Rabu, 6 Oktober 2010

Seumur hidup saya tidak pernah menghadiri sebarang program ceramah Umno ?-Wan Sukairi Wan Abdullah


Tok Guru ‘Gilo’ Di Sekolah Padang Luas, Jerteh
Seumur hidup saya tidak pernah menghadiri sebarang program ceramah
Umno dan tidak pernah berminat untuk curi-curi dengar ‘klentong’
penceramah-penceramah upahan mereka. Tapi semalam ketika dalam
perjalanan pulang dari menyampaikan kuliah maghrib dan menziarahi
kematian di Jabi, hati saya tergerak untuk berhenti seketika di hadapan
Sekolah Kebangsaan Padang Luas, Jerteh, lokasi ceramah Umno yang kalau
mengikut poster yang tersebar bertajuk ‘DAP Anti Islam’.

Entah
apa relevannya tajuk ini sedangkan Besut yang menjadi lokasi ceramah ini
tidak mempunyai walaupun setengah cawangan DAP. Tambahan pula Najib
sendiri menawarkan diri kepada Obama untuk mengatasi masalah
Islamophobia, tiba-tiba Idris Jusoh menganjurkan ceramah untuk
mengapi-apikan sentimen agama dan menyemai kebencian kepada penganut
agama lain. Penceramahnya: Idris Jusoh, Alwi Che Ahmad dan seorang yang
bernama Abdullah Sa’amah. Saya tidak mengenalinya walaupun dikatakan dia
Tok Guru Pondok Genting, Tumpat. Pernah terlihat nama dan gambarnya
bersama-sama pemimpin-pemimpin Umno di poster-poster ceramah anjuran
Umno Kelantan tetapi saya tidak begitu ambil pusing. That’s not my
business. Ketika saya tiba ‘Tok Guru’ ini sedang berceramah.

Entah
berapa upah yang diterimanya malam tadi sehingga begitu bersemangat
sekali ‘Tok Guru’ ini berceramah diiringi paluan gendang oleh
budak-budak Umno (saya tak pasti pemuda atau putera Umno yang berbaju
lambang dacing memenuhi satu kanopi sebagai pasukan sorak dan gendang).
Di atas pentas kelihatan beberapa pemimpin Umno tempatan tersenyum kelat
dan tertawa, entah kerana lucu atau mentertawakan hujah-hujah dangkal
penceramah upahan ini. Trade mark kepada penceramah ini adalah
perkataan ‘gilo’ (gila). Tak kurang dari 30 kali perkataan ‘gilo’
diulanginya untuk mengutuk PAS dan PKR. “Baso gilo”, “puak-puak gilo”,
“jenis gilo”, “orang gilo”, “Nik Aziz gilo”, “gilo nok jadi PM”, “menate
gilo”, “kena masuk hospital gilo”, “penyakit gilo”, “pemimpin gilo” dan
macam-macam lagi jenis ‘gilo’ yang diulang-ulang sebut. Sehingga saya
mari terfikir, gilakah ‘Tok Guru’ ni?

Rupanya benar sebagaimana
pernah dikhabarkan seorang sahabat dari Dewan Pemuda Pas Kelantan bahawa
‘Tok Guru’ ini pernah ‘berfatwa’ dalam satu ceramahnya di atas pentas
UMNO di Tumpat. “Tuan-tuan sokonglah Umno. Ambo beri jaminan siapa yang
sokong Umno, dia akan selamat dunia akhirat.” Begitulah taksubnya ‘Tok
Guru’ ini dengan Umno. Semalam dia kata “kita kena lawan puak-puak gilo
ni (PAS dan PKR). Melawan puak gilo ni adalah jihad di jalan Allah. Nik
Aziz kalu tak pandai memerintah, turun! kalu tak dak ore nak ganti, biar
ambo ganti. Ni Tok Guru Haji Loh, Tok Guru hok Sengoti.” Ujarnya
angkuh. Sekali lagi terdetik di hati saya, gilakah ‘Tok Guru’ ni?

Malangnya
Umno, kerana terpaksa mempergunakan khidmat manusia sebegini untuk
meraih sokongan. Saya cuba meneliti kalau-kalau ada hujah beralaskan
fakta yang dikemukakan, tapi ternyata sekadar tin kosong, yang
mengambarkan butanya penceramah ini dengan fakta sebenar atau dia
sengaja membutakan mata demi RM yang mengalir ke dalam poketnya.
Intipati ceramahnya cuba untuk mengambarkan khianatnya PAS dan PKR
bersekongkol dengan DAP untuk menghakis hak orang Melayu Islam di Negara
ini. “Puak-puak ni memang gilo, beri tanah kepada orang Cina, bantuan
kepada Sekolah Cina. Sekolah Melayu bakpo tak bantu. Kita nak kata apa
lagi kalu bukan kerja gilo.” Seranah ‘Tok Guru’ ni lagi disambut paluan
gendang dan tepukan hadirin. Mungkin tak sampai maklumat kepada dia,
Umnolah yang bertanggungjawab menghentikan bantuan kepada SAR. Kerajaan
Pakatan Rakyat yang bertanggungjawab memberikan semula bantuan kepada
SAR termasuklah Kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng yang
dikatakan kerajaan kafir harbi. Masih saya ingat, Saudara Misbah, bekas
Setiausaha Politik MB Perak memaklumkan bahawa Dato’ Ngeh Kho Ham,
Pengerusi DAP Perak telah mencadangkan di dalam satu mesyuarat EXCO
supaya diluluskan pemberian tanah 100 ekar kepada Pondok Pok Teh,
Pengkalan Hulu supaya boleh diusahakan dan menjadi sumber ekonomi kepada
pusat pengajian Islam ini. Sedangkan Allahyarham Pok Teh, Tok Guru
Pondok ini yang telah kembali kerahmatullah beberapa hari lepas telah
belasan tahun memohon tanah tersebut dari kerajaan Umno tetapi tidak
dilayan, padahal Pok Teh adalah ahli majlis fatwa Negeri Perak.
Disamping kerajaan PR Perak telah memberikan hak milik Tanah kepada
orang Cina, penduduk Kampung Baru yang dah hampir 2 generasi tinggal di
situ tanpa dapat hak milik, Kerajaan PR Perak juga telah mengurniakan
hak milik tanah kepada orang Melayu di Kampung Tersusun dengan jumlah
yang jauh lebih banyak berbanding kepada orang Cina.

Buku Sejarah
Melayu Tingkatan Lima dibawanya dan ditujukkan kepada hadirin, “inilah
dia rujukan Perlembagaan Malaysia yang telah dipertahankan oleh Umno
puluhan tahun tapi dirosakkan oleh DAP, PAS dan PKR.” Disambut dengan
tepukan dan paluan gendang pemuda Umno. Saya sekadar ketawa di dalam
hati. Kenapa Idris Jusoh tak bekalkan dia Buku Perlembagaan yang sebenar
walaupun sekadar untuk ditunjukkan kepada hadirin sebab kalau baca pun
belum tentu dia boleh faham. “Pemimpin Umno adalah Hang Tuah yang
mempertahankan orang melayu, DAP ni kafir harbi yang menentang Negara
Islam. Pemimpin DAP kata, nak tubuh Negara Islam, langkah mayat dia
dulu! Gilonya pemimpin PAS sehingga baca doa untuk orang kafir harbi
dalam khutbah Jumaat. Memang gilo sungguh!” Ujarnya, mungkin merujuk kes
doa untuk YAB Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di Pulau Pinang yang
dah diperjelaskan secara panjang lebar, bagaimana hukum berdoa untuk
orang bukan Islam dan dah lama selesai. Saya tidak berminat untuk
mengulanginya lagi. “Kalu kita lok (biar) Negara kita kepada puak-puak
gilo ni, jawabnya orang Melayu akan jadi serupa Melayu Singapura. Hilang
dari muka bumi.” Akhir sekali dia ‘berwasiat’. “Kita kena beri sokongan
padu kepada Dato’ Seri Idris, Dato’ Abdullah Mohd Zain dan pastikan
puak-puak gilo ni tak dapat walaupun satu undi dalam pilihanraya akan
datang.”

Astaghfirullah, begini sekali rendahnya akhlak dan
peribadi ‘Tok Guru’ ni dan butanya dia dengan maklumat semasa. Nak
banding dengan Tok Guru Nik Aziz yang dikatakannya ‘gilo’, jauh bumi
dengan langit.

Moralnya, hinanya manusia yang menjadi penjilat kebatilan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan