Khamis, 25 November 2010

Parti 'Pokko' Dan 'Perut' Tak Layak Perintah Negara


Presiden PAS sewaktu merasmi seminar 'PAS Sedia Ganti Umno' pada pagi Sabtu (13 Nov 2010) memulakan dengan ayat di mana janji Allah untuk memberi kemenangan kepada umat Islam yang berjuang dan peluang memerintah, serta ciri-ciri pemerintah itu yang menunaikan solat dan mengeluarkan zakat iaitu menjaga hubungan dengan Allah dan manusia.

Tepat sekali ucaptama PAS ganti Umno dimulakan dengan ayat tersebut. Umno sebagai pemerintah memandang ringan perintah solat, terkesan kepada rakyat.

Demikian juga dengan hubungan sesama manusia. Tok Guru juga mengingatkan supaya kita mengambil semangat Aid al-Adha, antaranya pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail as.

Seterusnya diajak menoleh kepada Perjanjian Aqabah (yang disebut oleh Kaab bin Malik dalam satu riwayat hadis sebagai sangat bernilai bagi dirinya lebih dari Perang Badar walaupun Perang Badar lebih disebut-sebut oleh orang lain) kerana nilai-nilai perjuangan yang sangat tinggi di dalam butiran Perjanjian Aqabah tersebut: berjanji setia untuk mempertahankan Nabi, dan tentunya Islam dalam apa jua situasi yang mendatang-ketika rajin, malas, bersemangat atau benci. Janji setia itu dilafaz dengan penuh yakin walaupun suasana di Mekah, Yathrib dan Tanah Arab ketika itu sedang mengepung Nabi SAW.

Perjanjian Aqabah menjadi antara muqaddimah penting menyediakan tapak dan kader bagi merealisasikan tegaknya negara Islam Madinah selepas itu. Madinah bukan sahaja menjadi negara Islam, bahkan membina tamadun baharu dan mengislamkan tamadun itu sendiri di saat dunia sedang berada dalam kecamuk tamadun kebendaan Rom dan Parsi yang tidak berpaksi kepada Aqidah tauhid. Tamadun Islam inilah yang kemudiannya menyelamatkan manusia dan kemanusiaan sepanjang lebih 14 abad selepas itu.

Allah menentukan bahawa akhirnya Pemerintahan Islam jatuh di zaman Uthmaniyyah Turki pada tahun 1924. Ia berbeza dengan kejatuhan pemerintahan Barat atau Timur. Khilafah Islamiyyah jatuh apabila umat Islam meninggalkan ideologi Islam dan ajarannya. Pemerintah di Barat atau Timur jatuh kerana berpegang dengan ideologi yang ternyata gagal menyelamatkan manusia.

Benarlah Saidina Umar al-Khattab yang mengingatkan bahawa kita adalah satu kaum yang dimuliakan dengan Islam. Selagi kita berpegang dengan Islam, kita akan mulia. Apabila kita tinggalkan Islam, kita menjadi hina. Umar tidak berbangga dengan kabilah Arabnya walaupun kabilah Umar barangkali jauh lebih baik dari bangsa Melayu kini.

Dalam sejarah, umat Islam mencipta pelbagai kehebatan dan kekuatan ketika memerintah. Kehebatan dan kekuatan yang tidak ada sepertinya sebelum atau selepas pemerintahan Islam. Cubalah baca kajian yang dibuat terhadap idea-idea baharu di zaman Umar al-Khattab misalnya. Benarlah Nabi SAW yang menyebut bahawa para Sahabat seperti bintang di langit. Sesiapa sahaja di kalangan mereka yang diikuti, akan mendapat petunjuk.

Walaupun 'Islam Adil Untuk Semua' tidak menjadi tema rasmi pemerintahan setiap kali khalifah-khalifah baharu naik memerintah, seperti yang berlaku dalam dunia moden sekarang termasuk Malaysia, yang bertujuan untuk membaiki imej yang rosak teruk dek kefasiqan sendiri, namun itulah yang dilaksanakan oleh pemerintah Islam mulai Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali, termasuk di zaman khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sangat adil itu.

Apabila khilafah Islam jatuh, umat Islam mula meninggalkan Islam, di samping masuknya ideologi-ideologi asing seperti Sekularisme, Nasionalisme dan isme-isme cabang darinya. Semangat kebangsaan menjadi asas menuntut kemerdekaan. Ia juga menjadi senjata untuk menjatuhkan khilafah Islamiyyah. Negara umat Islam merdeka tetapi dari kulit sahaja. Perjuangan menuntut kemerdekaan dan menentang penjajah di Tanah Melayu sebenarnya bermula pada 1511 iaitu semenjak datangnya penjajah.

Namun tokoh-tokoh Melayu berpegang kepada agama digelapkan dari sejarah sebagai pejuang kemerdekaan dan menjaga Islam. Umno sebenarnya yang diberikan kuasa memerintah hanyalah memenuhi agenda British sahaja. Penjajah keluar dari tanahair tetapi agenda penjajah diteruskan oleh anak didik penjajah. Mereka yang mahukan kepada Islam dan benar-benar mahu memerdekakan tanahair dengan ertikata sebenar tiada dalam Umno atau keluar Umno. Umno hanyalah kelongsong yang hilang isinya.

Sekularisme yang datang tanpa dijemput ke Tanah Melayu menjadikan parti UMNO, yang tidak berteraskan Aqidah dan ajaran Islam itu, rosak teruk hingga ke ususnya. Bukan kepada usus partinya sahaja, bahkan berjangkit dalam usus masyarakat. Lihatlah kesan dari gastritis dan ulcer itu dalam masyarakat. Walaupun Najib baharu sahaja keluar dari wad ICU selepas ulcer, tetapi ulcer dalam masyarakat hasil meninggalkan Islam dan menganut sekularisme walaupun tanpa isytihar secara formal menyebabkan struktur sosial masyarakat runtuh. Dalam bahasa mudah, akhlak sudah kembali menjadi jahiliyyah.

Sekularisme banyak melahirkan cabang-cabang berpenyakit. 'Pokko'isme dan 'perut'isme dalam Umno menjadikan Umno tidak layak lagi memerintah negara. 'Pokko' isme merujuk kepada pokko-binatang sesumpah yang bertukar warna berdasarkan warna batang pokok atau daun yang dihinggap.

Begitulah Umno. Tiada prinsip dan aqidah. Ia berubah menurut keadaan, tempat, suasana tanpa mengira prinsip. 'Perut'isme merujuk kepada kepentingan harta, wang ringgit, habuan tanpa mengenal betul salah, berprinsip atau tidak, halal haram, rakyat punya, negara punya atau sendiri punya.

'Pokko' isme dan 'perut'isme, ditambah ulser dan busuk hingga ke usus yang telah lama dibicarakan melengkapkan lagi ciri-ciri kehancuran UMNO yang tidak melayakkan ia terus memerintah dan mengaku parti menjaga kepentingan Melayu di negara Malaysia ini. Enough is enough!

Nik Nasri Malek
Ketua Lajnah Ulama Pelapis, Dewan Ulama PAS Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan