Jumaat, 10 April 2009

Turki dan Obama

Ucapan presiden Amerika Syarikat, Barack Obama – yang diperkenalkan dengan nama penuhnya Barack Hussein Obama – di Parlimen Turki 6 April lalu menunjukkan pelbagai tanda usaha Washi ngton memulih dan mengukuhkan hubungan dengan Ankara.

Selari dengan aliran Islam yang diterima AS, ucapan menghulurkan tangan persahabatan dengan dunia Muslim itu hanya boleh berlaku di Turki, negara yang diiktiraf Washington sebagai negara Muslim moderat, dan dipimpin oleh parti yang boleh menjadi sekutu ketika diperlukan.

Kedudukan Turki di kawasan Asia Barat memberikan contoh kepada negara Muslim lain, terutama Syria dan Iraq, tentang bentuk politik yang wajar mendapat pujian. Turki diiktiraf sebagai moderat, menjadi ahli aktif Nato dan sentiasa disokong untuk menyertai Kesatuan Eropah. Hal ini menjadi antara sebab penting Turki dipilih menjadi destinasi lawatan pertama Presiden Obama ke negara Muslim.

Kedudukan ini meletakkan Turki di satu posisi yang unik dalam dunia Muslim, ditambah dengan kedudukan geografinya yang menjambatani Timur dan Barat.

Obama menegaskan AS “tidak berperang dengan Islam,” sebagai usaha menjarakkan diri dari tindakan pemerintahan George W Bush, tetapi pada masa sama menunjukkan berkongsi agenda dengan Turki dalam memerangi teroris, dengan menyebut al-Qaeda bersama PKK, parti Kurdis yang dianggap teroris oleh Ankara.

AKP pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan meluluskan serangan ke atas kedudukan PKK pada 2007, tidak lama selepas memenangi pilihan raya dengan cemerlang.

Ucapan Obama yang menyebut al-Qaeda dan PKK memberi tanda yang AS bersimpati dengan perang Turki menentang “teroris” tersebut, dan mengiktiraf usaha memerangi PKK sebagai satu perjuangan yang sah.

Walaupun perinciannya tidak semudah yang digambarkan melalui ucapan itu, ucapan Obama itu cukup untuk menunjukkan perkongsian agenda “menentang teroris” itu.

Tindakan ini mungkin boleh membantu mengurangkan kemarahan Turki terhadap sebuah resolusi yang diluluskan di Dewan Perwakilan AS dikuasai Parti Demokratik, yang mengiktiraf tindakan Turki terhadap kaum Armenia pada 1915-1923 sebagai genosid.

Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan pada Oktober 2007 meluluskan resolusi yang melabel tindakan itu sebagai genosid, mengabaikan hubungan baik AS dengan Turki yang ketika itu berdepan krisis. Nancy Pelosi, tokoh Demokrat di Dewan Perwakilan berkata ketika itu hubungan baik AS dengan Turki tidak sepatutnya menjadi penghalang resolusi itu.

Berdasarkan perkembangan terbaru, debat genosid itu pasti tidak mahu diberikan penekanan oleh Washington, yang memerlukan kerjasama Turki dalam banyak hal.

Turki ialah satu-satunya negara yang dapat digunakan untuk menangani Eropah, terutama sekiranya negara itu berjaya menyertai EU, walaupun hal ini kelihatan hampir mustahil ketika ini.

Kedudukan Turki menyempadani Iraq, Iran, Syria, Rusia melalui Laut Hitam menjadikannya penting bagi penempatan AS untuk menangani sebarang konflik di kawasan berkenaan.

Salah satu kepentingan itu disebut dengan jelas oleh Obama, “Amerika Syarikat akan terus menyokong peranan penting (Turki) sebagai koridor Timur-Barat bagi minyak dan gas asli.”

Kepentingan Turki sebagai laluan minyak dan gas meningkat ekoran keadaan kawasan sekelilingnya yang semakin tidak stabil, lebih-lebih lagi ekoran serangan Rusia terhadap Georgia – negara laluan saluran tenaga Baku-Tbilisi-Ceyhan – Ogos tahun lalu.

Saluran tersebut ialah projek AS untuk mengurangkan pengaruh Rusia terhadap laluan bekalan minyak dan gas, yang berjaya dilaksanakan atas usaha pentadbiran Demokratik Bill Clinton.

Ekoran perang Rusia-Georgia, keselamatan saluran itu semakin terancam. Turki ialah satu-satunya negara yang stabil – dan mempunyai hubungan baik dengan AS – dalam koridor laluan minyak dan gas dari Timur ke Eropah. Oleh itu, AS mempunyai kepentingan untuk menjaga hubungan baik dengan Turki.

Turki juga penting bagi AS dalam politiknya dengan Rusia, disebabkan kedudukan Turki sebagai hab gas dan kedudukan laluan ke Laut Hitam yang berada dalam wilayah Turki. Kerjasama Turki diperlukan untuk AS menempatkan kapal perangnya di Laut Hitam, seperti yang ditunjukkan sejurus selepas perang Rusia dengan Georgia.

Kedudukan Turki sebagai jambatan dari kedua-dua sudut figuratif dan fizikal menjadikannya penting kepada AS. Turki juga menempatkan sebuah pangkalan udara AS dan menjadi ahli Nato. Dengan pelbagai perkembangan di sekelilingnya yang memerlukan perhatian
Washington ketika ini, kepentingan Turki kelihatan semakin jelas. – 7 April, 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan