Isnin, 25 Oktober 2010

Ansari: Yakin Pengundi Batu Sapi Akan Berubah


BATU SAPI 24 OKT:  Calon Pakatan Rakyat dari Parti Keadilan Rakyat(PKR)  Ansari Abdullah berkata beliau mempunyai keyakinan atas keinginan pengundi di Batu Sapi untuk menghantar mesej tegas kepada kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) di peringkat negeri dan Putrajaya.

"Selama ini kita(Pakatan Rakyat) dikenali simpanan tetap BN yang memperingatkan orang Sabah senang dibeli senang dipujuk dan mudah mudahan 4 Nov ini, kita akan buktikan kepada dunia orang Sabah tidak lagi boleh dibeli bukan dengan wang RM50,00 dan RM500,00 kerana orang Sabah ada maruah dan pendirian," katanya selepas diumumkan sebagai calon.

Beliau menegaskan bahawa kemenangan di Batu Sapi akan membolehkan Sabah mempunyai suara yang lebih kuat di Parlimen dalam memperjuangkan hak rakyat di Negeri Bawah Bayu.

"Saudara Hiu berseorangan di parlimen menyuarakan masalah rakyat Sabah sehingga dibantu oleh Lim Kit Siang, Abdul Hadi, ketua pembangkang dan lain-lain lagi. Kita perlu lebih banyak suara orang Sabah dan mudah-mudahan Batu Sapi ini merupakan langkah kedua ke Putrajaya yang dimulakan dengan Kota  Kinabalu dilanjutkan ke Sibu dan mudah-mudahan menjadi batu loncatan kita ke Putrajaya," ucapnya.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Ansari adalah calon terbaik untuk memperjuangkan isu-isu rakyat Sabah, khususnya mengenai hak milik tanah yang dirampas oleh pemimpin Umno-Barisan Nasional.

"Kita bersetuju bahawa supaya kita tonjolkan seorang peguam yang pernah menjadi majistret dan juga peguambela yang banyak membela hak-hak rakyat Sabah termasuk kes tanah," sejurus mengumumkan  Ansari sebagai calon.

Ansari akan berdepan dengan Tsen Tsau Lin balu kepada Chong Ket Wah, Ahli Parlimen Batu Sapi yang maut dalam kemalangan jalanraya dua minggu lalu.

Tsau Lin dari Parti Bersatu Sabah(PBS) dijangka mengharapkan kepada sentimen pengundi  terhadap kehilangan suaminya dalam usaha mengekalkan kerusi itu bagi BN.

Turut bertanding adalah Presiden Parti Maju Sabah, Yong Teck Lee.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan