[SN204] ‘Malaysia tandatangani MoU keselamatan dengan Arab Saudi’, itulah antara tajuk muka depan akhbar Utusan Malaysia pada 14 Januari lepas. Penandatanganan MoU tersebut merupakan antara agenda utama lawatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak bersama rombongan beberapa orang Menteri Kabinet ke negara monarki mutlak itu. Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Omar Mohammed Al-Saggaf berkata, MoU tersebut adalah bagi meningkatkan kerjasama dalam usaha memerangi keganasan, pengedaran dadah, pemalsuan dokumen dan jenayah merentasi sempadan. Empat menteri yang menyertai delegasi kali ini ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil. Syed Omar berkata, Malaysia juga berhasrat meningkatkan kerjasama dengan Arab Saudi dalam beberapa bidang lain termasuk ekonomi, perdagangan dan teknologi maklumat.
“Lawatan itu juga isyarat bahawa Malaysia berhasrat merapatkan lagi hubungan ahli perniagaan kedua-dua negara,” katanya. Di akhir lawatannya ke negara yang kaya dengan minyak tersebut, Najib mengambil kesempatan melahirkan penghargaan beliau berhubung peluang ekonomi dan perniagaan yang telah diberikan kepada syarikat dan rakyat Malaysia. Beliau berkata, penyertaan syarikat Malaysia dalam melaksanakan dua projek mega di Shuhaiba dan bandar ekonomi Jizan sebelum ini sudah menjadi contoh bagaimana peluang yang sangat besar dapat dipenuhi dan direalisasikan oleh syarikat-syarikat Malaysia di Arab Saudi. “Di samping itu, saya juga telah menyatakan bahawa kami menghargai hasrat syarikat dan pihak berkuasa Arab Saudi untuk melabur di Malaysia bagi meningkatkan pelaburan yang boleh mendatangkan manfaat kepada kedua-dua negara,” kata Najib [UM 17/01/10].
Di akhir lawatannya, Najib telah mengadap raja Saudi, Raja Abdullah yang terkenal sebagai pengkhianat umat Islam dan sekutu kuat Amerika itu. Perdana Menteri Malaysia ini kemudian telah diberi anugerah tertinggi oleh Raja Abdullah iaitu Anugerah Raja Abdulaziz Kelas Pertama. Anugerah itu yang dikenali sebagai King Abdulaziz Order Of Merit (1st Class) dianugerahkan kepada pemimpin-pemimpin negara yang memberikan sumbangan dalam merapatkan hubungan dengan Arab Saudi. Antara mereka yang pernah menerima anugerah tersebut ialah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush dan Presiden AS, Barack Obama. ‘‘Saya mengucapkan ribuan terima kepada Raja Abdullah di atas anugerah ini. Ia merupakan sesuatu yang sangat istimewa,” katanya [UM 17/01/10]. Apa pun, kita mengharapkan agar pemimpin nombor 1 Malaysia ini tidak berbangga dengan anugerah dunia ini, setinggi mana ia sekalipun, kerana ia tidak bernilai sedikitpun di hadapan Allah di akhirat nanti.
Selepas Arab Saudi, Najib berlepas pula ke Abu Dhabi dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE). Sepertimana di Arab Saudi, di sini sekali lagi, apa yang jelas diutamakan di dalam lawatan ini adalah aspek ekonomi dan manfaat yang boleh diraih darinya. Perdana Menteri dan rombongan melawat Litar Yas Marina sepanjang 5.554 kilometer, lokasi perlumbaan kereta Formula One sulung Abu Dhabi akhir tahun lepas. ISZL Consortium, yang melibatkan IJM Construction Sdn Bhd, Sunway Builders Sdn Bhd, Zelan Holdings Sdn Bhd dan LFE Engineering Sdn Bhd, mendapat kontrak melaksanakan Pakej C dan E1 di Plot 1 skim pembangunan Pulau Reem. Pakej C meliputi lima menara kediaman, sebuah podium, villa serta parkir kereta. Kontrak terbabit bernilai 1.5 bilion dirham dan dimulakan pada 2006. Perdana Menteri menyuarakan harapan supaya firma-firma Malaysia akan terus membanggakan negara pada masa depan. Sementara itu, SPK Bina Puri Joint Venture berkata ia sudah menyiapkan reka bentuk dan kontrak pembinaan Pakej B pada harga kontrak 490.7 juta dirham. Ia melibatkan apartmen kediaman, podium, parkir kereta selain rumah Bandar [Bernama 19/01/10].
Umat Islam Wajib Memiliki Negara Yang Satu
Apabila kita membincangkan tentang hubungan atau perjanjian antarabangsa, ini bermaksud perjanjian yang dilakukan oleh dua buah negara dan bukannya perjanjian di antara individu atau syarikat di dalam negara terbabit. Di lihat dari konteks ini (perjanjian antara dua negara), kita hendaklah memahami bahawa di dalam Islam, hanya terdapat dua kategori ‘negara’ sahaja yakni Negara Islam dan negara kufur. Selain dari Negara Islam, maka kesemua negara lain adalah negara kufur. Amat penting untuk difahami seterusnya bahawa Negara Islam adalah negara yang ‘satu’. Islam mewajibkan hanya ada satu negara sahaja untuk umatnya yakni Negara Khilafah. Dan haram secara mutlak umat Islam berpecah kepada lebih dari satu buah negara, sepertimana negara-negara bangsa yang ada sekarang.
Sejak Rasulullah SAW menegakkan Daulah Islam yang pertama di Madinah, dan setelah itu diteruskan kesinambungannya oleh para Khalifah, umat Islam terus-menerus bersatu di bawah Daulah Khilafah yang satu. Para Khalifah berdakwah dan berjihad membuka negara baru tahun demi tahun dan setiap negara yang dibuka digabungkan ke dalam Daulah Khilafah yang dipimpin oleh hanya seorang Khalifah di bawah sistem pemerintahan yang sama. Hal ini berlangsung selama lebih 13 abad dan umat Islam tidak mengenal adanya negara lain untuk mereka kecuali Negara Khilafah dan selainnya adalah negara kufur. Inilah yang diajar oleh Nabi mereka dan juga para Khulafa’ Rasyidun. Umat Islam cukup-cukup memahami bahawa haram bagi mereka memiliki berbilang pemimpin dan berbilang negara di waktu yang sama. Memang demikianlah adanya kerana mereka benar-benar memahami dan mempraktikkan hadis-hadis Rasulullah SAW. Antaranya hadis dari Abdullah bin Amru bin al-Ass, dia berkata, aku mendengar Rasullullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang panjang,
“Barangsiapa yang membai’at seorang imam (Khalifah), memberikan uluran tangan dan buah hatinya, maka hendaklah dia mentaatinya semaksima yang mungkin. Apabila datang imam lain yang ingin merebut (kekuasaan) darinya, maka bunuhlah yang terakhir” [HR Muslim & Ahmad].
Rasulullah SAW juga bersabda,
“Barangsiapa datang kepada kalian, sedangkan urusan kalian ada di tangan satu orang (Khalifah), dan dia ingin memecah-belah kalian atau mencerai-beraikan kesatuan kalian, maka bunuhlah dia” [HR Muslim].
Dari Abu Sa’id al-Khudri, beliau berkata bahawa Rasullullah SAW bersabda,
“Apabila dibai’at dua orang Khalifah, maka bunulah yang terakhir dari keduanya” [HR Muslim].
Hadis-hadis ini menunjukkan secara qath’i (dalalah qath’iyyah) mengenai keharaman bagi kaum Muslimin memiliki dua orang ketua negara, yang bermaksud memiliki dua negara, dalam waktu yang sama. Ini kerana, Darul Islam (negara-negara Islam) wajib selalu berada dalam satu kesatuan. Oleh kerana itu kita mendapati bahawa para sahabat -radhiallahu anhum- telah berijma’ (bersepakat) untuk memilih hanya seorang Khalifah saja pada satu masa. Dan inilah tuntutan Islam kepada kaum Muslimin di setiap pelusuk bumi yakni wajib bersatu memiliki imam (ketua negara) yang sama dan diatur dengan satu sistem pemerintahan yang sama. Beginilah keadaan umat Islam (bersatu di bawah Khilafah) sehinggalah Daulah Khilafah diruntuhkan pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924).
Hanya orang-orang yang jahil dan buta hatinya sahaja yang tidak mahu memahami bahawa kuffar Baratlah yang telah memecahbelahkan umat Islam kepada lebih 50 buah negara-bangsa yang kecil dan lemah. Kuffar Baratlah yang telah memporak perandakan kita semua dan melantik agen mereka sebagai pemimpin boneka di setiap negara umat Islam bagi meneruskan hegemoni mereka ke atas kita semua. Berpecahnya kita hari ini (sejak kejatuhan Khilafah) kepada negara-bangsa adalah tidak lain dan tidak bukan kerana hasil dari persekongkolan kuffar Barat bersama pemimpin umat Islam yang khianat. Dan sistem pemerintahan demokrasi, monarki, republik dan sebagainya yang ada di negeri-negeri umat Islam pada hari ini adalah kesemuanya warisan dari penjajah yang justeru mengokohkan lagi perpecahan dan terus ‘menjaga’ perpecahan itu sendiri. Sistem kufur inilah yang memastikan sempadan-sempadan palsu yang dibuat oleh Barat di tengah-tengah kaum Muslimin terus dipertahankan oleh para pemimpin sekular yang ada. Maka tinggallah umat Islam dalam perpecahan demi perpecahan dengan masing-masing penguasa telah mencampakkan hukum Islam dari pemerintahan, dan mereka memerintah negara-bangsa dengan sistem dan undang-undang kufur yang datangnya dari Barat dan juga yang dibuat oleh tangan-tangan mereka sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan