Rabu, 8 April 2009

Kenapa Saya Masuk Balik Umno ?

Oleh Dr Mahathir Mohamad

Ramai yang mengalu-alukan penyertaan saya semula dalam UMNO. Tetapi ramai juga yang mengkritik saya kenapa saya menyertai sebuah parti yang saya sendiri menud uh sebagai pengamal rasuah dan pemimpinnya menjadi pemimpin kerana menyogok wang kepada pengundi.

Yang pertamanya di waktu saya keluar UMNO pada Mei 2008 saya telah nyatakan saya hanya akan kembali menyertai UMNO apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak lagi jadi Perdana Menteri.


3. Sekarang Tun Abdullah tidak lagi Presiden UMNO atau Perdana Menteri Malaysia dan syarat saya sudah dipenuhi. Justeru itu saya perlu tunaikan janji saya.

4. Ini tidak bermakna saya terima amalan rasuah dalam UMNO. Rasuah mesti dihapuskan. Saya berpendapat Dato Seri Najib Tun Razak lebih mungkin berusaha menghapuskan rasuah daripada Abdullah. Saya percaya dia tidak akan pilih perasuah yang terkenal dan diketahui umum seperti Khairy dan beberapa lagi sebagai Menteri atau anggota Kerajaan.

5. Walaupun saya sekarang adalah ahli UMNO, ia tidak bermakna saya tidak akan kritik UMNO atau Kerajaan Barisan Nasional jika ada apa-apa kesalahan yang dilakukan. Selepas saya berhenti daripada menjadi Perdana Menteri tetapi masih menjadi ahli UMNO saya telah kritik UMNO dan Abdullah apabila perbuatan yang salah dilakukan oleh Kerajaan.

6. Saya juga telah kritik Najib. Tetapi saya sedar yang dia bekerja di bawah Abdullah dan tidak sanggup bersikap bebas. Sekarang dia tidak lagi terdedah kepada tekanan oleh Abdullah dan sudah pun bebas. Oleh itu kemungkinan dia menolak amalan buruk yang menjahanamkan UMNO dan BN yang dilakukan oleh Abdullah memang ada.

7. Perkara yang baik telah ditunjuk oleh Najib apabila dia secara terbuka menunjuk dia tidak bermusuh dengan saya seperti yang dikehendaki oleh Abdullah bagi semua Menterinya.

8. Dalam ucapannya menutup mesyuarat agung UMNO Najib telah menjelaskan bahawa selain parti, rakyat juga harus menguasai Kerajaan. Tidak seperti ramai pemimpin UMNO sekarang, dan ketua mereka dahulu yang berpendapat Kerajaan adalah milik UMNO sahaja dan mereka sahaja yang harus dapat "keuntungan" daripadanya. Najib nampaknya berpendapat rakyat juga punyai saham dalam Kerajaan. Justeru itu rakyat tidak boleh diketepikan oleh Kerajaan yang diketuai oleh UMNO.

9. Rakyat tidak dapat menyertai mesyuarat agung UMNO tetapi mereka akan dapat menunjuk pendirian mereka apabila pilihanraya diadakan.

10. Jika Najib hanya layan UMNO, kemungkinan besar UMNO akan dikalahkan dalam Pilihanraya Umum ke-13.

11. Jika Kerajaan pimpinan UMNO dianggotai ahli dan pemimpin UMNO yang perasuah, rakyat dan juga sebahagian daripada ahli UMNO yang kecewa akan tentukan BN dan UMNO akan kalah juga.

12. Pada hari kedua Najib jadi Perdana Menteri dia telah pergi berjalan-jalan untuk berjumpa rakyat berbilang kaum. Ini juga meyakinkan saya yang dianya lebih prihatin terhadap masalah rakyat.

13. Oleh kerana sebab-sebab ini saya berpendapat Najib akan cuba bersihkan parti dan Kerajaan daripada rasuah dan perasuah. Tanda-tanda ini akan diperlihat apabila beliau menubuh Kabinetnya pada 8 April, iaitu esok. Walaupun Abdullah tidak lagi memimpin UMNO, jika ternampak kuasanya keatas UMNO masih ada, saya akan anggap syarat saya tidak dipenuhi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan