Selasa, 14 April 2009

Tanpa bahasa dan budaya, apa ertinya kemajuan?

Dalam sesi "Bicara Hati ke Hati" di Surau Andalusia, Laguna Merbuk, Sungai Petani pada 6 April, saya mengingatkan kembali para hadirin bahawa formula Mahathir memajukan negara melalui pembangunan ekonomi, telah terbukti gagal apabila berlakunya Gawat Kewangan di Asia Tenggara (termasuk Malaysia) pada pertengahan 1997.

Mahathir pernah berkata bahawa apabila Malaysia menjadi negara maju dan orang Melayu juga mencapai kemajuan di bidang ekonomi lalu dihormati dunia, waktu itu bahasa dan budaya Melayu pun dengan sendirinya akan turut maju.


Tiba-tiba di luar jangkaan para pakar ekonomi, dan di luar jangkaan Mahathir, berlaku Gawat Kewangan. Akibatnya Malaysia mundur 40 tahun ke belakang, kata Mahathir.

Saya menulis buku "Gawat, Gagalnya Formula Mahathir" bagi merakamkan bukti akan kegagalan teori dan formula Mahathir dalam memajukan negara melalui pembangunan ekonomi itu.

Apabila berlaku Gawat Kewangan 1997, Mahathir sendiri mengaku Malaysia telah mundur 40 tahun ke belakang, akibat daripada tragedi kewangan tersebut. Berikutan itu seluruh usaha pun ditumpukan bagi memulihkan kembali ekonomi negara, sehinggalah sekarang.

Dan pada tahun 2002, di hujung pemerintahannya, Mahathir yang gagal memajukan bangsa dan negara yang diperintahnya itu, memperkenalkan pula dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Sekali lagi dia meminggirkan budaya dan bahasa ibunda rakyat negara ini, demi mengejar impiannya melalui formulanya yang salah itu. Sayang seribu kali sayang, kita masih lagi tidak mahu belajar daripada peristiwa ekonomi 1997 yang pahit dan perit itu.

Dan kini kita sedang menghadapi pula satu lagi bentuk kemelesetan atau kegawatan ekonomi. Kali ini dikatakan akan lebih teruk lagi, kerana ia berlaku di seluruh dunia, termasuk di negara-negara maju seperti Amerika dan Eropah.

Sementara itu, siapakah yang mahu memikirkan akan nasib budaya dan bahasa ibunda kita? Nah, inilah sebenarnya tragedi bangsa Melayu, disebabkan oleh sikap mengalah golongan budayawan, cendekiawan dan seniman kita.

Seperti yang saya sebut dalam tulisan lalu. Para budayawan, cendekiawan dan seniman kita selepas Syed Sheikh Alhadi, Zaaba dan yang seperjuangan mereka, telah menyerahkan peranan dan tanggungjawab mereka seluruhnya kepada orang-orang politik dan bisnes.

Lihatlah apa yang telah dan sedang berlaku! Ekonomi kita tidak ke mana, budaya dan bahasa kita pula semakin terpinggir. Apa yang kita cari dan apa yang kita inginkan sebenarnya? Kalau kita membunuh bahasa dan budaya kita sendiri, untuk apa kita mengejar kemajuan? Tanpa bahasa dan budaya, apa ertinya kemajuan yang hendak dicapai itu?

Ternyata kita di dalam kesesatan. Cuba menafikan fitrah manusia yang sememangnya diciptakan berbangsa-bangsa dan berbudaya, supaya mereka berkenal-kenalan. Itu firman Allah (al-Quran), sebagai panduan hidup manusia. Bahawa manusia secara fitrahnya memerlukan kepada bahasa dan budaya sendiri, sebagai identiti bangsanya.

Maka jangan kita menafikan perlunya faktor ini. Dasar PPSMI adalah sebahagian daripada pemikiran sekular Mahathir yang hendak dipaksakannya kepada orang Melayu, kerana dia hendak membuktikan bahawa pendapat dan fikirannya adalah betul, padahal sudah terbukti formula dan pemikirannya itu salah dan gagal untuk memajukan orang Melayu.

Satu lagi pemikiran sekular Mahatahir ialah percubaannya untuk menghapuskan Sekolah Agama Rakyat (SAR). Sekarang Mahathir kembali semula ke dalam Umno, setelah dia keluar kerana tersalah memilih Abdullah Badawi sebagai penggantinya. Dia kini dikatakan akan menjadi dalang di belakang Najib, bagi melaksanakan pemikiran-pemikiran sekularnya yang belum terlaksana kerana terpaksa mengundur diri akibat desakan rakyat.

Tidak tahulah apakah pandangan orang ramai itu betul atau tidak. Walau apapun, saya kurang percaya Najib apabila mengecap kuasa selaku Perdana Menteri, akan sudi lagi untuk menerima arahan Mahathir.

Namun usahlah kita berdebat mengenainya. Tak ada gunanya. Biarkanlah mereka dengan permasalahan mereka. Kita lebih baik tumpukan fikiran kepada apa yang kita boleh buat untuk memajukan umat Islam di negara ini, tanpa mengabaikan kepentingan budaya dan bahasa ibunda kita.

Dalam pertemuan Paksi (Seniman Paksi Rakyat) dengan Ketua Penerangan PAS dan juga Ketua Penerangan KeADILan, secara berasingan, kedua-duanya mengaku bahawa kalangan pimpinan parti mereka kurang kesedaran budaya. Dan mereka bersetuju untuk mengadakan program bagi meningkatkan kesedaran budaya, kerana mereka percaya akan pentingnya faktor budaya dalam kehidupan manusia.

Baguslah demikian. Kehadiran Sasterawan Negara A Samad Said di dalam pelbagai majlis yang melibatkan orang-orang politik dari PAS dan KeADILan, juga DAP, sejak beberapa bulan akhir-akhir ini ternyata dapat membantu membuka minat orang-orang politik terhadap kebudayaan dan kesenian.

Kita berharap agar perkembangan ini akan berlanjutan hingga ke peringkat yang lebih memuaskan. Pada masa ini memang terdapat kelemahan dalam pelaksanaan beberapa program budaya antara orang-orang politik dengan orang-orang budaya. Misalnya, di suatu majlis di Simpang, dalam kempen di Bukit Gantang, seorang budayawan sewaktu di atas pentas sempat menyatakan kurang puashatinya terhadap cara pengendalian agenda budaya oleh orang-orang politik, bahkan juga oleh pihak NGO tertentu.

Apapun, hakikatnya kita baru hendak bermula. Kelemahan pasti ada. Yang pentingnya kita bekerja berterusan, agar dapat kita atasi segala kelemahan yang terjadi. Asalkan niat kita betul, insya-Allah segala kelemahan akan kita atasi.

Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya atau sms 0136362408_

Tiada ulasan:

Catat Ulasan