Jumaat, 10 April 2009

Fokuskan usaha boikot satu barangan AS-Israel

Rejim Zionis Israel meningkatkan keganasan ke atas warga Palestin di Gaza.

Sekali lagi kita terpanggil untuk memuzarakahkan isu Palestin. Sesungguhnya penderitaan dan kesengsaraan mereka turut dirasai kita sejajar sebuah hadis yang bermaksud ummah adalah bersaudara, jika satu anggota merasai sakit, seluruh tubuh menanggungnya.


Bagaimanapun, ada pepatah Melayu menyebut, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Tentulah pikulan orang Palestin tidak terasa oleh kita tetapi apabila disatukan di bawah satu payung bernama Islam dan imam, maka permasalahan Palestin adalah permasalahan umat Islam; penderitaan mereka adalah penderitaan kita jua.

Isu Palestin adalah isu akidah, yang mana umat Islam sama-sama memikul tanggungjawab untuk menyelesaikannya. Ini kerana Allah SWT telah memuliakan Masjid Al-Aqsa melalui firman-Nya di dalam al-Quran yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Israk, ayat 1)

Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (mafhumnya): “Janganlah kamu bersusah payah untuk pergi (bermusafir) melainkan ke tiga masjid - Masjid Al-Haram, Masjid Al-Aqsa dan Masjidku ini (Masjid Al-Nabawi, di Madinah al-Munawwarah).” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Bumi Palestin termasuk Baitulmaqdis telah diceroboh oleh tentera penjajah Zionis Israel. Masjid Al-Aqsa telah dikotori, diinjak-injak dinajisi oleh golongan Yahudi yang melampui batas. Masjid Al-Aqsa adalah kiblat pertama bagi umat Islam dan terletak di salah sebuah daripada tiga kota suci bagi Muslimin selepas Makkah dan Madinah.

Sepatutnya seluruh umat Islam berasa cinta untuk mempertahankan kesuciannya dan merasakan kehilangannya. Akan tetapi mereka semua masih nyenyak tidur! Kini rejim Zionis mengganas lagi. Dalam episod terakhir ini, Tel Aviv mengganas ketika umat Islam di ambang menyambut tahun baru Hijrah 1430.

Seolah-olah orang Islam tidak ada harga langsung di mata Yahudi dan rejim Zionis. Disebabkan rejim ini mendapat dukungan Amerika yang telah pun memusnahkan dua negara Islam – Iraq dan Afghanistan, dan hanya dibantah oleh segelintir ummah saja, kejahatannya semakin menjadi-jadi.

Kezaliman rejim Zionis adalah beterusan sejak tertubuhnya negara Israel di tengah-tengah dunia Arab pada 1948. Bagaimanapun penentangan orang Arab dan Islam adalah bersifat bermusim. Ini termasuklan bantahan dan tunjuk perasaan secara kecil-kecilan di seluruh dunia. Pada insiden terakhir, selepas tentera Zionis menyerang kedudukan Hizbollah di selatan beberapa tahun lalu, umat Islam bangkit, tidak terkecuali di negara kita dengan menganjurkan tunjuk perasaan dan gerakan memboikot barangan Israel-Amerika dan sekutunya.

Kini apa yang terbuka di mata umat Islam bagi menolong saudara mereka di Palestin selain doa adalah melalui tekanan diplomatik seperti mengadakan bantahan dan memboikot barangan yang berkaitan dan berkepentingan Israel-Amerika dan sekutunya yang juga terbabit menghina Islam dan Rasul-Nya.

Sudah sampai masanya untuk lebih 1.5 bilion Muslim seluruh dunia bersatu-padu, melupakan sengketa sesama sendiri, memboikot barangan negara paksi kejahatan ini. Bukankah usaha ini pernah dijalankan, malangnya ia berhenti sekerat jalan. Sekarang semarakkannya kembali dan biarlah usaha ini berterusan dalam perjuangan kita menentang kezaliman.

Pekerjaan secara hangat-hangat tahi ayam dan tanpa fokus terhadap barangan yang diboikot pasti gagal, jadi biarlah umat Islam kali benar-benar istiqamah. Pilih satu saja produk dan usahakan agar seluruh umat Islam memboikotnya. Misalnya jika 1.5 bilion umat Islam memboikot barangan yang dinamakan itu dan menyebarkannya melalui apa saja medium termasuk internet, insya-Allah syarikat induknya akan ‘bungkus’. Persoalannya barangan apa yang hendak dipilih? Wahai pemimpin
-pemimpin dunia Islam, putuskan segera barangan itu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan