Sabtu, 6 November 2010

Hizbut Tahrir mengancam PAS-Written by dupahang

Oleh: Edry Fabrian
Majalah Al-Islam telah membawa isu “Hizbut Tahrir” di Malaysia. Malangnya, tidak ramai yang memperdulikan fokus majalah berkenaan. Kepada para pendokong gerakan Islam, ianya dirasakan sebagai usaha untuk melaga-lagakan kumpulan-kumpulan Islam di Malaysia.
Isu tersebut juga tidak mendapat tempat kerana ianya dibawa oleh Astora Jabat yang sering dikenali dengan kontroversinya. Malang sekali, gerakan Islam di Malaysia, terutamanya PAS tidak menyedari bahaya yang dibawa oleh Hizbut Tahrir ini kepada masa depan perjuangan Islam di Malaysia.
Komen Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang mengenai Hizbut Tahrir di dalam majalah tersebut bagaikan tidak diendahkan oleh para pendokong PAS di seluruh Malaysia. Hakikatnya, gerakan Hizbut Tahrir membawa ancaman yang amat besar kepada masa depan PAS dan juga perjuangan menegakkan negara Islam di Malaysia.
Hizbut Tahrir yang ditubuhkan oleh Taqiyudin al-Nabhani dari Palestin pada tahun 1952 merupakan sebuah parti politik yang tidak terlibat dengan pilihanraya. Bagi Hizbut Tahrir, pilihanraya adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang kufur. Barangsiapa yang terlibat dengan sistem demokrasi, maka mereka berdosa dan juga bersyubahat dengan sistem kufur.
Mereka juga mengecam mana-mana pihak yang ingin memperjuangkan Islam melalui saluran demokrasi seperti PAS, Ikhwan Muslimin, Jamaat Islami, PKS di Indonesia, Refah di Turki dan lain-lain lagi. Gerakan Islam yang memilih jalan harmoni dan aman damai tersebut adalah berdosa menurut Hizbut Tahrir.
Bagi Hizbut Tahrir perjuangan yang paling utama umat Islam adalah untuk mengembalikan sistem Khilafah yang merupakan sistem Islam ciptaan Tuhan. Hanya dengan sistem khilafah sahajalah umat Islam akan dapat mengembalikan kehidupan Islam yang sebenarnya yag diredhai oleh Allah SWT.
Mereka juga percaya, perjuangan menegakkan khilafah “haram” dilakukan melalui saluran demokrasi yang aman. Mereka percaya ianya mestilah mengikuti metod Nabi yang mendahulukan peperangan pemikiran, kemudiannya revolusi pemikiran oleh umat semuanya, dan berakhir dengan revolusi politik.
Selagimana tidak tertegaknya khilafah, maka umat Islam akan berada di dalam keadaan berdosa. Mereka juga percaya bahawa segala permasalahan umat Islam di dalam dunia ini disebabkan tidak wujudnya sistem khilafah.
Di dalam proses terakhir untuk menegakkan khilafah di dalam sesebuah negara, Hizbut Tahrir mensyaratkan wajib bagi umat Islam untuk meminta pertolongan (nusrah) mana-mana kuasa yang kuat, sama ada Islam mahupun bukan Islam. Bagi mereka, jika Amerika sekalipun sudi untuk membantu umat Islam untuk membina khilafah, maka mereka boleh meminta nusrah daripada kuasa tersebut.
Sekarang ini Hizbut Tahrir telah mula berkembang di Malaysia kesan daripada kepulangan segelintir para pelajar dari UK yang terpengaruh dengan ideologi mereka. Kegiatan mereka di “bawah tanah” itu juga subur di kampus-kampus dengan kemasukan literasi-literasi Hizbut Tahrir dari Indonesia dan juga kemasukan siswa-siswa Indonesia di IPTA-IPTA tempatan.
UM, UIA dan juga UKM dikenal pasti sebagai pusat kegiatan Hizbut Tahrir yang pesat dan aktif di kalangan mahasiswa. Sebaran, program-program dan juga literasi mereka banyak didapati di kawasan-kawasan tersebut. Sebaran mereka yang bertajuk Soutun Nahdah (SN) juga boleh didapati di kampus-kampus dan masjid-masjid di seluruh Lembah Kelang. Pendekatan Hizbut Tahrir semakin menular di kampus-kampus.
Apa yang merisaukan para pendokong gerakan Islam, terutamanya PAS ialah pengaruh Hizbut Tahrir yang semakin menular di kalangan ahli-ahli PAS. Di kampus-kampus, ramai di kalangan mahasiswa GAMIS dan pro-PAS telah mula dipengaruhi oleh Hizbut Tahrir.
Kesan daripada pengaruh tersebut, mereka beramai-ramai meninggalkan perjuangan PAS yang didakwanya tidak islamik kerana terlibat dengan demokrasi. Oleh kerana demokrasi adalah sistem kufur, maka perjuangan PAS yang berlandaskan demokrasi adalah haram.
Hizbut Tahrir juga telah menyebabkan ramai pelajar-pelajar Islam yang termakan dengan dakyah mereka memulaukan pilihanraya kampus. Pilihanraya kampus yang didakwa sebagai sebahagian daripada sistem demokrasi itu adalah haram dan juga maksiat.
Tidak hairanlah bilangan mahasiswa Islam yang keluar mengundi semakin merosot, sekaligus memberikan kemenangan besar kepada kumpulan yang anti-Islam ataupun yang tidak Islamik. Keadaan ini juga dapat dikesan di beberapa buah IPT lain di mana Hizbut Tahrir bergerak secara aktif.
Terdapat juga di kalangan pendokong-pendokong Hizbut Tahrir yang telah bekerja terlibat di dalam usaha mempengaruhi aktivis-aktivis PAS. Kebanyakan tumpuan diberikan kepada para aktivis pemuda PAS. Di Lembah Kelang, di Kedah dan beberapa tempat di Pantai Timur, para pemuda PAS yang telah dipengaruhi oleh Hizbut Tahrir bertindak meninggalkan PAS dan memboikot pilihanraya.
Bukan sekadar mereka memboikot pilihanraya, malah mereka menghasut umat Islam dan juga masyarakat Islam agar melakukan perkara yang serupa. Natijahnya, orang yang dahulunya mengundi PAS di dalam pilihanraya 1999 tidak lagi keluar mengundi pada tahun 2004. Keadaan semakin parah jika yang dipengaruhi itu merupakan orang-orang kuat PAS. Apa yang membimbangkan, pengaruh Hizbut Tahrir semakin hari semakin meningkat di kalangan anggota-anggota PAS, terutamanya golongan mahasiswa.
Ruang demokrasi melalui pilihanraya dan juga mekanisme lain bukanlah sesuatu yang baru bagi PAS. Ianya telah diakui oleh dewan ulama PAS dan juga para cerdik pandai agama di dalam PAS semenjak dahulu lagi. Jika ianya tidak diambil oleh PAS yang ingin memperjuangkan Islam di Malaysia ini, maka vakumnya akan diisikan oleh UMNO.
Mungkin itu yang dikehendaki oleh Hizbut Tahrir. Bayangkan, jika umat Islam seMalaysia bertindak mengikut cara Hizbut Tahrir, maka bukan Islamlah yang akan berkuasa di Malaysia. Manakala umat Islam hanya duduk sambil menunggu kemunculan khilafah semata-mata.
Hizbut Tahrir juga sering menimbulkan kekacauan kepada segala apa yang dilakukan oleh PAS dan gerakan-gerakan Islam yang lain di Malaysia. Sewaktu Kelantan ingin mengemukakan draf hudud di Terengganu mereka muncul untuk mengkritik dan mempertikaikannya. Mudahlah kerja UMNO dengan apa yang telah dilakukan oleh Hizbut Tahrir.
Sewaktu Barisan Alternatif muncul dengan belanjawan, di mana pada waktu itu PAS merupakan antara yang terlibat, Hizbut Tahrir muncul untuk membantai belanjawan tersebut lewat sebaran mereka. Sewaktu PAS mengetuai demonstrasi hari buruh, Hizbut Tahrir muncul mengkafirkan sambutan hari buruh.
Sewaktu PAS menyokong sistem perbankan Islam, Hizbut Tahrir mengharamkan usaha tersebut. Sewaktu PAS sibuk berkempen pilihanraya, mereka menyeru umat Islam agar memboikot pilihanraya. Sewaktu PAS memprotes harga minyak petrol yang naik, mereka tidak menyokong dan mengatakan hanya dengan sistem khilafah sahaja minyak akan diberikan percuma.
Sewaktu PAS melakukan usaha-usaha membantu kerajaan HAMAS dan rakyat Palestin, Hizbut Tahrir menghentam HAMAS kerana terlibat dengan pilihanraya yang demokrasi. Hizbut Tahrir juga memperlekehkan usaha kempen derma USD1 untuk rakyat Palestin. Pendekatan, segala apa yang PAS dan juga gerakan-gerakan Islam yang lain lakukan adalah salah selagimana tidak wujudnya sistem Khilafah.
Apa yang pelik, Hizbut Tahrir ini tidak pula terlibat dalam usaha-usaha untuk berdakwah kepada masyarakat. Mungkin mereka beriman, jika turunnya khalifah yang mereka impikan itu dari langit, makan masyarakat bukan Islam akan secara automatik menjadi muslim.
Ketika aktivis-aktivis PAS ke Acheh, Pakistan dan Jogjakarta untuk melakukan usaha-usaha kemanusiaan, anggota-anggota Hizbut Tahrir pula sibuk menghentam PAS, PKS dan juga Jamaat Islami. Ketika umat Islam di Palestin dan juga para mujahidin HAMAS berhadapan dengan tentera-tentera rejim setiap hari, mereka pula sibuk mengharamkan HAMAS.
Di manakah logiknya perjuangan Hizbut Tahrir ini tidak dapat dilihat. Di manakah juga fiqh dakwah dan fiqh amal jamaie mereka, juga tidak dapat diketahui. Apa yang pasti, kewujudan mereka dan juga usaha hasutan mereka telah berjaya melemahkan perjuangan PAS di kalangan mahasiswa di kampus-kampus dan juga di kalangan para aktivis pemuda PAS.
Kita tidak mahu, satu hari nanti, apabila Hizbut Tahrir sudah mula mendapatkan kekuatan mereka, mereka akan berkempen agar umat Islam di seluruh Malaysia tidak keluar mengundi. Bayangkan, di kala PAS sedang berkempen untuk rakyat mengundi mereka untuk penegakkan hukum Islam, di waktu itu Hizbut Tahrir pula sibuk berkempen mengharamkan rakyat keluar mengundi.
Maka pada waktu itu, UMNO akan menang dengan begitu mudah, ataupun golongan bukan Islamlah nanti yang akan menguasai Malaysia. Pada waktu itu juga, usahkan khilafah, penegakan syariat Islam di Malaysia pun hanya akan menjadi utopia. Jika anda tidak percaya, sokonglah Hizbut Tahrir dan lihatlah apa yang akan berlaku nanti!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan