Isnin, 27 September 2010

Polis dipercayai tidak jumpa mayat

Polis dipercayai tidak menemui mayat di ladang milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dalam operasi mencari bahan bukti di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, di Banting hari ini.

Pihak media yang menunggu di lokasi berkenaan sejak pagi hingga jam 6.55 petang tadi melihat lebih 10 kenderaan polis termasuk van yang membawa empat suspek dan sebuah jengkaut meninggalkan ladang tenakan itu.

Bagaimanapun, seorang sumber yang tidak mahu dikenali, berkata polis tidak menemui mayat di dalam kawasan itu tetapi menemui 'sesuatu' yang dipercayai boleh memberi pertunjuk kepada kehilangan seorang ahli perniagaan, Mohd Shafik Abdullah dari Sungai Petani, Kedah.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Banting turut dipanggil bagi membekalkan air ke lokasi itu yang menhadapi maslah bekalan air semasa operasi dijalankan.

Kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd juga kelihatan memasuki kawasan itu dan menurut sumber berkenaan mereka dipanggil bagi membaiki paip pecah di kawasan itu.

Ladang itu menjadi tumpuan pasukan polis bagi menyiasat kes pembunuhan Sosilawati, 47, pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38,dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu.

Kesemua empat mangsa itu dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September lepas, polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan ladang tersebut.

Selain itu, suspek utama kes Sosilawati itu turut disiasat dalam kes kehilangan jutawan lelaki warga India Allal Kanthan Muthuraja sejak 18 Januari lepas dan Mohd Shafik, 37, sejak April lepas.

Menurut laporan berita semalam, dua lokasi berasingan dipercayai tempat dua mayat ditanam di sekitar kawasan Ladang Gadong itu dikesan.

Sementara itu, isteri Allal, S.Usharani, 27, dilihat memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di Banting pada jam 10 pagi tadi dan meninggalkan bangunan itu 45 minit kemudian.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan