ZAID bin Sabit adalah sahabat Nabi Muhammad dari golongan Ansar yang berasal dari suku kaum Khazraj. Beliau dilahirkan di Madinah pada tahun 611 Masihi dan masuk Islam pada tahun pertama Hijrah.
Pada masa Nabi Muhammad, Zaid berperanan menulis wahyu yang diturunkan dan menulis surat bagi disampaikan kepada kaum Yahudi. Semasa mudanya, Zaid sudah mula menghafal surah dan ayat-ayat yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad.
Semasa hidupnya, Zaid bin Sabit juga terkenal sebagai ahli dalam ilmu al-Quran, tafsir, hadis, dan pembahagian harta pusaka. Oleh yang demikian Zaid diberi gelaran 'ulama masyarakat.'
Zaid adalah seorang anak yatim. Semasa Zaid bin Sabit berusia enam tahun, bapanya meninggal dunia. Semasa Nabi Muhammad berpindah ke Madinah, umur Zaid pada ketika itu berusia sebelas tahun.
Usianya yang muda itu menghalangnya daripada menyertai Perang Badar dan Perang Uhud. Walaupun usianya terlalu muda, Zaid tetap bersemangat berperang melawan musuh.
Pernah pada suatu hari, Zaid berjumpa Nabi Muhammad meminta kebenaran menyertai siri peperangan tentera Islam.
"Wahai Nabi Muhammad, saya mahu pergi berperang," kata Zaid yang masih kecil itu.
"Kamu masih kecil lagi Zaid. Apabila kamu sudah dewasa nanti ikutlah kami pergi berperang," kata Nabi Muhammad kepada Zaid.
Masa berlalu. Zaid semakin meningkat dewasa. Selepas itu beliau sering menyertai peperangan di antara tentera Islam dan tentera musuh. Cerita ini dikisahkan semasa Zaid bin Sabit menyertai Perang Tabuk yang berlaku pada Tahun Masihi 631. Perang Tabuk ini berlaku di antara tentera Islam dan tentera Rom. Pada peperangan itu tentera Rom kalah dan berundur. Kejayaan ini menyebabkan ramai kabilah yang tinggal di utara Semenanjung Tanah Arab membayar cukai kepada kerajaan Islam.
Ketika tentera Islam menuju ke medan Perang Tabuk, bendera Bani Malik dipegang oleh seorang yang bernama Amarah.
"Serahkan bendera itu kepada Zaid bin Sabit," kata Nabi Muhammad selepas terlihat bendera itu dipegang oleh Amarah.
Amarah menjadi hairan. Beliau berasa tidak sedap hati.
Beliau bertanya kepada Nabi Muhammad, "Ada sesuatu yang tidak kena dengan saya? Atau saya melakukan kesilapan tadi sehingga tuan tidak mengizinkan saya memegang bendera itu."
Nabi Muhammad tersenyum mendengar soalan itu dan menjawab, "Tidak ada yang tidak kena dengan kamu.
"Sekiranya begitu, mengapa saya perlu menyerahkan bendera ini kepada Zaid? Saya juga mampu membawa bendera ini," jawab Amarah pula.
Rupa-rupanya Amarah tidak memahami maksud Nabi Muhammad.
Kemudian Nabi Muhammad menghampiri Amarah dan berkata, "Saya mahu Zaid yang memegang bendera itu kerana Zaid lebih banyak ilmu pengetahuannya mengenai al-Quran berbanding kamu."
Lalu Amarah menjawab, "Fahamlah saya sekarang."
Amarah menyerahkan bendera itu kepada Zaid seperti yang diarahkan oleh Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad bukan pilih kasih. Beliau berbuat demikian kepada sesiapa sahaja yang mempunyai sesuatu kelebihan pada diri mereka. Begitu juga semasa Perang Uhud, Nabi Muhammad mengebumikan mayat tentera Islam yang gugur mengikut tahap ilmu pengetahuan yang mereka miliki di dalam satu liang lahad.
Selepas Nabi Muhammad meninggal dunia, Zaid memegang peranan penting dalam urusan pemerintahan di Madinah. Semasa zaman pemerintahan Umar al-Khattab dan Usman bin Affan, Zaid adalah sahabat yang dipercayai dapat memberikan fatwa.
Zaid bertanggungjawab memegang jawatan mufti pada ketika itu di Madinah. Fatwa Zaid yang terkenal adalah dalam bidang pembahagian harta pusaka.
Semasa Nabi Muhammad masih hidup, beliau pernah berkata, "Orang yang paling pakar dalam bidang faraid di antara kalian ialah Zaid bin Sabit."
Jelas di sini menunjukkan bahawa Zaid bin Sabit adalah sahabat Nabi Muhammad yang banyak berjasa menegakkan agama Islam.
Kisah ini menunjukkan kepada kita bahawa sekiranya seseorang individu itu mempunyai ilmu yang tinggi dan kelebihan pada diri mereka, maka orang itu disanjungi dan dihormati. Islam juga memandang mulia kepada manusia yang mempunyai ilmu dan mengamalkan ilmunya itu ke jalan yang diredai Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan