Jumaat, 22 Januari 2010

Tidak Ada Perjanjian Antarabangsa Sesama Negara Islam-Prince Al-Ayubbi Yahya

Tidak Ada Perjanjian Antarabangsa Sesama Negara Islam




Sebagaimana yang telah disebutkan di awal perbincangan, di dalam dunia ini hanya ada dua jenis dar (negara) sahaja, yakni darul kufur dan darul Islam. Hal ini diambil dari hadis yang diriwayatkan oleh Sulaiman bin Buraidah, dari bapanya, bahawa Rasullullah SAW bersabda,



“Apabila kamu bertemu dengan musuhmu dari orang-orang musyrik maka ajaklah mereka kepada tiga hal atau pilihan. Dan pilihan apa sahaja yang mereka tentukan maka terimalah, dan tahanlah kamu dari mereka. Serulah mereka kepada Islam, maka apabila mereka menyambutnya, terimalah mereka dan hentikanlah peperangan atas mereka, kemudian ajaklah mereka untuk merubah negeri mereka (yang merupakan darul kufur) ke darul muhajirin (darul Islam yang berpusat di Madinah), dan beritahukanlah kepada mereka bahawa apabila mereka telah melakukan semua itu, maka mereka akan mendapatkan hak yang sama sebagaimana yang dimiliki kaum muhajirin, dan juga kewajiban yang sama seperti halnya kewajiban kaum muhajirin. Jika mereka menolak (untuk merubah negara mereka menjadi darul Islam), maka beritahukanlah kepada mereka bahawa kedudukan mereka seperti orang-orang Arab badwi dari kaum Muslimin (iaitu) diterapkan hukum Allah ke atas mereka sebagaimana diterapkan atas kaum Muslimin, dan mereka tidak mendapatkan sedikit pun dari fai’ dan ghanimah kecuali jika mereka turut berjihad dengan kaum Muslimin. Apabila mereka menolak (untuk masuk Islam), maka pungutlah atas mereka jizyah, dan jika mereka menerima hal itu maka janganlah kamu perangi mereka. Namun apabila mereka menolak (membayar jizyah) maka mohonlah pertolongan kepada Allah dan perangilah mereka” [HR Muslim].



Dalam hadis ini, Rasullullah SAW menjelaskan bahawa dar terbahagi kepada dua. Pertama dar yang tunduk kepada kekuasaan dan menerapkan hukum-hukum Islam, itulah darul Islam. Dan kedua, dar yang tidak tunduk kepada hukum-hukum Islam dan tidak berhukum dengan hukum Islam, itulah darul kufur. Rasullullah tidak hanya menyeru suatu kaum/negara untuk masuk ke dalam agama Islam, tetapi baginda juga menghendaki pemimpinnya agar mengubah darul kufur yang mereka diami kepada darul Islam, yakni bergabung di bawah satu pemerintahan Islam.



Dari pengertian hadis di atas dan dari af’al (perbuatan) Nabi SAW sendiri di sepanjang pemerintahan baginda, perjanjian antarabangsa yang wujud dalam Islam hanyalah perjanjian di antara negara kufur dan negara Islam. Itu sahaja. Tidak pernah ada dan mustahil ada perjanjian antarabangsa di antara sesama ‘Negara Islam’. Ini kerana, negara Islam adalah negara yang satu, jadi mana mungkin ada perjanjian di antara ‘kedua’nya. Pemimpin mereka adalah satu, sistem mereka adalah satu, hak dan tanggungjawab warga di dalamnya juga adalah sama. Dahulu, dengan jihad yang dilancarkan oleh Rasulullah dan para Khalifah, banyak negara yang telah bergabung ke dalam Daulah Islam seperti Hijaz (Arab Saudi sekarang), Syam (merangkumi Palestin, Jordan, Lubnan dan Syria), Yemen, Irak, Mesir dan banyak lagi. Di zaman pemerintahan Khulafa’, semakin banyak negara yang telah termasuk ke dalam Daulah Khilafah dan dipimpin oleh hanya seorang Khalifah sahaja. Jadi, tidak timbul soal (malah mustahil) Hijaz boleh mengadakan perjanjian dengan Mesir, mustahil Irak boleh mengadakan perjanjian dengan Yemen dan seterusnya kerana kesemua mereka berada di bawah satu payung pemerintahan. Kesemuanya berada di bawah pemerintahan seorang Khalifah, maka mana mungkin Khalifah mengadakan perjanjian antarabangsa dengan negaranya sendiri!



Hal ini seumpama kedudukan Malaysia Barat dan Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak). Jika Malaysia adalah sebuah negara Islam, maka mustahil Malaysia akan dapat mengadakan perjanjian dengan Malaysia. Dahulu, sebelum membentuk negara yang bernama Malaysia, memanglah Sabah dan Sarawak merupakan ‘negara’ yang lain. Tetapi setelah keduanya bergabung dengan Semenanjung dan membentuk Malaysia, maka Sabah dan Sarawak telah termasuk ke dalam Malaysia. Jadi (setelah bergabung) mustahil akan ada perjanjian antarabangsa di antara negara Malaysia (Semenanjung) dan negara Malaysia (Sabah dan Sarawak). Begitulah kedudukan contohnya jika Malaysia, Indonesia dan Brunei bersatu membentuk Daulah Khilafah, dengan dipimpin oleh hanya seorang Khalifah, maka mustahil akan ada ‘perjanjian antarabangsa’ di antara Malaysia dan Indonesia ataupun di antara Indonesia dan Brunei, kerana kesemuanya telah bergabung di bawah satu negara dan berada di bawah seorang ketua negara. Mustahil Daulah Khilafah mengadakan perjanjian dengan Daulah Khilafah!



Kita hendaklah sedar bahawa baik Arab Saudi (dulu Hijaz), UAE dan kesemua negara Arab lainnya adalah negara umat Islam dan kesemuanya pernah berada di bawah satu pemerintahan (yakni) Daulah Khilafah. Bukan sekadar negara Arab, malah sebahagian Eropah, Afrika, Pakistan, India dan lain-lain, termasuklah Nusantara turut berada di bawah pemerintahan Islam. Mewujudkan hubungan atau perjanjian antarabangsa di antara negara-negara ini hanyalah akan menjadi usaha yang akan memperpanjangkan lagi perpecahan umat Islam di bawah negara-bangsa. Perjanjian antarabangsa yang diwujudkan juga hanya akan memperpanjangkan lagi umur ideologi kufur Kapitalis kerana kesemua hubungan yang diwujudkan adalah di atas asas ‘manfaat’ dengan mengkayakan lagi golongan pemerintah dan kroni-kroni Kapitalis mereka. Inilah tunjang hubungan dua hala yang terjalin sekarang yang langsung mengenepikan soal persaudaraan Islam atau penyatuan umat Islam di bawah satu pemerintahan. Hubungan antarabangsa ini dibangun semata-mata di atas ideologi Kapitalis yang menjadikan manfaat sebagai asasnya.



Khatimah



Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya hubungan yang wajib diwujudkan di antara sesama negara umat Islam adalah hubungan yang dibangunkan di atas akidah Islam, bukannya hubungan yang dibangunkan di atas dasar ‘manfaat’. Hubungan akidah Islam menyatakan bahawa kita semua wajib bersatu dan berada di bawah satu bumbung pemerintahan. Hubungan akidah Islam menyatakan bahawa kita wajib bersatu di bawah satu bendera yakni bendera La ilaha illallah Muhammad Rasulullah. Dalam keadaan negara kaum Muslimin yang terpecah belah hari ini, atas asas inilah hubungan mesti diwujudkan, yakni para pemimpin umat Islam sepatutnya kembali kepada hukum Allah dan menyeru di antara satu sama lain agar mereka menyatukan kaum Muslimin di seluruh dunia dengan bergabung membentuk Daulah Khilafah dan melantik seorang Khalifah untuk menerapkan hukum Allah ke seluruh negara umat Islam. Kita yakin bahawa para pemimpin sekular yang telah kental dengan ideologi Kapitalis ini tidak akan melakukan ini semua, namun kita tetap bertanggungjawab untuk menyeru mereka kepada Islam dan dalam masa yang sama berusaha untuk menegakkan Khilafah bagi memastikan hudud Allah dapat ditegakkan di bumiNya. Hanya dengan cara inilah kita semua akan selamat di dunia dan akhirat. Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan