguasa yang terima. Umpama melemparkan tahi lembu ke muka penguasa. Bukan kasut lagi! Inilah padahnya apabila undang-undang tidak dipatuhi. Inilah padahnya bila akal tidak digunakan. Sang penguasa pening, rakyat menderita. Sang penguasa jangan lupa, ini peringatan Allah. Ini baru pencabulan undang-undang manusia. Bagaimana dengan pencabulan undang-undang Allah. Bahananya tentu lebih dahsyat. Ingat penguasa! Ingat rakyat! Takutilah azab Allah. Kita mampu auta di mahkamah manusia. Mampukah kita di Mahkamah Allah.

Aku letih! Aku macam rakyat marhaen lain .... pening! Tapi aku masih cam. Aku dah beberapa kali khatam dalam menghafal wajah-wajah pemabuk kuasa. Aku yakin aku tak akan tertipu dalam PRU13, seyakin orang beriman menghadapi fitnah Dajjal. Akan kuharamkan sokonganku kepada pemabuk kuasa. Ayuh rakyat! Tanamkan tekad ....... lenyapkan pemabuk kuasa dalam PRU13. Biarlah mereka dengan tindak tanduk mereka kini, biar semua rakyat kenal wajah mereka. Kata orang tua-tua, mereka ni dah macam lembu disembelih. Tendangan-tendangan menjelang sakratul-maut itu agak padu. Yang berjaya elak, selamat. Yang tak berjaya ..... hospital tempatnya. Kita beringat, elak! Lepas tu, kita makan daging. Itu pun jika lembu sihat. Kalau lembu gila!!!!!!!! Kita kambus saja
"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan