Rabu, 29 Disember 2010

Edisi Pahang: Kekal Pimpin UMNO Negeri, Apakah Satu Petanda Adnan Yaakob Akan Terus Berkuasa Jika BN Masih Memerintah Selepas PRU-13 Nanti !!

KUANTAN, 28 Dis [3.55 pm] - Teka-teki berkenaan akan berlaku rombakan dalam kepimpinan UMNO Pahang akhirnya tidak menjadi, apabila Datuk Seri Adnan Yaakob akhirnya terus dikekalkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang. Malah, bagi jawatan Timbalannya pula pucuk pimpinan parti itu masih mengekalkan Dato Sharkar Samsuddin (Ketua UMNO Bahagian Temerloh dan Exco Kerajaan Negeri). Dengan pengekalan ini, mungkin ia menamatkan desas-desus kononnya Adnan bakal mengakhiri perkhidmatannya sebagai Menteri Besar Pahang jika UMNO BN terus berkuasa di negeri tersebut selepas Pilihanraya Umum Ke-13 akan datang. Sebelum ini, angin bertiup kencang mengatakan Adnan akan bertukar ke pusat dan calon lain bakal menjadi MB Pahang. Ia berdasarkan kepada prestasi beliau yang dikatakan semakin merudum sejak memimpin negeri itu. Sementara itu Adnan berkata pelantikan tiga pengerusi baru mengetuai UMNO negeri bukan petanda bahawa pilihan raya umum (PRU) hampir tiba. "Saya tidak melihat mengapa perlu kecoh mengenai pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO di negeri-negeri ini... ia hanya satu proses normal. "Presiden parti pun pernah menyatakan perkara ini dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini dan merujuk kepada negeri-negeri di mana pengerusinya bukan orang tempatan,” katanya selepas merasmikan seminar Standard Halal Pahang 2010 di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perubahan kepimpinan UMNO di Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan seperti yang diumumkan semalam. Adnan berkata, perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah anggota parti terus bekerja keras bagi membantu membela nasib rakyat dan bukannya semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

[Sesuatu yang amat mengejutkan rakyat Pahang sebenarnya. Malah orang UMNO sendiri sebelum ini beriya-iya benar menyebarkan berita kononnya Adnan Yaakob bakal dihantar ke pusat selepas PRU-13 ini. Itu pun jika beliau menang mana-mana kerusi parlimen yang bakal ditandingi nanti. Kini, teka-teki itu sedikit terjawab apabila tiada rombakan berlaku di Pahang. Namun begitu, rakyat Pahang sebenarnya sudah tidak yakin lagi dengan kepimpinan Adnan kerana banyak penyelewengan yang melibatkan anak-anak syarikat kerajaan negeri masih belum terjawab sehingga ke hari ini. Malah, isu-isu panas yang menyebabkan beberapa buah anak syarikat bankrap dan mengalami masalah kewangan yang kritikal masih menghantui rakyat sebenarnya. Soalnya, apakah pengekalan Adnan ini memberi impak positif kepada UMNO BN di Pahang agaknya?. Apa yang pasti rakyat sudah pasti akan semakin benci dan meluat dengan senario yang berlaku ini. Oleh itu, mereka tentu akan membuat perubahan besar dalam pilihanraya umum nanti sama seperti rakan mereka di Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang dulu. Inilah yang perlu diberi perhatian oleh UMNO Pahang!].

Tiada ulasan:

Catat Ulasan