Rabu, 8 April 2009

Mempertahan Kemenangan Rakyat

Melalui kuasa rakyat, dengan Izin Tuhan Yang Maha Esa maka Pakatan Rakyat dianu gerahkan kemenangan besar di Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau.


Bukit Gantang, melalui YAB Dato’ Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin dan Bukit Selambau melalui YB S. Manikumar telah secara sahih dipilih sebagai Ahli Yang Berhormat bagi kedua-dua kawasan tersebut. Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) merakamkan setinggi-tinggi tahniah ke atas jentera Pakatan Rakyat yang begitu bertungkus lumus bekerja untuk mengekalkan kemenangan rakyat.


Di sebalik pelbagai tipu muslihat yang diatur oleh Umno-BN melalui SPR dan instrumen kerajaan lainnya, kedua kemenangan ini, meskipun tidak dilengkapkan dengan kemenangan di DUN Batang Ai, Sarawak; tetap mempunyai signifikan yang tersendiri.

Kemenangan di Bukit Gantang jelas memperlihatkan betapa rakyat negeri Perak, melalui ‘duta-duta kecil’ mereka iaitu pengundi berdaftar di Bukit Gantang telah menunjukkan bahawa usaha desperado Barisan Nasional untuk menubuhkan kerajaan haram di negeri Perak adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Manakala di Kedah jelas terbukti, usaha untuk menaburkan fitnah sehingga terpaksa mengheret bekas Perdana Menteri untuk menyerang KeADILan dan Pakatan Rakyat hanya menelanjangkan kelemahan empunya badan dan Umno-BN sendiri.

AMK juga menyelar tindakan biadap Pemuda Umno yang melakukan pelbagai provokasi termasuklah mencabul kehormatan anggota Srikandi KeADILan. Inilah tindakan maha biadap yang dipertontonkan oleh Pemuda Umno di bawah kepimpinan baru mereka, yang jelas akhirnya ditolak oleh rakyat.

AMK juga mendesak kepimpinan haram Umno-BN Perak untuk mengundurkan diri daripada menduduki kerajaan negeri Perak pada kadar segera. AMK juga berharap agar ke bawah duli Sultan Perak dapat memberi perkenan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak yang diketuai oleh YAB Ir. Nizar untuk membubarkan DUN Negeri Perak bagi membolehkan Pilihanraya Kecil DUN Perak dapat diadakan pada kadar segera.

AMK juga merakamkan rasa kesal di atas kegagalan SPR untuk mengekang pengundi-pengundi hantu khususnya di Bukit Gantang dan juga di Batang Ai. Siri-siri intimidasi yang dilakukan oleh petugas BN di ketiga-tiga kawasan juga sangat mendukacitakan dalam keadaan SPR gagal bertindak sekelumitpun ke atas laporan salahlaku yang dibuat oleh Pakatan Rakyat.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan