Ahad, 24 Oktober 2010
Mati bergaduh dengan kakak
KUANTAN – Puncanya cuma berebut siaran televisyen, tetapi akibatnya seorang adik mati terkena serpihan kaca tingkap nako sewaktu berbalah dengan kakaknya di rumah mereka di Taman Balok Baru di sini kelmarin.
Muhammad Naili Nafis Zakaria, 14, yang mengalami pendarahan teruk pada paha kanan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Balok pada pukul 5.40 petang Khamis lalu.
Kejadian itu berlaku sewaktu bapa mereka keluar bekerja sementara ibu pula berada di surau berdekatan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud berkata, sebelum kejadian pada pukul 4.30 petang, Naili pada mulanya didakwa bergaduh dengan seorang adik perempuannya yang berusia lima tahun kerana berebut saluran televisyen.
“Kakak Naili yang melihat tindakan mangsa yang cuba berebut siaran televisyen telah memarahi mangsa.
“Ekoran itu berlaku pertengkaran antara Naili dengan kakaknya yang berusia 16 tahun sehingga terbawa-bawa sampai di luar rumah,” kata beliau di sini semalam.
Menurut beliau, semasa pergaduhan itu, kakak mangsa mengambil serpihan kaca tingkap nako yang sudah pecah di tepi dinding rumah sambil mengacah-acah ke arah adiknya.
“Namun tanpa disengajakan serpihan kaca itu terlepas daripada tangan kakaknya lalu terkena pangkal paha kanan mangsa,” katanya.
Katanya, akibat kejadian itu, mangsa luka dan berdarah dengan teruk di pahanya menyebabkan dia kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan oleh jirannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan