Selasa, 14 September 2010

Kesatuan Sekerja bidas Persekutuan Majikan


Alasan majikan rugi RM1.1b kerana cuti bersalin 90 hari pekerja tidak realistik
KUCHING: Cadangan melanjutkan cuti bersalin kepada 90 hari dijangka memberi manfaat kepada pekerja tetapi juga majikan serta negara.
ANDREW LO
ANDREW LO
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Andrew Lo berkata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) takut penambahan cuti bersalin akan menyebabkan majikan mengalami kerugian RM1.1 bilion adalah tidak realistik.
“Alasan utama mengapa undang-undang buruh Malaysia sentiasa sangat konservatif ialah kerana ia sangat kukuh dan sering dibantah oleh majikan,” katanya semasa ditemubual oleh akhbar kumpulan The Borneo Post, semalam.
Lo turut mempersoalkan cara MEF mengira kos ditanggung majikan jika cuti bersalin dilanjutkan kepada 90 hari seperti dilaporkan dalam akhbar kebangsaan baru-baru ini yang menurutnya tanpa asas kukuh dan berdasarkan tanggapan tidak realistik.
“Ia dibuat seperti taktik yang menakutkan, salah satu kelemahan utama dalam andaian MEF adalah keberkesanan dan produktiviti adalah pada tahap 100 peratus.
“Hampir sepanjang masa, beban kerja pekerja ketika cuti bersalin dikongsi dalam kalangan rakan sekerjanya. Jarang sekali majikan akan mengupah pekerja baru untuk mengganti pekerja yang cuti bersalin,” jelasnya.
Maknanya menurut beliau pekerja turut berkongsi kos akibat penambahan hari cuti bersalin dan ia tidak menyebabkan kerugian seperti didakwa MEF (kerana beban kerja majikan yang cuti bersalin dikongsi).
Beliau berkata ketika kerajaan mengambil keputusan cuti bersalin dipanjangkan dari 40 kepada 60 hari pada 2005, tidak terdapat satupun syarikat menjadi muflis kerana meningkatnya manfaatmanfaat bersalin.
Mengulas lanjut mengenai cadangan MEF baru-baru ini agar suami berkongsi cuti bersalin dengan si isteri (60 hari), Lo berkata ia hanyalah satu helah persekutuan itu untuk menutup isu sebenar.
“Ini satu lagi helah MEF untuk mengaburi orang ramai daripada isu sebenar apabila cuti bersalin perlu dipanjangkan kepada 90 hari. Jika mereka bersetuju dengan idea ini, tambahkan cuti kepada 90 hari dan beban kerja boleh dikongsi antara pekerja lain,” ujarnya.
Lo yang juga Setiausaha Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU) menambah penambahan cuti bersalin tidak hanya akan menggalakkan penyertaan wanita dalam dunia pekerja tetapi memberi manfaat kepada majikan kerana tahap produktiviti akan meningkat.
“MTUC Sarawak menggesa kerajaan negeri agar memperkenalkan penambahan cuti bersalin secepat mungkin.
Semenjak beberapa tahun lalu kerajaan mengatakan kita perlukan masyarakat yang prihatin dengan persekitaran yang membolehkan si ibu meluangkan lebih masa dengan anak-anak mereka.
Sementara itu menurut laporan baru-baru ini kakitangan awam negeri Selangor diberi cuti bersalin 90 hari dan keistimewaan sama akan dinikmati pekerja awam di Kelantan dan Pulau Pinang.
Menurut Lo lagi, Ordinan Buruh Sarawak 2005 menyatakan cuti bersalin 60 hari hanya diberikan kepada pekerja yang bergaji RM2,500 dan ke bawah sebulan.
“Bagi yang tidak termaktud dalam ordinan itu, cuti bersalin mereka bergantung kepada kontrak pekerjaan masing-masing dan saya sedar ada kontrak pekerja yang tidak melayakkan mereka cuti (bersalin) selama 60 hari.
“Malah ada pekerja wanita mengambil keputusan untuk berhenti bekerja selepas bersalin kerana tidak cukup masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan,” tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan