Sabtu, 6 November 2010

GALAS & BATU SAPI : Alhamdulillah PR Kalah..!!!


Analisis GoMalaysian Terhadap PR Selepas Pilihanraya Kecil Galas Dan Batu Sapi
Pada saya, saya gembira dengan keputusan kali ini setidak-tidaknya ia boleh mengejutkan PR sebelum Pilihan Raya Umum supaya ia masih belum terlambat. Sedikit analisis saya terhadap Pilihanraya Kecil di Galas dan Batu Sapi...


Sedikit analisis saya terhadap Pilihanraya Kecil di Galas dan Batu Sapi:

1) Pertandingan banyak pepenjuru langsung tidak menguntungkan Pakatan Rakyat. Hal ini juga diketahui pemimpin Pakatan namum sikap mementingkan parti sendiri tetapi tidak melihat kepada gambar yang lebih besar akhirnya mendatangkan kesan buruk kepada PR sendiri. Pertandingan banyak pepenjuru telah memberikan imej kepada rakyat bahawa PR tidak bersedia untuk mengambil-alih kerajaan kerana mereka juga tidak dapat menyelesaikan masalah dalaman mereka.

2) Pelan mee segera yang juga ditawarkan oleh Pakatan ternyata tidak akan mendapat sambutan dari orang ramai, pemberian tanah pada saat terakhir tidak mendapat penghargaan daripada rakyat. PR harus mempunyai satu pelan yang berkhidmat kepada rakyat pada bila-bila masa, bukannya menyelesaikan masalah tersebut pada saat pilihan raya sahaja. Perkara ini hanya memberikan imej kepada rakyat bahawa PR adalah sama seperti BN.

3) Kekecohan dalam parti komponen Pakatan sendiri mencemarkan imej PR. PAS yang kecoh dengan pro-UMNO dan pro-PR, perebutan kuasa dalam parti DAP seperti insiden di Perak dan Selangor, pemilihan parti PKR sedang giat berlancar dimana pemimpinnya bukannya berbahas dengan matlamat dan bagaimana mereka membawa parti mereka ke satu tahap yang lebih tinggi sebaliknya menghentam antara satu sama lain. Nyata-nyata pemimpin parti komponen berasakan apabila mereka dapat memenangi jawatan penting dalam parti bermakna mereka mungkin diberikan jawatan penting di Putrajaya kerana mereka percaya pada satu hari kerak PR akan memerintah Malaysia, malangnya perkara yang sebaliknya kini berlaku, hal ini merupakan permulaan kejatuhan PR.


4) Sokongan penduduk asli ternyata tidak mengalakan. Bukan sahaja itu tetapi sokongan penduduk yang tinggal di kawasan pendalaman tidak berpihak kepada PR. Ada juga penduduk asli seperti di Hulu Selangot masih ingat kerajaan selangor sekarang masih diperintah oleh BN. Apakah strategi PR? Adakah PR mengambil langkah untuk berkenalan dengan mereka bermula dari hari ini? Kerana ramai sudah berasakan Pilihan Raya Umum akan berlangsung kelak.

5) Cara promosi PR tidak langsung ditingkatkan. Media masa masih dikontrol oleh satu pihak sahaja. Rata-rata berita negatif terhadap PR sentiasa muncul ketika pilihanraya kecil. Ramai juga yang tidak tahu apakah langkah yang diambil oleh kerajaan PR di Pulau Pinang dan Selangor dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat seperti biasiswa untuk pelajar universiti di Selangor, wang untuk warga emas dan seterusnya. PR harus menubuhkan satu pasukan sama ada radio atau surat akhbar untuk mempromosikan PR kepada rakyat terutamanya penduduk di kawasan luar bandar. Media PR bukannya hanya menghentam BN tetapi harus memberitahu rakyat bahawa apa yang telah dilakukan oleh PR. Peratusan penduduk yang dapat mengakses kepada Internet masih kurang di Malaysia dan hanya tertumpu di kawasan bandar sahaja maka PR harus memikirkan untuk menenbusi kawasan luar bandar kerana kebanyakan kerusi Parlimen di Malaysia adalah kerusi kawasan luar bandar.

6) Menerima kritikan daripada blogger ataupun penganalisis semasa. Jangan sekali-kali menuduh pengkritik PR bahawa mereka khianat kepada PR kerana rakyat mempunyai hak untuk mengundi sama ada PR atau BN. Harus diingatkan rakyat memilih PR pada pilihanraya yang lepas bukan kerana PR melakukan polisi yang mendapat hati PR tetapi kerana rakyat tidak mahu mengundi BN. Siasat sama ada dakwaan blogger seperti Raja Petra dalam blognya mempunyai kebenarannya ataupun tidak. Sejak awal lagi Raja Petra telah menjangkakan PAS akan kalah di Galas kerana rasa tidak puas hati penduduk terhadap kerajaan pimpinan PAS seperti isu ketua kampung, merobohkan gereja orang asli dan sebagainya.

7) Strategi terbaru BN dengan menggunakan 1Malaysia untuk menarik undi dan menganggu jumlah penduduk yang hadir ke ceramah PR nampaknya berjaya. PR harus memikirkan strategi baru untuk menangkis taktik ini. Pakaian 1Malaysia dan perarakan 1Malaysia yang dilancarkan sedikit sebanyak memberikan keyakinan kepada rakyat.

8) Sikap sesetengah PR yang hanya menyalahkan orang lain ketika kekalahan. Mereka tidak sedar keperluan rakyat dan hanya salah rakyat kerana tidak mengundi PR. Sikap ini harus diubah.


9) Janji-janji yang ditaburkan oleh PR tidak dilaksanakan. Rakyat masih menunggu janji PR seperti Pilihanraya ketiga iaitu Pilihanraya Tempatan. Sekiranya ia tidak dilaksanakan, rakyat akan menyalahkan kerajaan negeri atas ketidakberkesanan majlis dalam sesuatu urusan kerana ia dilantik oleh kerajaan negeri.


10) Isu negara tidak mendapat sambutan di luar bandar. Isu yang digunakan oleh PR kali ini tidak mendapat menarik undi dari penduduk luar bandar kerana pada mereka, isu seharian seperti mencari makan dan sebagainya lebih mendapat perhatian mereka.

11) Sikap PR yang selalu menyalahkan BN dalam segala hal. PR asyik menyalahkan BN dalam kesilapan mereka dan tidak melihat kepada diri mereka sendiri. Mungkin taktik ini boleh digunapakai pada masa dulu tetapi kini PR merupakan kerajaan di 4 negeri maka selalu menyalahkan BN tidak akan mendapat sambutan daripada pengundi. PR harus membandingkan BN dengan polisi mereka di negeri perintah mereka dan menunjukan kepada rakyat bahawa mereka lebih relevan kerana mendengar suara rakyat.

12) Strategi BN lebih berkesan. Rata-rata rakyat dapat melaungkan slogan 1Malaysia walaupun ia dilaksanakan atau tidak. Ia memberikan satu imej yang mendalam kepada pengundi. Tetapi apa imej yang ada dengan PR? Rakyat masih kabur dan cuma tahu mereka merupakan kerajaan di beberapa buah negeri sahaja. Saya mencadangankan PR menggunakan Perpaduan Kaum dalam strategi mereka.


Beginilah pendapat saya terhadap PR. Harap pemimpin PR memikirkannya. Senario BN mendapat semula sokongan rakyat sekiranya tidak diambil berat maka ia boleh merebak ke satu negara. Pada saya, saya gembira dengan keputusan kali ini setidak-tidaknya ia boleh mengejutkan PR sebelum Pilihan Raya Umum supaya ia masih belum terlambat.

Sekian Terima kasih,

Yang Benar,
GoMalaysian
gomalaysian.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan