Mesej atau pesanan yang disampaikan oleh bakal Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak kepada ahli-ahli parti itu berkaitan amalan rasuah politik atau 'politik wang' nampaknya masih kabur jika keputusan pemilihan ketua Pemuda UMNO di ambil kira.
Kemenangan Khairy Jamaluddin, yang didapati bersalah berkaitan amalan politik wang oleh Lembaga Disiplin UMNO, memberi gambaran bahawa sebahagian besar perwakilan Pemuda UMNO tidak peka dengan gejala itu.
Mungkin hukuman "beri amaran" yang dikenakan ke atas Khairy dilihat sebagai "lampu hijau" oleh 304 orang perwakilan Pemuda UMNO yang mengundinya. Jika benar, maka ia menyedihkan.
Ahli Parlimen dari Johor, Razali Ibrahim mendapat 417 undi untuk dipilih sebagai naib ketua Pemuda UMNO menewaskan Reezal Merican Naina Merican dari Bahagian Kepala Batas pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad (Pak Lah) yang merupakan "running mate" Khairy.
Bukan saya atau orang ramai yang mengaitkan Khairy Jamaluddin dengan politik wang atau rasuah politik tetapi hakikatnya dia didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin yang ditubuhkan oleh UMNO itu sendiri. Yang jelas daripada keputusan Lembaga Disiplin adalah dia terlibat dalam rasuah politik. Nokhtah!
Jika diperingkat Pemuda UMNO sudah didapati bersalah, bagaimana pula pada masa muka?
Dalam pada itu, kita ucapkan tahniah kepada Wanita UMNO yang memperlihatkan kematangan dan keberanian menyambut seruan bakal presiden UMNO. Kemenangan besar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ke atas mantan ketua wanita Tan Sri Rafidah Aziz cukup besar ertinya.
Shahrizat memperolehi sokongan 64 peratus daripada perwakilan Wanita UMNO apabila mendapat 507 undi berbanding dengan Rafidah yang hanya mampu memperolehi 280 undi atau 36 peratus.
Keputusan bagi pergerakan Putri UMNO seperti yang dijangkakan iaitu memihak kepada Ahli Parlimen dari Sabah, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin manakala naib ketua disandang oleh Shahanim Yusof.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan