Rabu, 3 Jun 2009

Bila teori pentadbiran Nik Aziz dibukukan?




Oleh Dinsman

Minggu lalu sempat saya bersama dua orang kawan menunaikan solat Subuh di Masjid Pulau Melaka, berimamkan Tok Guru Nik Aziz, Menteri Besar bagi sebuah negeri di Malaysia. Selepas solat, seperti biasa, Menteri Besar ini menyampaikan tazkirah atau kuliah subuh, selama kira-kira 15 atau 20 minit. Dan selepas itu, ada orang mendukung bayi dan meletakkannya di depan beliau, untuk upacara 'membelah mulut' dan menggunting rambut.


Biasanya, setahu saya, Tok Guru Nik Aziz menjalankan upacara 'membelah mulut' bayi di masjidnya itu pada pagi Jumaat. Begitulah selalunya. Tetapi rupa-rupanya hari lain pun ada juga orang datang meminta dia melakukan upacara itu. Pagi itu hari Rabu, ada tiga orang. Dan saya perhatikan Menteri Besar itu melakukannya dengan penuh prihatin, siap dengan doa mengakhiri upacara bagi setiap bayi.

Dan selepas itu ada pula dua orang lelaki tampil ke depan Menteri Besar yang belum sempat bangun daripada sejadahnya itu, dengan masing-masing membawa sebotol air bersih. Gaya mereka itu mahu memohon Tok Guru membacakan doa untuk tujuan tertentu. Dan ya, Menteri Besar itu pun tidak menolak.

Manakah lagi ada Menteri Besar lain, di Malaysia, ataupun mungkin di dunia ini, yang "ada masa" untuk perkara-perkara seperti itu! Setiap pagi menjadi imam solat Subuh di masjidnya, dan menyampaikan kuliah subuh. Dan orang sesiapa saja, yang datang entah dari mana-mana saja, boleh terus saja mendukung bayi ke hadapannya, tanpa perlu melalui apa-apa bentuk tapisan.

Dan pada waktu itu juga, sesiapa saja boleh bersalaman dengannya, dan boleh bercakap dengannya. Tidak ada pengawal peribadi yang akan mengawal atau menghalang sesiapa daripada mendekati Menteri Besar yang sudah lebih 18 tahun memerintah Kelantan itu.

Saya pernah mengikuti Tok Guru Nik Aziz selama kira-kira satu bulan, mengikuti program-program yang dilakukannya mulai dari pergi ke pejabat di waktu pagi, pulang ke rumah waktu petang, dan keluar pula untuk program malam hingga pulang ke rumah lewat malam, untuk tujuan menyiapkan sebuah dokumentari video mengenainya.

Antara perkara yang paling terkesan kepada saya ialah mengenai apakah yang menjadi prioriti kepada Nik Aziz sebagai Menteri Besar. Berdasarkan pemerhatian saya pada waktu itu, lapan tahun yang lalu, dan juga berterusan hingga waktu ini, saya merumuskan bahawa perkara yang menjadi prioriti kepada beliau ialah mentarbiyah rakyat supaya menjadi orang Islam yang beriman dan bertaqwa, yakni memahami maksud al-Quran, dan taat kepada perintah Allah seperti yang diajar oleh Rasul-Nya, dan menjadikan Akhirat sebagai matlamat hidup.

Soalnya ialah bagaimanakah dia menerapkan dasar tersebut ke dalam sistem pentadbiran sebuah kerajaan negeri? Bagaimanakah seorang Menteri Besar yang biasanya akan sentiasa sibuk dengan urusan-urusan pentadbiran, dengan pelbagai permasalahan yang timbul di kalangan rakyat, dan dengan pelbagai urusan membangun dan memajukan negeri, boleh mempunyai waktu untuk kerja "mentarbiyah" rakyat, yang selalunya turut melibatkan hal-hal kecil yang remeh-temeh?

Selama kira-kira satu bulan saya mengikuti program dan aktiviti hariannya itu, antara perkara yang terus melekat dalam memori saya ialah bagaimana seorang Menteri Besar hadir ke masjid dan surau yang sebahagiannya terpencil di sudut kampung, bukannya untuk apa-apa program penting, tetapi semata-mata untuk memberi tazkirah atau kuliah rengkas selepas solat. Kebanyakannya selepas solat maghrib.

Dan antara program yang Menteri Besar ini sendiri mengaku sebagai program yang penting baginya ialah Kuliah Jumaat pada jam 9.00-10.00 pagi setiap Jumaat di Dataran Ilmu, Jalan Dato' Pati, di tengah-tengah bandar Kota Bharu. Kuliah ini kekal diadakan sejak beliau belum lagi menjadi Menteri Besar, hinggalah ke hari ini.

Sekali fikir, nampaknya Menteri Besar ini begitu sekali mementingkan kerjanya sebagai 'pendakwah' (berceramah dan memberi tazkirah), lebih daripada kerja-kerja pentadbiran. Maka di awal-awal zaman dia mengambil alih pemerintahan negeri Kelantan dulu banyaklah orang bercakap mengatakan Tok Guru Nik Aziz tak pandai mentadbir negeri. Diramalkan dia tak akan lama menjadi Menteri Besar. Tak akan lebih daripada setahun.

Tetapi terbukti ramalan dan pandangan orang-orang itu semua tidak betul. Pentadbiran Nik Aziz sudah masuk ke tahun ke-19. Pelbagai cara telah dilakukan oleh pihak Umno-BN bagi menjatuhkan pimpinan Nik Aziz di Kelantan, semuanya gagal. Rakyat telah menyaksikan satu demi satu kejayaan dilakukan oleh pimpinan Nik Aziz, Menteri Besar yang dikatakan lebih pandai berceramah daripada mentadbir negeri ini.

Persoalannya, bolehkah Kelantan melakukan pelbagai perubahan yang positif dalam bidang sosial, agama, budaya, pendidikan dan juga ekonomi, sekiranya Menteri Besarnya tidak pandai mentadbir negeri?

Ketika wabak rasuah melanda dan meresap ke segenap sektor dan lapisan masyarakat, hingga ia dianggap sebagai penyakit sosial paling kronik di Malaysia sekarang, pihak Umno/BN gagal untuk membuktikan Nik Aziz dan barisan pimpinannya terlibat melakukan rasuah. Selama lebih 18 tahun. Ini bukan suatu kejayaan kecil. Apatah lagi dengan mengambil kira bahawa jentera-jentera Umno-BN bekerja keras dengan segala alat-alat kemudahan mereka bagi membuktikan perkara tersebut, supaya pimpinan Nik Aziz dapat dikalahkan.

Banyaklah lagi kebaikan, kebajikan dan kejayaan yang dibawa oleh pimpinan ulama ini ke negeri Kelantan. Saya tak dapat membincangkannya secara terperinci di sini disebabkan ruang yang terbatas. Namun apa yang nak ditegaskan ialah kepercayaan saya bahawa semua kejayaan itu menunjukkan bahawa Nik Aziz mempunyai formula atau teori pentadbirannya yang tersendiri, yang perlu dikaji secara ilmiah dan kemudian dibukukan, supaya ia dapat dimanfaatkan oleh seluruh umat Islam.

Apakah dan bagaimanakah formula dan teori pentadbiran Nik Aziz itu? Ini suatu subjek yang sangat menarik untuk diberi perhatian. Tentunya terdapat cukup banyak kelainan dan perbezaan dibandingkan dengan teori-teori pentadbiran yang sedia ada. Melaksana-kan sesuatu yang berbeza bukanlah mudah, lebih-lebih lagi apabila selalu pula ada pihak yang sentiasa berusaha untuk menggagalkannya. Maka faktor ini menambahkan lagi nilai kekuatan kepada teori baru yang perlu dirumuskan ini.

Saya berharap pihak-pihak yang berkenaan sudi memberi perhatian kepada perkara yang sangat bernilai dan berharga ini. Insya-Allah.

Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya atau SMS 0136362408_

Tiada ulasan:

Catat Ulasan