Rabu, 9 Februari 2011

Elaun guru KAFA di Selangor naik RM300

Wednesday, 09 February 2011 | Ruangan: Berita
SHAH ALAM, 9 Feb – Guru kelas agama fardu ain atau KAFA di negeri Selangor mendapat perkhabaran gembira apabila kerajaan negeri memutuskan untuk meningkatkan elaun tambahan guru sebanyak RM300.
Dengan tambahan elaun RM300 ini menjadikan elaun bulanan guru-guru KAFA di SRA dan SRAI di Selangor sebanyak RM1,300 sebulan. Kenaikan elaun ini berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Kelulusan untuk kenaikan elaun itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan hari ini.
Tambahan elaun ini melibatkan 3,935 guru KAFA yang mengajar di 208 buah SRA dan 11 buah SRAI seluruh Selangor.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengumumkan perkara ini pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MMKN berkata,  kenaikan elaun bulanan ini akan melibatkan peruntukan tambahan Kerajaan Negeri lebih RM14 juta setahun.
Pada masa ini, guru KAFA di SRA dan SRAI di Selangor menerima elaun sepenuhnya dari Kerajaan Negeri dan Baitulmal sebanyak RM1,000 sebulan atau RM61 juta setahun.
“Kerajaan Negeri berharap kenaikan elaun bulanan ini akan mendorong guru KAFA di SRA dan SRAI berusaha meningkatkan kualiti kerja seharian,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan