Rabu, 29 Disember 2010

Tolak Tawaran Jawatan, Chegubard???

Tolak Tawaran Jawatan, Chegubard Kini Akhirnya Terpaksa Pertahankan Prinsip Dan Keadilan Yang Di Tuntut Terhadap Aduan Dalam Pemilihan 2010!

Seperti yang sudah dijangka oleh ramai pihak, akhirnya Calon ketua Angkatan Muda Keadilan iaitu Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) yang tewas dalam pemilihan lalu berkata beliau enggan menerima tawaran untuk dilantik ke jawatan Timbalan Setiausaha Agung yang ditawarkan parti. Keputusan beliau ini jelas sekali tidak mengejutkan, kerana sebelum ini pun beliau sudah bersedia untuk tidak menerima sebarang jawatan yang ditawarkan oleh parti itu. berkaitan pemilihan parti yang berakhir bulan lalu. Menurut Chegubard beliau menolak jawatan yang diberikan kerana apa juga jawatan yang diberikan dianggap merupakan amanah besar. Beliau menegaskan dia bukanlah manusia yang menganggap jawatan itu sebagai matlamat yang harus dikejar hingga sanggup memanipulasi segalanya termasuk melakukan penyelewengan demokrasi, tetapi setelah memegang jawatan tidak mampu melakukan apa-apa serta gagal memikul amanah dan hasrat perjuangan rakyat. Beliau turut menegaskan penolakan yang buat terpaksa buat itu adalah atas prinsip dan pengiktirafan Pemilihan Keadilan 2010 akan hanya dibuat setelah hasil siasatan pemilihan dilaksanakan dan dimaklumkan kepadanya.


Chegubard bersama rakannya dalam sidang media pagi tadi
Sidang media telah diadakan pagi tadi dirumah calon Pengerusi Tetap AMK dalam pemilihan lalu iaitu Amizudin Ahmat (Din Binjai) di Pulau Pinang. "Saya ingin nyatakan bahawa saya masih menanti hasil penyiasatan dan tindakan terhadap aduan - aduan yang saya dan teman-teman ajukan mengenai Pemilihan KEADILAN 2010. Saya akur dengan nasihat YB Setiausaha Agong agar sabar menanti dan jangan buat bukan-bukan tetapi saya juga meminta beliau ingat dengan kenyataannya yang memberi jaminan hasil siasatan akan diperolehi dalam 2 minggu. Janji ini diungkap ketika Kongres 2010 berlangsung", kata Chegubard.
Sumbangan BolehTetap Di Buat Tanpa Jawatan

Namun dalam masa yang sama Chegubard juga menegakan bahawa dia akan terus berjuang memperkasakan rakyat demi perubahan negara. Jadualnya saban hari masih penuh dengan aktiviti parti dan bersama rakyat mendesak perubahan. "Saya sayang parti ini dan kerana sayangkan parti inilah saya tegur, saya sayangkan negara ini dan kerana sayangkan negara inilah saya ingin pastikan KEADILAN menjadi sesempurna mungkin sebelum memasuki Putrajaya. Saya masih yakin demokrasi dan ketelusan dalam KEADILAN belum mati (tetapi mungkin gering teruk), namun untuk memastikan keadilan, demokrasi dan ketelusan dalam KEADILAN subur mekar maka kita perlu keberanian mendesak", katanya. Beliau turut menegaskan bahawa bukan persoalan kewangan atau jawatan dalam perjuangannya. Sebab itulah beliau sanggup tolak semua lantikan. "Tanpa jawatan pun kita sebenarnya mampu menyumbang terhadap gerakan kalau kita mahu. Namun saya juga ingin berpesan kepada teman - teman saya yang bersama berkongsi aspirasi ini agar turut bersabar dengan sindiran dan cubaan provokasi pihak tertentu. Mereka ialah golongan yang tidak mahu suara pendesak ada dalam gerakan perubahan, mereka mahu kita lakukan sesuatu diluar batasan untuk memudahkan mereka cari alasan singkirkan kita", katanya lagi.

Budaya Pemilihan Kotor Perlulah Diperbetulkan

Dalam masa yang sama beliau turut mengintakan bahawa KEADILAN adalah parti rakyat, ia parti bagi tiap rakyat yang memahukan perubahan kerana itu beliau dan rakan-rakannya berkongsi aspirasi terus menjalankan program di perbagai peringkat. Dalam konteks nasional juga katanya memang memerlukan kumpulan muda yang sentiasa mendesak perubahan dan penambahbaikan negara. Sesuatu negara akan mudah berada dalam zon krisis apabila anak muda hilang roh mendesak ini. "Kita tidak mahu menuruti budaya pemilihan yang kotor, penipu serta korup seperti yang diamalkan oleh sesetengah parti lain. Apabila individu itu diistiharkan memang semua yang bersuara akhirnya diam disogok dengan berbagai habuan, tidak berbunyi lagi kerana anak mudanya mamai disumbat mulut mereka. Semua ini kononya untuk menjaga kestabilan parti dan menyapu semua kekotoran dan penipuan ke bawah karpet. Ini tidak harus berlaku dalam parti reformasi, kewujudan anak muda kumpulan pendesak harus dilihat dari aspek positif kelangsungan nafas semangat reformasi", katanya.

[Ramai yang gusar dengan keputusan Chegubard ini sebenarnya. Ini kerana beliau adalah antara tokoh anak muda yang cukup berkarisma dan lantang bersuara dalam menjuarai isu-isu rakyat sejak sekian lama. Ramai yang menganggap keputusannya untuk menolak jawatan itu memang tepat sekali, namun hakikatnya ia jelas mengecewakan pucuk pimpinan parti itu terutamanya Anwar Ibrahim. Bahkan, kengganan Chegubard tidak mahu menerima kenyataan dan mahu pertahankan prinsipnya itu dilihat sebagai satu tekanan buat parti sebenarnya. Apa tidaknya, mana mungkin Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution mahu melaporkan hasil sebenar segala aduan yang telah disiasat oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) seperti yang dibangkitkan oleh Chegubard. Ini kerana terdapat asas dan bukti-bukti kukuh memang ada unsur penyelewengan dan penipuan semasa proses itu berlangsung dulu. Bahkan, jika siasatan ini diteruskan maka kita khuatir akhirnya yang akan mendapat impaknya ialah Ketua Umum PKR itu sendiri. Ia bersandarkan kepada memang banyak laporan mengatakan Anwar yang telah menghubungiu pihak-pihak tertentu diperingkat negeri dan cabang agar memberikan sokongan padu untuk memastikan kemenangan Azmin Ali dalam pemilihan itu. Soalnya, mampukah semua ini didedahkan andai kebenaran itu terbongkar?. Makanya, kemungkinan besar "Chegubard" bakal dihambat keluar dari parti akibat tuduhan menanamkan "virus kebencian" atas nama keadilan kepada parti itu. Apakah beliau juga akan dituduh sebagai "pengkhianat" dan "penderhaka" seperti Datuk Zaid Ibrahim itu nanti agaknya?]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan