Selasa, 14 April 2009

Kuasa: Usah bertindak bagai Firaun, Namrud

Posted on Monday, April 13 @ 03:00:00 MYT by Paktam
Oleh Lanh

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Bersyukur ke hadrat-Nya dapat kita bertemu bagi memuzakarahkan perkemb angan semasa termasuk penarikan penggantungan akhbar Harakah dan Suara Keadilan serta pembebasan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri oleh Perdana Menteri baru, Mohd Najib Razak.

Kita bersyukur kepada Illahi dan berterima kasih kepada pemerintah kerana menarik balik penggantungan dua akhbar alternatif tetapi sukacita untuk mengingatkan pemimpin supaya tidak bertindak berdasarkan naluri dan situasi semasa demi kepentingan tertentu tetapi setiap tindakan hendaklah berdasarkan hukum termasuk Perlembagaan negara dan paling utama hukum-hakam Allah SWT yang telah termaktub dalam al-Quran dan hadis.


Berhubung pergantungan Harakah dan Suara Keadilan pada 23 Mac lalu, pihak berkenaan (Kementerian Dalam Negeri ? KDN) tidak menyatakan langsung apa kesalahan dibuat, dan hukuman dikenakan berdasarkan peruntukan dan akta apa; sebaliknya hanya menyatakan pengantungan berkuat kuasa serta-merta. Menghukum seseorang atau sesuatu pihak tanpa menyatakan kesalahan dan kemudian tidak pula menghadapkannya ke muka pengadilan adalah tidak menepati keadilan sejagat apatah lagi kehendak Islam.

Kemudian dengan pelantikan seorang perdana menteri baru, pengantungan ke atas Harakah dan Suara Keadilan ditarik balik; juga tanpa menyatakan sebab dan alasannya. Sungguh aneh, penggantungan itu hanya berlangsung selama 11 hari saja, sedangkan ia dijadualkan tiga bulan. Akibat keanehan ini, pelbagai tafsiran boleh dibuat tetapi kita berpendapat yang paling penting adalah ketidak-upayaan pemerintah mempamer apatah lagi melaksanakan tindakan berdasarkan peruntukan dan undang-undang sedia termaktub.

Kita begitu bimbang kerana dengan pertukaran pemimpin saja nasib rakyat boleh berubah. Apakah ini bermaksud kehidupan rakyat bergantung kepada pemimpin dan bukan undang-undang negara? Apakah ini bermaksud pemimpin boleh berbuat sesuka hati; sebagai contoh jika mereka fikir Harakah dan Suara Keadilan perlu digantung, mereka menggantungnya; dan jika mereka fikir tahanan ISA patut bebaskannya, mereka bebaskannya? Sewajarnya rakyat termasuk organisasi diadili berdasarkan undang-undang negara; jika didapati bersalah baru dijatuhkan hukuman, jika tidak bebaskan mereka.

Kita bimbang apabila pemimpin mempunyai kuasa 'menggantung' dan 'tidak menggantung', mereka akan menuju ke tahap kezaliman Firaun dan Namrud yang mendakwa mereka berkuasa 'menghidup' dan 'mematikan'. Apabila berkenan menghidupkan, seseorang itu dibiarkan hidup dan jika mahukan seseorang itu mati, orang itu akan dibunuh. Demikianlah Firaun dan Namrud mengaku mereka berkuasa 'menghidup' dan 'mematikan', kononnya menyamai kuasa Allah SWT yang menghidupkan dan mematikan makhluk.

Perkembangan ini begitu menakutkan, kerana kuasa dijadikan alat untuk menjayakan cita-cita seseorang itu. Kita berpendapat kehadiran pemimpin bukanlah untuk mempamer dan menunjukkan kuasa sebaliknya untuk memastikan semua rakyat dan pihak diadili berdasarkan undang-undang sedia termaktub. Keadilan bukan saja perlu dilaksanakan tetapi juga dilihat adil.

Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan bahawa jika Fatimah (anak Rasulullah s.a.w.) didapati bersalah mencuri, dia juga akan dipotong tangannya, menggambarkan betapa keadilan itu perlu dilihat; hukuman ke atas penjenayah adalah sama sekalipun pemerintah berubah. Tidak timbul sama sekali pemimpin mengampunkan pesalah, yang bersalah tetap dihukum berdasarkan hukum-hakam Allah SWT.

Jika tidak bersalah, tiada sebab untuk menghukum mereka. Dalam bab hukum-hakam ini tidak timbul persoalan untuk meraih populariti, hukuman tetap dijalankan berdasarkan apa yang dinyatakan Allah SWT. Kepada pemimpin sukacita kita ingatkan agar berhukumlah berlandaskan kehendak dan perintah-Nya, insya-Allah, akan selamat dunia dan akhirat. Negara dan rakyat keseluruhannya akan sentiasa dalam peliharaan-Nya di samping menerima barakah-Nya. Amin. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan