KDN diminta ingatkan media perdana juga
Bukan sekadar 'mengingatkan' media alternatif, Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut digesa mengambil tindakan yang sama kepada media arus perdana.
Ini kerana, menurut Pengarang Harakah Taufek Yahya, media itu didakwa sentiasa memberikan liputan negatif terhadap Pakatan Rakyat.
"Saya menghormati fungsi dan peranan KDN. Dan pada masa yang sama kementerian juga perlu menghormati peranan Harakah sebagai akhbar pembangkang dan (pemberi) laporan secara alternatif," katanya.
Portal berita KDN hari ini melaporkan, Harakah dipanggil ke Putrajaya, 'mengekori' jejak langkah dua taboid politik Suara Keadilan dan Suara Perkasa.
Dalam pertemuan kira-kira setengah tengah hari semalam, akhbar PAS itu antaranya "diperingatkan peranan dan tanggungjawab penerbit akhbar kepada KDN".
Antaranya, ia diminta mematuhi garis panduan pemberian permit, antaranya seperti kewajipan memberikan KDN 8 naskhah akhbar mereka sebaik selesai dicetak.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Taufek berkata, dalam pertemuan itu, Harakah diminta "lebih berhati-hati' terutama ketika melaporkan "isu-isu sensitif" seperti isu lesen judi sukan, isu Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA) dan isu Jemaah Islamiah.
Tambahnya, dalam mesyuarat tersebut, beliau membangkitkan supaya KDN tidak cuba mengaitkan Harakah dengan isu keselamatan negara.
"Sewajarnya, KDN boleh membezakan antara isu-isu yang menggugat keselamatan negera dengan isu-isu yang menggugat parti pemerintah. Itu adalah dua isu yang berbeza.
"Seperti juga media perdana yang memberi laporan negatif kepada Pakatan Rakyat, isu-isu negatif tentang kerajaan Pakatan tidak pula dianggap mengancam keselamatan negara.
"Jadi ini juga perlu dilihat oleh KDN," katanya.
Menurutnya, beliau mewakili Pengarah Urusan Harakah Datuk Kamaruddin Jaafar yang tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan lain.
Berhubung dakwaan mengenai kelewatan Harakah menghantar naskah setiap keluaran kepada pihak KDN, Taufek berkata perkara itu ditegur dalam pertemuan ringkas semalam.
"Kalau ikut (peraturan) KDN, naskah perlu dihantar sebelum Harakah diedarkan," katanya.
Taufek berkata, KDN juga menyatakan hasrat bagi mengadakan pertemuan lebih kerap dengan pihak Harakah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan